About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Saturday, August 3, 2013

Mana Satu, Belajar atau Berkawan?




Assalamualaikum,

Saya seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh.  Masalah saya ialah saya tidak pandai membahagikan masa belajar dan masa dengan kawan-kawan.  Maklumlah saya ini pelajar asrama, jadi saya telah menetapkan waktu di bilik asrama adalah masa untuk saya menghilangkan stress dan di kelas adalah masa saya untuk  belajar. Tetapi malangnya, di kelas pembelajaran saya terganggu kerana saya terasa hati dengan kawan saya kerana mereka lebih rapat dengan kembar saya sehingga boleh menghilangkan fokus  saya dalam kelas kerana memikirkan hal ini.  Saya juga kurang meluangkan masa untuk berbual dengan kawan saya untuk membincangkan perkara-perkara luar melainkan hanya tentang pelajaran sahaja oleh itu, kawan saya melabel saya sebagai seorang yang 'nerd' dan pendiam.  Saya takut untuk bersosial kerana takut ketinggalan dalam pelajaran lebih-lebih lagi saya pelajar yang berjawatan.  Harap Dr.  dapat meringankan masalah saya ini.   Terima kasih.

Super Nova Gurl,  Selangor
Waalaikum salam, semoga diri anda di dalam kesejahteraan. Melalui pernyataan masalah yang anda nyatakan anda mengakui kurang mahir untuk membahagikan masa belajar dan masa untuk bersosial (bergaul) dengan rakan-rakan. Hasilnya anda merasakan bahawa anda kurang berbual dan kurang bercampur dengan rakan-rakan sehinggakan mereka menganggap anda sebagai “nerd” atau ulat buku.  Anda juga telah hilang kemahiran untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan. Bukan itu sahaja malah anda juga menganggap berkawan akan menjejaskan prestasi pembelajaran anda.

Kedua, anda telah menetapkan dua bahagian masa, iaitu masa anda di kelas adalah masa untuk memberi fokus kepada pelajaran dan masa anda di asrama adalah masa untuk anda bertenang dan melepaskan segala tekanan yang ada.  Namun anda menghadapi masalah di kelas disebabkan perasaan anda kurang tenteram apabila melihat kawan-kawan anda lebih rapat dengan kembar anda dan ini menganggu fokus anda di dalam kelas. Anda berasa kurang selesa kerana anda merasakan rakan-rakan lebih selesa dengan kembar anda berbanding dari diri anda sendiri.   Pada masa yang sama anda juga mempercayai bahawa berkawan akan menjejaskan prestasi anda di dalam pelajaran.  Selagi anda mengaitkan bahawa berkawan akan menjejaskan pencapaian prestasi anda di dalam pelajaran selagi itulah perasaan tidak selesa dalam diri anda akan berlaku.
 Jadi, ada 3 perkara penting yang menjadi keutamaan anda kini. Pertama pencapaian dalam pelajaran, kedua meningkatkan perhubungan dengan rakan-rakan dan ketiga bagaimana anda dapat mengatur masa agar pelajaran dapat diseimbangkan dengan pergaulan dengan rakan-rakan.  Anda boleh memikirkan cara dan strategi bagaimana anda boleh belajar dengan berkesan dan pada masa yang sama perhubungan dengan rakan masih berjalan baik.  Jika anda berkawan dan pada masa yang sama dapat mengawal aktiviti anda, dapat membawa kawan-kawan melaksanakan aktiviti bersama ke arah meningkatkan pengalaman pembelajaran maka saya nampak bahawa anda akan mendapat dua perkara sekali gus iaitu anda dapat kawan dan dalam masa yang sama anda dapat ilmu pengetahuan.    Anda juga boleh menyusun dan mengguna jadual aktiviti yang sesuai sebagai panduan anda untuk terlibat dengan aktiviti pembelajaran dan aktiviti bersosial.  Ini dapat memberi peluang kepada anda bergaul tanpa menjejaskan aktiviti belajar anda.  Artikel pada minggu ini boleh membantu anda merancang bagaimana anda boleh menguruskan masa anda dengan berkesan. Selamat berjaya dan ceria.

Artikel Selasa:

Pengembangan Diri: SMART TIPS Untuk Pembelajaran Cemerlang.

Ramai pelajar yang gusar kerana musim peperiksaan telah semakin hampir.  Musim peperiksaan tahun ini pula berada di dalam dua musim perayaan iaitu Idul Fitri dan Deepavali.  Pelajar yang bijak akan lebih mengerti apa yang mereka perlu lakukan dalam musim peperiksaan dan perayaan kali ini.  Pelajar harus pandai menyusun masa untuk mengulangkaji dan menyambut perayaan.  Saudara-mara dan rakan taulan yang datang untuk berhari raya perlu disambut dan dilayan.  Pada waktu yang lain peruntukan masa untuk mentelaah dan mengulangkaji pelajaran juga perlu diberi perhatian.  Tips pada minggu ini akan memberi panduan kepada pelajar bagaimana harus mengurus waktu berdasarkan “SMART TIPS”. 
Spesifik. Beri tumpuan khusus kepada satu-satu subjek atau topik yang anda pelajari.  Anda tidak akan mendapat banyak dan menjadi keliru jika anda membaca topik secara melompat-lompat dan membaca banyak perkara di dalam satu masa.  Contoh tumpuan secara spesifik ialah, hari ini saya akan membaca topik “Sejarah Kesultanan Melaka” dari halaman 63 – 78 selama satu jam.
Mampu. Lakukan sesuatu yang mampu dilakukan.  Jika anda membaca satu buku dalam masa sehari bermakna anda tidak akan memahami apa-apa. Tubuh badan anda hanya boleh menerima sesuatu tugasan yang termampu oleh pertimbangan akal.  Contohnya, hari ini saya mengulangkaji dua topik dalam masa 3 jam.  Saya akan mengambil masa 1 ½ jam untuk setiap topik dan saya akan berhenti rehat selama 5 minit setiap ½ jam saya mentelaah.
Anggaran.  Laksanakan sesuatu tugasan itu berdasarkan anggaran kebolehan anda. Lakukan sesuatu matlamat yang anda anggarkan boleh dicapai.  Menghabiskan lapan subjek dalam masa seminggu merupakan tugasan yang sukar dicapai. Anda perlu membuat anggaran perkara yang ingin dan terdaya dicapai.  Contohnya, saya ingin mengulangkaji subjek sejarah berdasarkan nota dan ringkasan dalam masa tiga hari.
Realistik.  Anda perlu melakukan sesuatu yang ingin dan termampu yang anda boleh lakukan.  Ia bukan hanya keinginan dan harapan tetapi ia adalah keinginan yang boleh dicapai.  Anda boleh bercita-cita untuk mendapat 10A tetapi ia tidak realistik jika anda tidak mengusahakan apa-apa ke arah itu.  Contoh,  saya ingin mendapat 10A bukanlah sesuatu yang realistik tetapi jika saya menghadiri kelas pada setiap masa dan sentiasa mengulangkaji pelajaran adalah merupakan sesuatu yang realistik.
Tepat. Menanggu kerja tidak akan menjadikan anda lebih tenang.  Menangguh kerja bererti anda menambah kerja untuk hari yang akan datang.  Lagi banyak anda menangguh kerja lagi berat tugasan yang anda akan lakukan.  Oleh itu anda perlu lakasanakan tugas tepat pada masanya.  Contoh, saya akan mula ulangkaji hari ini. Saya akan mula membuat kerja rumah sekarang. Kerja yang saya buat perlu habis dalam masa dua hari.
Tekal. Ketekalan akan memantapkan kemahiran.  Anda perlu istiqamah dalam melakukan sesuatu itu.  Latihan yang dibuat berulangkali tidak akan memberi peluang kepada kegagalan. Ramai pelajar yang berjaya memegang prinsip tekal di dalam hidupnya. 
Iltizam. Buat sesuatu dengan penuh semangat dan dedikasi.  Melakukan kerja separuh hati akan menghasilkan sesuatu yang tidak berkualiti.  Usaha anda yang ikhlas dan bersungguh-sungguh akan memberikan hasil yang berkat yang boleh memberikan anda sejahtera dan bahagia di dalam hidup.
Pelan. Anda perlu ada rangka kerja dan jadual masa untuk aktiviti pembelajaran anda.  Jadual waktu yang memasukkan semua aktiviti harian yang penting dengan pembahagian masa yang bersesuaian untuk setiap aktiviti akan menjadikan anda lebih berdisiplin. 
Susun. Anda perlu menyusun aktiviti harian dan pembelajaran berdasarkan keutamaan.  Aktiviti seperti ibadah, riadhah dan rehat tidak boleh diabaikan.  Aktiviti santai seperti membaca bahan ringan, berhubung dengan rakan melalui fizikal dan maya perlu diselitkan di dalam jadual anda. Aktiviti besar dan penting seperti mengulangkaji pelajaran, membuat kerja sekolah, aktiviti kokurikulum dan bersukan perlu menjadi keutamaan di dalam susunan pelan tindakan anda.    

Selamat mencuba, semoga anda berada di puncak kejayaan!

No comments:

Post a Comment