About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Sunday, August 4, 2013

Keluarga Berantakan, Jiwa Saya Memberontak
Saya  adalah seorang pelajar dan remaja yang cukup bermasalah.  Masalah ini datang kerana jiwa saya memberontak.  Saya dibesarkan ibu yang bekerja siang dan malam sehingga saya rasakan kurang perhatian.  Ayah entah ke mana.  Menumpang di rumah nenek menjadikan kami sangat tertekan kerana tiap kali bapa saudara (adik beradik ibu) pulang kami adik beradik akan dicaci maki.  Ada saja yang tidak kena di mata mereka.  Tidak pernah mendengar pujian.  Nenek pula jika adanya mereka, sangatlah gembira, mengagungkan mereka.  Kami hanya memandang.  Oleh kerana sangat tertekan, saya membawa langkah mengikut kawan-kawan.  Hati saya lebih senang bersama mereka.  Walaupun tahu akan kesilapan, tapi saya tetap mengikut kawan yang merokok. Seawal usia 14 tahun saya telah merokok.  Ketika UPSR saya tidak mendapat keputusan yang baik.  Di sekolah sering menimbulkan masalah, saya tahu itu salah tapi kerana mahukan perhatian saya tetap lakukan juga.  Sehingga PMR keputusan juga tidak memberangsangkan tapi saya telah diterima di sekolah menengah teknik.  Di sana pun saya buat masalah, ponteng kelas dan sebagainya.  Bantulah saya untuk berubah.  Apakah saya perlu luahkan apa yang terbuku di hati ini kepada ibu? Apa yang saya patut lakukan kerana saya juga ingin mempunyai masa depan yang cemerlang?
Nuraminah Mokhtar, Selangor.
Banyak perkara yang anda tuliskan di dalam e-mel ini.  Saya dapat merasakan kejujuran anda di dalam peluahan perasaan anda melalui tulisan.  Walaupun berat perkara yang anda pikul, banyak perkara yang anda lalui,  namun ayat terakhir anda ialah “saya ingin juga mempunyai masa depan yang cemerlang”. Ayat terakhir itu merupakan ubat penawar luka anda dan penyuntik semangat untuk anda bangun dan memperbaiki keadaan yang berlaku di dalam perjalanan hidup anda.   Pengalaman perjalanan hidup anda telah membuatkan anda matang untuk berfikir dan membuat pertimbangan untuk membetulkan diri lalu menulis kepada saya untuk meminta bimbingan. Insyallah, usaha anda menulis kepada saya dan meminta bimbingan merupakan usaha yang akan membawa kejayaan anda nanti.

Ada empat perkara pokok yang anda nyatakan;
pertama, anda berasa tertekan setiap kali bapa saudara balik dan mereka mencaci maki anda adik beradik (melibatkan perasaan kecewa anda).  Kedua anda membawa diri mengikut langkah kawan-kawan yang nakal (tindakan negatif anda akibat dari perasaan yang tertekan). Ketiga anda perlukan bantuan untuk berubah (usaha positif anda untuk mencari jalan keluar) dan keempat merupakan pertanyaan adakah anda perlu luahkan segala masalah ini kepada ibu? (keinginan positif anda untuk mendapat jawapan yang pasti dan tepat).
Marilah kita sama-sama analisis perkara yang telah berlaku itu.  Anda tertekan kerana bapa saudara anda sering  mencaci maki anda adik beradik.  Dalam hal ini cuba anda selidiki mengapakah perkara ini berlaku. Apakah perkara yang membuatkan mereka suka mencaci anda adik beradik.  Adakah cacian mereka itu bersebab atau memang sengaja mereka mencari hal untuk mencaci anda adik beradik.  Jika ada sesuatu kesalahan yang mungkin anda lakukan tanpa anda sedari mungkin teguran mereka itu memerlukan perhatian anda.  Cuba selidiki adakah mereka menegur kesilapan anda atau benar-benar mereka mencaci.  Sekiranya mereka benar-benar mencaci tanpa sebab, maka anda berhak untuk bertanya dan meminta penjelasan dari mereka. 
Membawa diri mengikut rakan-rakan yang nakal merupakan tindakan spontan anda terhadap perkara yang berlaku di rumah.  Dalam masa jangka pendek mungkin ia boleh meredakan perasaan tetapi dalam masa jangka panjang ia mungkin boleh membawa kesan yang negatif terhadap diri anda sendiri.  Anda boleh muhasabah diri bagaimana untuk tidak melibatkan diri dengan gejala yang negatif bersama rakan-rakan yang nakal.  Anda mungkin ada pilihan lain untuk meredakan perasaan yang tertekan.   Anda boleh berkawan dengan sesiapa sahaja dengan syarat anda tahu di mana anda perlu meletakkan diri anda.  Senaraikan perkara-perkara positif yang mungkin boleh anda laksanakan.  Contohnya bersama kawan-kawan anda boleh melakukan aktiviti permainan sama ada di dalam atau luar sekolah, aktiviti belajar, sukarelawan, gotong royong untuk projek masyarakat, aktiviti surau dan masjid dan seumpamannya atau sekurang-kurangnya anda tidak terpengaruh dengan rakan yang nakal. 
Berkaitan dengan pertanyaan anda, adakah perlu anda kongsikan masalah ini dengan ibu anda. Ini terpulang pada diri anda sendiri. Adakah anda rasa ibu anda boleh membantu dan dapat meredakan perasaan anda.  Fikirkan juga kemungkinan tindakan ibu anda terhadap bapa saudara anda jika anda memberitahunya.  Adakah ia akan membawa banyak keburukan atau kebaikan terhadap perhubungan keluarga anda.  Adakah anda telah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan jika berlaku pergolakan yang lebih besar di dalam keluarga anda.  Apapun yang akan anda lakukan anda bolehlah melihat kepada kesannya terhadap diri anda sendiri dan bagaimana anda dapat menanganinya dengan bijaksana.  Masa depan anda yang cemerlang terletak kepada bagaimana anda dapat menangani masalah ini dengan cemerlang dan dengan doa dan harapan semoga Allah akan memberikan kekuatan kepada diri anda untuk anda menangani masalah ini.  Semoga anda berjaya dan bahagia. 


No comments:

Post a Comment