About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Thursday, August 11, 2011

Darah Gemuruh


Assalamu'alaikum.. Saya ada masalah untuk berucap atau membuat pembentangan di hadapan kelas. Saya sedar yang saya tidak dapat kawal diri saya dari menggeletar, seram sejuk, dan cemas ketika berada di hadapan pelajar di dalam kelas. Sepatutnya saya tidak merasa takut kerana saya sudah membuat persiapan yang rapi. Sangat mengecewakan kerana saya telah membuat persiapan tetapi prestasi saya seolah-olah saya tidak bersedia. Yang hairannya orang lain boleh buat pembentangan di hadapan kelas dengan selambanya. Saya belum lagi berputus asa kerana saya tahu saya boleh buat cuma saya tidak tahu cara yang sesuai dengan diri saya. Harap tuan boleh bantu saya. Terima Kasih.

Amira Mohd, Sabak Bernam

Jawapan:

Waalaikumusalam. Ada beberapa perkara yang anda kemukakan. Anda berperasaan gemuruh apabila berhadapan dengan rakan sekelas semasa anda membuat pembentangan. Di antara tanda-tanda gemuruh yang berlaku di dalam diri anda ialah rasa menggeletar, seram sejuk dan rasa cemas. Walaupun anda telah membuat persiapan rapi namun perasaan gemuruh tersebut tetap berlaku. Ini sangat mengecewakan anda. Namun anda masih tidak menyerah kalah dan anda masih bersemangat untuk mengatasi masalah yang anda hadapi ini. Tahniah.
Mari kita lihat bersama-sama perkara yang anda alami ini. Apabila anda berhadapan dengan rakan sekelas untuk membuat pembentangan anda akan merasa mengeletar, seram sejuk dan cemas. Cuba anda fikirkan perkara yang anda paling takut yang boleh berlaku apabila anda berhadapan dengan rakan sekelas semasa anda ingin membuat pembentangan? Adakah anda merasakan diri anda tidak sempurna? Adakah anda merasakan anda berkecendrungan melakukan kesilapan? Andakah anda rasa malu jika kawan-kawan mentertawakan anda? Adakah anda merasakan anda perlu betul dan sempurna semasa membuat pembentangan? Kesemua persoalan ini boleh anda analisa dan fikirkan kembali tentang kesan-kesannya. Contohnya; “anda merasakan diri anda akan ditertawakan jika anda membuat kesilapan”. Jika benar anda membuat kesilapan dan benar kawan-kawan akan mentertawakan anda, apakah yang peliknya? Apakah yang ruginya jika anda ditertawakan. Apa yang perlu dimalukan jika anda ditertawakan. Inilah perkara-perkara baru yang perlu anda terokai. Perkara-perkara baru yang akan menjadi kebiasaan kepada anda. Seperti kata pepatah “alah bisa tegal biasa”. Setiap perkara baru yang dialami akan mendatangkan suatu perasaan yang janggal dan anda akan merasa takut untuk melaluinya. Tetapi setelah anda melaluinya maka perkara baru tersebut akan menjadi biasa. Jadi perasaan gemuruh yang anda alami itu merupakan perasaan gementar disebabkan oleh pengalaman baru yang anda alami. Anda akan terbiasa jika perkara tersebut anda lalui berulangkali dan akhirnya anda akan menjadi selamba untuk melakukannya untuk sekian kalinya. Berkenaan dengan rakan anda yang selamba, ia sangat berkait rapat dengan perbezaan individu. Manusia dilahirkan berbeza disebabkan oleh faktor dalaman dan juga persekitaran seseorang itu. Semoga jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.

ARTIKEL MINGGUAN

Perkembangan Diri: Bagaimana anda dapat mengatasi kegugupan semasa membuat pembentangan.

Sebenarnya setiap orang mempunyai rasa gugup dan gementar apabila berhadapan dengan khalayak ramai. Jadi perasaan gementar dan gugup adalah suatu yang semulajadi. Ia merupakan proses tindak balas kimia yang berlaku di dalam badan anda. Contohnya seseorang yang berhadapan dengan seekor anjing yang garang akan secara semulajadinya akan berasa panik disebabkan oleh berlakunya proses rembasan adrenalin, penguncupan pembuluh darah. Apabila ini berlaku anda akan berasa berdebar, peluh akan keluar dan pada masa yang sama sistem komunikasi dalam otak akan menjadi tidak aktif. Dalam artikel kali ini anda akan didedahkan tips bagaimana anda boleh menguruskan kegugupan dan rasa gementar ini.

1. Wujudkan suatu keadaan yang relaks.
Contohnya jika anda terlambat bangun dari tidur untuk ke sekolah, anda tidak perlu bergegas-gegas dan berada di dalam keadaan kelam-kabut. Anda perlu bangun seperti biasa walaupun anda telah terlambat. Anda perlu sedar tentang setiap aktiviti yang anda lalui. Lalui dengan tenang bermula dari bangun tidur, ke bilik mandi, bersiap, menaiki kenderaan dan sehingga ke sekolah. Dengan cara ini anda akan dapat melatih diri mengawal emosi dan pada masa yang sama anda dapat mengelak dari melakukan kesilapan semasa anda berada dalam keadaan kelam kabut.

2. Tumpuan dan fokus.
Apabila anda membuat pembentangan di hadapan kelas berikan tumpuan dan fokus kepada “rakan-rakan anda” (audien). Rakan anda itu merupakan pelajar yang ingin mendengar ilmu yang anda sampaikan. Tugas anda ialah menyampaikan ilmu agar mereka dapat menerima dan faham. Jadi anda perlu sampaikan dengan menggunakan ayat yang mudah, ringkas dan tepat. Anda boleh menambah dengan sedikit lawak jenaka kerana audien yang tersenyum akan memberikan ketenangan kepada anda berbanding dengan audien yang bermuka begis dan keliru. Audien yang puas akan menunjukan riak muka yang ceria manakala audien yang tidak dapat mengikuti persembahan anda akan menunjukkan riak muka yang berkerut. Riak muka yang berkerut akan meningkatkan rasa gementar anda.

3. Berlaku jujur pada diri.
Jadilah diri anda yang sebenarnya. Anda tidak perlu berlakon semasa di hadapan orang ramai. Berlakon membuatkan anda menjadi orang lain. Anda perlu membiasakan perlakuan diri anda semasa anda bersendirian ataupun semasa anda bersama-sama dengan orang lain. Audien atau rakan anda akan berasa selesa jika perlakuan anda konsisten. Anda akan tertekan sekiranya anda cuba berlakon dan menjadi orang lain semasa anda berada di hadapan kelas semasa membuat pembentangan. Jadi berinteraksilah dengan audien anda sama sebagaimana anda berinteraksi dengan mereka pada hari-hari biasa. Anda perlu berasa yakin, gembira dan ceria.

4. Apakah kemahuan anda.
Fikirkan tentang apa yang anda mahu, bukannya apa yang anda tidak mahu. Jika anda memikirkan sesuatu yang anda tidak mahu bermakna anda sedang mengelakkan sesuatu dan akan berakhir dengan perasaan gentar dan panik. Contohnya jika anda tidak mahu orang bertanya semasa anda membuat pembentangan, akhirnya apabila orang bertanya semasa anda membuat pembentangan ini akan menghasilkan perasaan kurang senang anda dan ini akan memberi implikasi negatif terhadap diri anda sendiri. Audien bertanya, audien bermasam muka, audien menguap, dan audien tidur merupakan perkara yang boleh berlaku di dalam sesuatu pembentangan. Jika ini berlaku anggaplah fenomena tersebut adalah biasa dan anda tidak perlu berasa gusar dan gentar.

5. Atasi kekurangan.
Dapatkan pandangan kawan-kawan apakah kekurangan semasa pembentangan anda. Segala komen yang diberi hendaklah diterima dengan lapang dada dan fikirkan bagaimana anda boleh mengatasinya. Ingat, fokus anda ialah bagaimana anda dapat menyampaikan persembahan anda dan audien mendapat manafaat dari persembanhan yang anda kongsi. Jadi audien sebenarnya bukan ingin melihat anda, tetapi mereka ingin melihat apakah yang anda sampaikan dan bagaimana anda menyampaikannya.



Saya hilang kepercayaan dengan kawan-kawan ...

Saya pelajar di sebuah sekolah menengah. Saya mempunyai ramai kawan tetapi akhir-akhir ini saya mula hilang percaya kepada kawan-kawan saya. Perkara ini bermula apabila saya merasakan mereka tidak ikhlas berkawan dengan saya. Sebagai contoh saya mempunyai seorang kawan yang saya kenali hampir 6 tahun sejak bermula dari sekolah rendah lagi. Saya sering berbincang dan berbual perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajaran. Tetapi pada suatu hari saya dapati dia menghadiri kelas tuisyen tanpa memberitahu saya. Apabila saya bertanya, dia cuba mengelak dari memberi jawapan yang sebenarnya. Satu peristiwa lagi pada awal tahun ini ada seorang kawan saya tidak memberitahu saya tentang seminar motivasi yang dihadirinya. Akhirnya saya rasa bahawa kawan-kawan saya hanyalah ingin menggunakan saya dan tidak mahu berkongsi maklumat jika maklumat itu penting kepada saya. Sekarang saya tidak mahu mempercayai sesiapa lagi. Adakah perasaan dan tindakan saya itu betul? Tetapi ada masa saya rasa bersalah. Saya sungguh keliru. Harap tuan dapat bantu saya.

Keliru dan terganggu, Seremban

JAWAPAN

Salam, semoga anda ceria dan berbahagia selalu. Selepas meneliti pemasalahan yang anda bawa pada minggu ini, saya dapat rasakan betapa beratnya perasaan anda menangani isu ini. Marilah kita sama-sama memikirkan perkara yang telah berlaku dan mempertimbangkan sama ada perasaan dan keputusan yang anda ambil itu betul ataupun tidak. Sejak dari sekolah rendah lagi anda telah berkawan dengan sahabat-sahabat anda. Enam tahun bukanlah masa yang singkat. Mungkin anda telah berkongsi berbagai pengalaman suka dan duka bersama dengan rakan anda itu. Memang adat berkawan mesti ada pasang dan surut, turun dan naiknya. Kini anda sedang berhadapan dengan satu isu di mana anda merasakan diri anda telah dibohongi dan anda merasa bahawa rakan anda telah tidak berlaku jujur dengan anda. Dua peristiwa yang berlaku tersebut membuatkan anda sangat berkecil hati dan anda seolah-olah tidak mahu lagi berkawan dengan sesiapa. Anda berhak untuk mengambil apa saja keputusan yang anda fikirkan. Sebelum keputusan diambil anda perlu memikirkan adakah keputusan anda itu betul dan rasional? Cuba renungi persoalan-persoalan ini. Adakah sahabat anda perlu memberitahu anda tentang tuisyen dan seminar motivasi yang dihadiri? Adakah anda merasakan satu kewajipan bagi sahabat anda untuk memberitahu anda apa jua yang dilakukannya khususnya di dalam bidang-bidang berkaitan pelajaran? Tidakkah anda juga boleh menghadiri tuisyen jika anda mahu tanpa memberitahu rakan-rakan anda? Tidakkah anda juga boleh menghadiri mana-mana kursus atau seminar motivasi tanpa memberitahu atau mengajak rakan-rakan anda? Jika apa sahaja aktiviti yang anda ceburi dan anda memberitahu rakan anda tentangnya bukankah itu pilihan anda sendiri untuk memberitahu mereka? Salah dan berdosakah anda jika anda tidak memberitahu mereka? Fikirkanlah perkara-perkara tersebut sebelum anda mengambil apa-apa keputusan untuk menjauhkan diri anda dari rakan-rakan anda. Mungkin anda juga boleh berbincang dengan rakan-rakan anda tentang hasrat anda untuk bersama-sama dengan mereka jika mereka ada peluang untuk menyertai apa-apa aktiviti belajar. Mungkin anda boleh meminta mereka memberitahu anda tentang apa sahaja maklumat berkaitan pelajaran untuk kepentingan bersama. Sekiranya mereka masih tidak memberitahu anda itu adalah pilihan dan hak mereka. Semoga keinginan dan hasrat anda didengar oleh rakan-rakan jika anda masih memberi peluang untuk meneruskan perhubungan dengan mereka. Jika tidak, anda boleh memilih untuk melupakan mereka. Semoga pilihan anda dapat memberi manafaat kepada anda dan dapat memberi keselesaan dan kebahagiaan kepada anda. Sekian.

Artikel:

Pengembangan Diri:
Bagaimana Anda Dapat Mengekalkan Persahabatan

Kawan atau sahabat merupakan antara perkara yang penting di dalam hidup. Orang yang tidak mempunyai kawan dipandang serong di dalam masyarakat Melayu. Mereka digelar “kera sumbang”. Kera sumbang hidup tidak keruan. Buat ini salah, buat itu salah, semua serba salah. Oleh itu sebagai seorang pelajar, nikmat berkawan perlu dihargai. Untuk mengekalkan persahabatan anda dengan rakan anda mungkin tips hari ini dapat membantu.

1. Diri anda perlu dikenali.

Diri anda perlu dikenali oleh rakan anda. Anda perlu mendedahkan nama anda yang sebenar, latarbelakang keluarga, kelemahan dan kekuatan, keinginan dan cita-cita, matlamat pendidikan dan matlamat kerjaya anda. Ringkasnya anda perlu memberitahu siapa diri anda sebenarnya agar kawan-kawan memahami dan mengenali anda. Namun begitu tidak salah sekiranya anda menyimpan beberapa perkara yang anda anggap sangat peribadi.

2. Anda perlu mengenali rakan anda pula.

Anda pula perlu mengenali kawan-kawan anda secara lebih dekat. Anda perlu mengetahui nama penuh, latarbelakang keluarga, apa kegemaran dan hobi, apakah matlamat pendidikan dan kerjaya, apakah perkara yang disukai dan dibenci dan yang paling penting mengingati tarikh lahirnya.

3. Memahami antara satu sama lain.

Apabila anda telah mengenali rakan anda dan rakan anda mengenali anda maka perhubungan akan menjadi lebih rapat. Hubungan dapat terbina dengan lebih erat kerana hubungan antara dua insan merupakan proses ke arah satu matlamat iaitu keselesaan dan mencapai kebahagiaan.

4. Hulurkan bantuan.

Berikan bantuan kepada rakan anda yang memerlukan. Sekiranya mereka menyatakan pemasalahan, berikan perhatian yang sewajarnya. Memberi perhatian membawa maksud anda perlu mempunyai kemahiran mendengar yang baik, kemahiran melayan yang baik dan kemahiran memberi maklum balas yang baik.

5. Berkongsi minat yang sama.

Persahabatan akan lebih baik jika anda dan rakan anda mempunyai minat yang sama. Contohnya anda sama-sama suka belajar di tempat yang sama, membaca topik yang sama, berbincang perkara yang sama, bermain permainan yang sama. Kesamaan ini akan memudahkan interkasi anda dengan rakan. Tidak bermakna anda tidak boleh berkonflik, tetapi masa berkonflik anda dapat dikurangkan dengan adanya aktiviti-aktiviti yang anda dan rakan anda sama-sama minati.

Saya Cuba Dipengaruhi Ke arah Kejahatan....


Saya sedang belajar dalam tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Muar Johor. Masalah saya ialah saya berada di dalam kelas yang agak belakang. Keputusan peperiksaan saya tidak berapa baik pada tahun lalu disebabkan saya selalu tidak hadir ke sekolah sebab sering sakit dan demam. Lantaran itu saya telah ditempatkan di dalam kelas yang belakang. Masalah saya sekarang ini ialah saya tidak dapat belajar dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran guru kerana kawan-kawan di dalam kelas ini selalu bising dan tidak mahu menumpukan kepada pelajaran. Kawan-kawan dalam kelas ini juga sering menganggu saya dan sering mengajak saya melakukan perkara-perkara yang negatif seperti ponteng, merokok, bercakap lucah dan melawan guru. Saya khuatir saya terpengaruh dengan mereka. Bagaimanakah cara saya dapat menjauhkan diri dari perkara-perkara negatif. Harap tuan dapat memberi nasihat kepada saya. Terima kasih.
Moor Town, Johor.
JAWAPAN

Anda risau jika anda terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif yang berada di dalam kelas anda. Tahniah kerana anda telah cuba menjauhkan diri dari dipengaruhi oleh mereka. Memang sukar untuk melindungi diri dari dipengaruhi jika anda tidak mempunyai sikap dan semangat yang teguh.
Ada 3 perkara yang boleh anda analisa dan fikirkan tentang bagaimana anda dapat menjauhi dari perkara-perkara negatif tersebut dari dapat mempengaruhi anda. Pertama, analisa dan fikirkan batas pergaulan anda dengan kawan-kawan anda di dalam kelas. Kedua analisa dan memahami perkara-perkara yang positif yang boleh menjadi teladan dan perkara-perkara negatif yang anda jadikan sempadan di dalam kehidupan anda. Ketiga, analisa dan fikirkan persoalan bagaimana anda dapat menghalang perkara negatif mempengaruhi kehidupan anda. Dari aspek pergaulan semua orang memerlukan rakan dan sahabat. Anda sebagai seorang pelajar tidak terkecuali untuk bercampur dan bergaul dengan rakan-rakan di dalam kelas anda. Cuma anda perlu pandai dan bijak bergaul dengan mereka. Saya teringat kepada pepatah Melayu yang mengatakan “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali”. Anda boleh berkawan cuma anda perlu menyedari batasan di antara yang dibolehkan dengan yang diharamkan. Anda juga boleh menilai perkara-perkara yang dikatakan baik dan perkara-perkara yang tidak baik. Jika anda telah kenal dan dapat menilai yang mana baik dan yang mana buruk bermakna anda telah berhati-hati terhadap sesuatu perkara itu. Selama mana anda berhati-hati dengan perkara tersebut selama itulah anda akan berada di dalam zon yang selamat. Untuk menghalang perkara-perkara buruk berlaku kepada diri anda, anda boleh melihat sesuatu itu dari aspek sebab dan akibat sesuatu perkara. Minda yang Allah berikan kepada manusia mampu untuk mempertimbang dan memikirkan sebab dan akibat sesuatu perkara itu. Contohnya jika ponteng kelas itu akan mendatangkan risiko yang sangat negatif kepada diri anda maka tidak perlulah anda mencubanya. Jika merokok itu boleh mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada manusia dan keturunannya mengapa mesti dicuba. Jika anda mampu untuk berfikir dan memikirkan sebab dan akibat sesuatu perkara maka anda akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan segala bentuk cabaran. Semoga anda berjaya.


ARTIKEL:

Pengembangan Diri:
Bagaimana Anda Dapat menghindarkan Diri Anda dari Dipengaruhi Oleh Perkara Negatif

Ramai pelajar yang datang berjumpa saya untuk berbincang tentang masalah personal mereka. Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan dengan bagaimana untuk mengelak dari terpengaruh perkara yang negatif. Kebanyakan pelajar menganggap perkara yang negatif lebih teruja untuk dicuba tetapi apabila telah dicuba ia sukar untuk dilupa. Oleh itu pelajar mesti lebih bersedia agar diri tidak terjebak dengan perkara negatif yang mengujakan dan penuh “thrill”. Antara tips yang boleh saya kongsikan dengan pelajar minggu ini ialah bagaimana anda harus tidak terpengaruh dengan tingkahlaku negatif tersebut.

1. Jadilah diri anda sendiri

Anda adalah apa yang anda fikirkan. Pemikiran, perasaan dan perlakuan anda itu adalah anda sebenarnya. Di dalam kehidupan ini anda mempunyai banyak pilihan. Semua pelajar inginkan kejayaan dan kebahagiaan termasuklah diri anda. Anda mesti tahu apa kemahuan anda. Ikutilah kemahuan itu berdasarkan pertimbangan yang wajar dan waras. Jika anda tahu apa yang anda mahu maka dengan sendirinya anda akan menolak elemen yang negatif yang boleh menganggu cita-cita dan matlamat hidup anda.

2. Pilih rakan yang mempunyai kualiti positif

Kebanyakan pelajar akan berada di dalam kumpulan pilihannya. Jika anda berada di dalam kumpulan pelajar yang tiada mempunyai motivasi untuk belajar maka anda juga akan mengikut rentak mereka. Jika anda berada di kalangan kumpulan pelajar yang mempunyai kecendrungan untuk bersaing dan berjaya anda juga akan turut serta untuk bersaing dan berjaya.

3. Dengarkan kata-kata ibu bapa anda

Ibu dan bapa merupakan manusia keramat bagi setiap anak. Kasih sayang mereka terhadap anak-anak adalah tanpa bersyarat. Doa dan harapan mereka sangat tinggi terhadap kejayaan dan kebahagiaan anak-anak. Tidak ada ibu bapa yang inginkan anak-anaknya kecundang di dalam hidup. Oleh itu dengarlah kata-kata dan segala nasihat dari mereka. Mudah-mudahan anda akan mendapat rahmat dan berkat.

4. Bersikap Tegas dan Kawal Diri

Anda tahu apa yang anda inginkan di dalam hidup anda. Anda juga tahu perkara buruk dan baik sebagai cabaran dan ujian di dalam kehidupan. Anda juga sedar bahawa anda mempunyai kemampuan untuk memilih perkara yang benar dan perkara yang salah. Anda juga sedar tentang akibat jika anda memilih perkara yang salah. Oleh itu anda sedar tentang kemudharatan terhadap sesuatu perkara yang negatif. Anda bertekad untuk tidak mahu mencuba dan tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri anda sendiri.

5. Anda tidak boleh mengubah persekitaran tetapi anda boleh mengubah pemikiran anda

Sebagai kesimpulan anda perlu menyedari bahawa andalah yang menentukan arah hidup anda sama ada ke arah kejayaan atau kegagalan. Kejayaan dan kegagalan adalah pilihan anda sendiri. Cabaran, ujian dan masalah adalah asam garam hidup. Jika anda membiarkan persekitaran mengubah hidup anda maka anda akan menjadi seorang yang cepat berputus asa. Jika anda berserah kepada takdir semata-mata bermakna anda tidak membawa apa-apa perubahan kepada diri anda, tetapi jika anda berusaha dengan gigih dengan kudrat yang ada dan kemudian memohon dan berdoa kepada Allah di atas usaha yang anda telah lakukan, maka anda telah berada diambang kejayaan.

Saya Tidak Tahan Ibubapa Sering Bergaduh...


Saya anak yang pertama dari 3 orang adik-beradik. Saya berada di tingkatan 5, adik yang kedua lelaki di tingkatan 2 dan yang paling bongsu perempuan baru darjah 4. Sejak akhir-akhir ini ibu seolah-olah kecewa dengan sikap ayah yang panas baran dan selalu pulang lewat ke rumah. Ibu syak ayah ada menyimpan perempuan lain. Apabila ayah balik rumah mereka selalu bertengkar sehinggakan terdengar oleh jiran-jiran. Apabila mereka bergaduh kami adik beradik akan sembunyi di dalam bilik. Saya amat malu dengan jiran-jiran. Saya juga hilang mood untuk belajar. Ada juga masa saya fikir hendak lari dari rumah, tetapi apabila memikirkan adik-adik saya, saya berat hati untuk berbuat demikian. Saya amat tertekan sekarang. Tumpuan saya untuk SPM tahun ini sudah tidak ada. Harap tuan dapat bantu saya.
Cinderella Duka, P.Pinang.
Jawapan:

Anda merupakan anak sulong yang sangat bertanggungjawab terhadap adik-adik. Anda telah memendamkan hasrat untuk lari dari rumah kerana masih sayangkan adik-adik. Anda juga kini akan berhadapan dengan peperiksaan yang penting bagi anda. Namun nampaknya ibu bapa tidak memahami perasaan dan hasrat anda. Mereka asyik bergaduh di hadapan anda dan pergaduhan tersebut membuatkan anda malu dengan jiran-jiran, anda muak dan anda ingin lari dari keadaan ini. Itulah senario yang dapat saya fahami dari luahan perasaan anda. Saya juga dapat bayangkan betapa hancurnya hati anda memikirkan soal diri anda yang tidak dipedulikan yang sedang berhadapan dengan SPM dan ditambah pula dengan tanggungjawab anda terhadap adik-adik anda.
Marilah kita sama-sama melihat perkara ini dengan jelas agar isu yang anda kemukakan dapat kita rungkaikan satu persatu. Pertama, anda akan menghadapi peperiksaan yang sangat penting untuk diri anda dan juga keluarga anda termasuklah untuk adik-adik anda. Peperiksaan ini tidak boleh tidak perlu anda lalui dengan usaha yang gigih dan dengan semangat yang tabah. Peperiksaan ini nanti akan menentukan kedudukan kerjaya anda pada masa hadapan. Saya tidak tahu apakah matlamat kerjaya anda tetapi saya pasti dengan keputusan SPM yang cemerlang eksplorasi kerjaya anda akan menjadi lebih mudah. Kedua, ibu bapa anda perlu mengetahui hasrat dan cita-cita anda untuk peperiksaan ini. Soal mereka bergaduh dan bertengkar itu adalah cara mereka untuk menyelesaikan masalah mereka. Mungkin mereka mempunyai sebab dan alasan untuk berbuat demikian tetapi anda sebagai anak juga mempunyai sebab dan alasan untuk diberikan peluang agar anda dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran anda tanpa gangguan dari mereka. Jika anda dapat menyatakan kepada mereka hasrat anda untuk mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan mungkin mereka akan menyedari tentang kesilapan mereka itu. Mungkin mereka tidak sedar pergaduhan mereka mengganggu konsentrasi anda. Mungkin anda kena fikirkan cara terbaik untuk anda menyatakan kepada mereka agar mereka dapat memahami keperluan dan hasrat anda.
Jika mereka masih begitu juga anda perlu ada inisiatif sendiri dan memikirkan bagaimana caranya di dalam keadaan mereka bercakaran anda masih lagi dapat menumpukan kepada pelajaran anda kerana peperiksaan sangat penting buat anda. Mungkin anda kena belajar untuk menerima keadaan itu dan pada masa yang sama anda masih dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran. Memikirkan untuk lari dari rumah adalah jalan yang paling mudah untuk menyelesaikan kerungsingan buat sementara tetapi risikonya sangat tinggi. Anda mungkin akan kehilangan semuanya; SPM anda, adik-adik anda, ibu bapa anda dan yang paling malang anda hilang jati diri anda. Insyallah, dengan berkat ketabahan, kesungguhan dan keikhlasan, Allah akan memberi kekuatan kepada anda untuk menyatakan kepada ibu bapa dan Allah memberi kefahaman kepada ibu bapa anda untuk mengubah tingkahlaku mereka. Jika masih gagal, ingat bahawa kesabaran dan usaha yang berkekalan akan membawa kepada kemenangan anda. Semoga anda berjaya dan tabah menghadapi setiap rintangan dan ujian.


Artikel Minggu Ini

Pengembangan Diri:

Maafkanlah ibu bapa anda...
Ibu bapa merupakan insan yang membawa anda ke dunia ini. Pengalaman dengan mereka sangat pelbagai. Ibu bapa yang penuh dengan sikap kasih sayang akan membahagiakan anak-anak mereka tetapi tidak semua anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang sedemikian. Namun, anda sebagai anak tidak ada pilihan selain dari redha dan dapat menerima ibu bapa anda seadanya. Jika anda tergolong dari kumpulan mereka yang mempunyai ibu bapa yang kurang memberikan kasih sayang kepada anda, artikel minggu ini memberikan anda sedikit tips bagaimana anda boleh memaafkan kelemahan mereka.
1. Ibu dan Bapa Tidak Menyedari Bila dan Bagaimana Mereka Menyakitkan Hati Anda.
Tidak ada ibu dan bapa yang dengan sengaja ingin menyakitkan hati anak-anak mereka. Perasaan sakit hati merupakan andaian dan persepektif anda terhadap mereka apabila ada beberapa perkara yang berbeza antara anda dengan mereka. Senarikanlah perkara yang anda rasa anda tidak selesa tentang perlakuan mereka terhadap anda. Senarai ini hanyalah merupakan senarai untuk diri anda membuat refleksi tentang kesilapan yang mungkin anda lakukan yang mencetuskan situasi itu. Di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa seseorang anak tidak boleh menyakitkan hati ibu dan bapanya. Jadikanlah itu sebagai panduan anda terhadap perhubungan anda dengan ibu bapa anda.
2. Fikirkan Perkara Yang Mungkin Anda Telah Menyakitkan Hati Mereka.
Buatkan satu senarai tentang kemungkinan anda juga telah menyakitkan hati mereka secara tidak sengaja atau disengajakan. Mungkin anda tidak mengendahkan kata-katanya, tidak melaksanakan tugas yang diberikan, ketinggian nada suara anda, jelingan mata anda terhadapnya, tidak mendengar dan memberi perhatian semasa mereka berkata-kata, tidak mengucapkan terima kasih terhadap layanan mereka terhadap anda dan seumpamanya. Anda juga perlu sedar bahawa kebanyakan ibu dan bapa mempunyai suatu sikap yang sangat sensitif terhadap sesuatu.
3. Fahami Doa Dan Harapan Mereka Terhadap Anda
Ibu bapa yang bahagia adalah ibu bapa yang melahirkan anda ke dunia ini. Mereka pernah berharap dan berdoa agar anda bahagia, sihat, sejahtera, menjadi orang yang berguna, kaya raya, berakhlak mulia, beriman, baik di dunia dan di akhirat. Pandangan ini adalah merupakan temubual saya dengan 20 ibu bapa yang mempunyai anak. Anda juga seharusnya mempunyai doa dan harapan untuk mereka. Doa dan harapan itu adalah lebih baik lagi melalui usaha dan tindakan anda terhadap doa dan harapan mereka. Maksudnya anda perlu menjaga kesihatan anda, menjaga akhlak, berusaha di dalam pelajaran dan seumpamanya.
4. Fahami Perasaan Dan Pemikiran Ibu Dan Bapa Anda
Setiap manusia tidak sama dari aspek sifat, sikap dan perwatakan. Ibu bapa anda juga demikian. Anda boleh membaca perasaan mereka seperti kesedihan, kegembiraan, kemarahan, kekecewaan, kesukaan dan seumpamannya. Perasaan ini akan memberi kefahaman kepada anda untuk menyelami perasaan dan fikiran mereka. Bincangkan juga perasaan anda dengan mereka agar mereka dapat memahami. Mereka juga ingin tahu hasrat dan harapan anda. Mereka juga perlu tahu bilakah anda akan berasa sedih, kecewa dan gembira. Mudah-mudahan jurang perasaan dan pemikiran yang terdapat antara anda dengan ibu bapa anda semakin menipis, akhirnya anda akan memahami mereka dan anda dapat berlapang dada serta dapat memaafkan mereka.

Anak Saya Sakit Dan Tidak Bersekolah...

Sebulan lepas anak saya telah terlibat dalam kemalangan. Kedua-dua kaki dan tulang punggung patah. Kini dia terlantar di dalam wad hospital. Saya kena berulang alik dari rumah saya ke hospital untuk menjaga anak saya di hospital. Suami saya pemandu lori dan saya mempunyai dua orang anak lagi di rumah. Ini sangat merungsingkan saya. Mujurlah emak saya masih ada untuk menjaga anak-anak saya yang masih kecil yang tinggal di rumah. Yang menjadi masalah saya ialah tentang pembelajaran anak saya. Dia telah dua bulan tidak ke sekolah dan tahun ini dia akan menduduki peperiksaan PMR. Saya risau pelajarannya akan merosot. Bagaimanakah saya dapat membantu anak saya menghadapi peperiksaan sedangkan dia masih terlantar sakit di hospital. Saya harap kaunselor dapat membantu saya dalam hal ini. Terima kasih.
Rahayu, Terangganu
JAWAPAN

Terima kasih kerana menghubungi kami. Pertama saya ingin mengucapkan simpati terhadap kemalangan yang menimpa anak anda. Kedua saya merakamkan rasa kekaguman kepada anda kerana walaupun dalam keadaan yang sukar anda masih ingat dan pentingkan pelajaran anak anda. Seterusnya saya hargai usaha anda untuk mahu bersama-sama menemani anak anda di hospital. Usaha anda ini akan dapat memberi motivasi dan semangat kepada anak. Berkaitan dengan pemasalahan yang anda kemukakan ada 2 perkara penting yang anda nyatakan. Pertama anda merasa rungsing terhadap keadaan anak anda yang telah dua bulan berada di hospital sedangkan anak-anak anda yang lain kena dijaga oleh ibu anda. Kedua anda rungsing memikirkan tentang pembelajaran anak anda sedangkan pada tahun ini dia akan menghadapi peperiksaan yang besar. Alhamdulillah, ibu anda masih ada untuk menjaga anak-anak anda di rumah. Anak anda yang berada di hospital masih memerlukan anda untuk mendapatkan sokongan dan bantuan emosi anda. Berkaitan dengan masalah pelajarannya ada beberapa perkara yang anda boleh pertimbangkan. Pertimbangan ini berdasarkan keupayaan anda sendiri untuk melaksanakannya. Pertama anda boleh membawakan buku-buku teksnya ke hospital. Berdasarkan kepada sukatan pelajaran tingkatan tiga dan isi kandungan yang terdapat pada buku-buku teks tersebut mintalah anak anda mengulangkaji dan membuat latihan yang ada pada buku teks itu. Anda sendiri boleh membimbing untuk mengulangkaji pelajarannya. Anda juga boleh mendapatkan buku-buku latihan bimbingan menjawab soalan yang tidak berapa mahal harganya di kedai buku sebagai latihan untuk anak anda. Anda boleh menyemak jawapan yang ada pada buku latihan tersebut. Anda juga boleh berbincang dengan guru besar sekolah untuk mendapatkan bantuan sukarela guru-guru yang sanggup datang dan memberi latihan dan mengajar anak-anak anda di hospital. Anda boleh menceritakan masalah ini kepada guru besar dan keinginan dan hasrat anda terhadap pendidikan anak anda. Anda juga boleh mendapatkan bantuan dari badan-badan sukarela bukan kerajaan untuk mendapatkan bantuan tenaga pengajar untuk membimbing anak anda semasa di hospital. Anda juga boleh bertanyakan kepada kawan-kawan anak anda tentang kerja rumah atau latihan yang diberikan oleh guru. Pastikan bahawa anda telah berbincang dengan pihak hospital untuk memberi kebenaran kepada anda atau orang luar yang datang untuk mengajar anak anda. Jika anak anda tidak boleh bergerak dari katil anda boleh mengajarnya dari sebelah katilnya, jika anak anda boleh bergerak dan berjalan anda boleh membawanya ke tempat yang sesuai untuk dia mengulangkaji pelajarannya dengan lebih selesa. Semoga usaha anda yang mementingkan pendidikan anak-anak anda akan mendapat keberkatan dari Allah dan semoga Allah akan memberi kemudahan dan kejayaan kepada anak dan kepada anda sekeluarga. Semoga jawapan ini dapat membantu anda.

Artikel:

Pengembangan Diri: Bagaimana Anda Belajar Secara Sendirian

Pada musim peperiksaan yang lepas ramai pelajar masih e-mel saya bertanyakan tentang tip-tip bagaimana belajar dalam waktu kritikal, maksudnya belajar pada saat-saat akhir waktu peperiksaan. Sering kali saya menasihati bahawa belajar di saat-saat akhir akan mengundang risiko yang tinggi. Belajar perlu bermula dari awal tahun secara konsisten. Ulangkaji juga perlu dilakukan lebih kerap. Lebih kerap anda mengulangkaji lebih biasa anda dengan subjek yang tersebut dan anda akan menjadi lebih mahir. Walau bagaimanapun pada minggu ini diberikan tips bagaimana anda boleh mendapat manafaat terhadap apa yang anda pelajari .

1. Membaca Dalam Jangka Waktu Pendek Tetapi Selalu.

Kajian menunjukkan belajar atau membaca buku dalam waktu yang lama akan membosankan anda. Anda juga akan mengantuk dan keletihan. Kaedah yang paling baik ialah membaca 10 minit rehat 5 minit dan ulangi proses itu mengikut keselesaan anda. Otak yang terlalu lama bekerja akan keletihan dan ia memerlukan rehat. Waktu rehat itu akan menjana kesegaran otak semula. Minda anda akan berfungsi dengan baik apabila otak segar.

2. Ambil Waktu Untuk Berehat Jika Tiada Mood.

Anda mungkin memerlukan sehari atau dua hari rehat dari belajar. Ada pelajar yang berasa bersalah jika tidak belajar walaupun satu hari. Anda tidak perlu gusar jika anda langsung tidak ada mood untuk mentelaah dalam sehari dua. Jika anda rasa tidak ada mood lebih baik anda terus rehatkan minda anda dengan melakukan kerja-kerja lain. Jika anda memaksa diri anda untuk belajar maka anda akan menjadi lebih stres.

3. Apabila Anda Belajar Perkara/Tajuk Baru Buat Ulangkaji Secepat Mungkin.

Perkara-perkara baru yang anda pelajari perlu diulangkaji secepat mungkin. Ulangi dan cuba ingati setiap fakta dan huraiannya. Lagi cepat anda mengulangkaji lagi kuat lekatan ingatan anda terhadap isi kandungan yang anda baca. Perkara ini akan memudahkan anda mengait dan mengingatkan isi kandungan pelajaran pada masa akan datang.

4. Belajar Dari Perkara Mudah Kepada Yang Lebih Susah.

Proses belajar secara fitrahnya adalah mengikut susunan dari yang mudah kepada yang sukar, dari yang dekat kepada yang jauh, dari yang senang kepada yang susah. Jika anda menggunakan prinsip ini anda akan membiasakan diri anda dengan bermula dari fakta yang penting atau tajuk utama menjurus kepada huraian terhadap fakta atau sub tajuk. Biasakan diri anda dengan fakta-fakta yang jelas dan konkrit dan yang mudah anda fahami. Selepas itu barulah anda mentelaah perkara-perkara yang lebih abstrak.

5. Tentukan Matlamat Yang Munasabah.

Ramai pelajar kecewa apabila pelajar tiada langsung matlamat ataupun menetapkan matlamat terlalu tinggi. Pelajar yang tiada matlamat akan berusaha secara tanpa arah dan tujuan. Mereka akan cepat berasa bosan dan kecewa. Pelajar yang menetapkan matlamat terlalu tinggi tidak pernah merasa dan mencapai kejayaan. Akhirnya mereka juga akan kecewa. Untuk menetapkan matlamat lihat pencapaian diri semasa, berdasarkan pencapaian itu barulah ditetapkan matlamat yang boleh dijangka dan dapat dicapai. Usahakan matlamat yang anda tetapkan itu sehingga berjaya. Anda juga perlu dapat membezakan matlamat jangka panjang dan matlamat jangka pendek. Perkara ini telah dijelaskan di dalam artikel terdahulu.

Bersambung …