About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Saturday, August 3, 2013

Meniru … Demi Kasih Sayang Ibu bapa

Saya belajar di tingkatan 2 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.  Ibu dan ayah saya mengharapkan saya menjadi pelajar yang cemerlang.  Berbanding dengan adik beradik saya yang lain, saya dianggap sebagai lemah.  Ibu dan bapa saya sayang kepada adik beradik yang lain tetapi bukan saya.  Untuk mendapat keputusan yang baik agar disayangi ayah dan ibu,  saya telah meniru semasa di dalam peperiksaan.  Mungkin nasib saya kurang baik, baru-baru ini saya ditangkap meniru di dalam peperiksaan.  Selepas itu saya telah menjadi bahan perbualan rakan dan guru.  Mereka menyindir, perli dan mengutuk saya.   Walaupun ibu bapa saya tidak mengetahui akan hal ini tetapi saya takut mereka akan tahu dan teruklah saya nanti.  Bagaimana saya dapat mengembalikan kepercayaan kawan-kawan saya.  Saya berharap cikgu kaunselor dapat membantu saya.  Terima kasih.                                                                                         
                                                                                  Mohd Fadhil, Kuala Lumpur

JAWAPAN
Meniru di dalam peperiksaan merupakan perbuatan yang salah.  Anda telah mendapat hukuman terhadap perbuatan salah itu.    Punca segala peristiwa yang berlaku adalah disebabkan keinginan anda untuk disayangi ibu dan bapa anda kerana mereka ingin melihat anda cemerlang dan berjaya dalam pelajaran.  Hasrat ibu dan ayah anda agar anda berjaya adalah murni.  Hasrat anda juga murni untuk berjaya di dalam pelajaran cuma cara anda untuk mendapatkan keputusan terbaik itu sahaja yang salah.   Dalam hal ini ada 2 perkara penting yang boleh dipertimbangkan. 
Pertama, setakat mana anda dapat menerima hukuman yang anda terima dan kedua setakat mana anda dapat berusaha untuk berjaya tanpa meniru.  Ejekan kawan dan sindiran merupakan hasil daripada salah laku yang telah anda lakukan.   Setakat ini anda kena terima hasil kesilapan yang telah anda lakukan tetapi dalam pada masa yang sama anda kena lihat apakah yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan kepercayaan rakan-rakan dan guru semula.  Anda kena fikirkan cara lain untuk meningkatkan tahap prestasi pelajaran anda.  Anda kena merancang bagaimana untuk mendapat keputusan yang baik tanpa meniru rakan.  Sekiranya ibu bapa anda tahu tentang perkara yang telah berlaku apakah yang perlu anda lakukan untuk menjamin bahawa perkara yang telah berlaku itu tidak akan berulang kembali.  Ibu bapa berhak untuk memarahi perbuatan salah anak, dan anda sebagai anak mempunyai tanggungjawab untuk membetulkan kesalahan tersebut dan membuktikan kepadanya bahawa kesalahan itu tidak berulang lagi.  Perkara-perkara inilah yang boleh anda fikirkan untuk menebus kembali kesilapan yang lalu dan pada masa yang sama berharap agar kawan-kawan dan guru dapat mengembalikan semula kepercayaan mereka terhadap anda. Mohon keampunan dari Allah dan mulakan usaha tingkah laku baru yang boleh menjurus kepada kejayaan.   Semoga ceria selalu.           
                                                                                                                    
                                                                                                                    
Artikel Selasa:
Sambungan…

Pengembangan Diri: Belajar Untuk Kejayaan (Strategi Belajar Yang Sesuai)   
Ramai pelajar yang belajar tetapi tidak mendapat manafaat dari perkara yang mereka pelajari.  Perkara ini berlaku kerana pelajar tidak menggunakan strategi dan teknik yang sesuai.  Pada minggu-minggu yang lalu anda telah didedahkan tip tentang peranan anda sebagai pelajar semasa anda berada di sekolah dan di rumah.  Tip pada minggu ini adalah berkaitan dengan mengetahui strategi dan teknik membaca yang berkesan dan sesuai bagi pelaksanaan pelajaran anda. 

1.       Teknik-teknik Membaca
a.       Teknik Scanning
i.                     Kelajuan bacaan: Membaca secara cepat. Tidak membaca semua tetapi membuat pemilihan topik, sub-topik, ayat, frasa atau perkataan tertentu.
ii.                   Kegunaan: Mencari perkara khusus, isi penting, definisi, peristiwa, nama dan seumpamannya.
iii.                  Bahan sesuai : kamus, buku rujukan, buku teks, senarai, atlas.
b.      Teknik Skimming:
i.                     Kelajuan bacaan: Membaca laju. Tidak membaca semua.
ii.                   Kegunaan: mencari idea penting, mencari perkaitan antara satu topik dengan topik yang lain antara topik dengan sub-topik.
iii.                  Bahan sesuai: artikel, akhbar, buku fiksyen, novel, majalah.
c.       Teknik Membaca Terperinci
i.                     Kelajuan bacaan: Membaca seluruh perkataan dengan teliti untuk memahami.
ii.                   Kegunaan: Mencari fakta, idea, perkaitan, makna.
iii.                  Bahan sesuai: Semua jenis bacaan.
2.       Sistem  SQ3R
Sistem belajar dengan menggunakan teknik SQ3R sangat berkesan.  Ramai pelajar yang telah berjaya menggunakan teknik ini. 
a.       S=Survey (tinjauan) – Buat tinjauan atau penerokaan kepada keseluruhan buku. Lihat dari aspek tajuk, isi kandungan, topik, sub-topik, ilustrasi, peta, rajah, jadual yang ada di dalam buku tersebut. Tujuan agar anda dapat mengenali keseluruhan isi buku tersebut.
b.      Q=Question (Tanya) – Beri perhatian kepada topik dan sub-sub topik.  Wujudkan soalan-soalan kepada tajuk-tajuk dan sub-sub topik dalam buku tersebut. Soalan berdasarkan apa, siapa, di mana, bila dan mengapa. Tentukan masa untuk anda membaca topik-topik tertentu. Tujuan agar anda mengetahui isi kandungan buku itu.
c.       3R = Read, Recite, Review (Baca, Sebut, Ulang baca) – Baca dan beri tumpuan kepada topik secara teliti. Fahamkan isi-isi penting. Selepas bacaan kali pertama baca sekali lagi dengan memberi tanda-tanda kepada isi-isi penting seperti gariskan, bulatkan, hitamkan, warnakan dan sebagainya. Sebutkan perkara yang anda telah baca dengan menyebutkan semula agar anda akan dapat mengingat dan memahami. Sebutkan kepada diri anda ataupun kepada rakan-arakan anda yang lain.  Jika anda belajar berkumpulan ajar mereka apa yang telah anda baca. Beritahu mereka apa yang anda faham. Jika anda berseorang bercakaplah kepada diri anda tentang tajuk yang anda baca.  Semak, lihat dan rujuk kembali perkara yang telah anda baca dan fahami.  Merujuk kembali akan menguatkan lagi ingatan anda terhadap sesuatu yang telah anda baca.
Bersambung …

No comments:

Post a Comment