About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Friday, May 17, 2013

Kecewa Keputusan PMR Tidak Cemerlang



Saya baharu saja mendapat keputusan PMR. Keputusan PMR saya tidak memberangsangkan. Saya mendapat 4A, 3B dan 1D. Saya kecewa dengan keputusan ini kerana keluarga saya mengkritik dan memandang rendah kepada saya dan kawan-kawan saya juga memandang rendah kepada saya.  Dalam peperiksaan percubaan tempuh hari, keputusan saya lebih baik dari keputusan sebenar.  Bagaimanakah saya dapat membuang rasa rendah diri ini.  Harap tuan dapat membantu.                                                                                                                                    Zaid Azizi, P. Pinang.
Jawapan

Salam dan selamat sejahtera.

Terlebih dahulu pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua warga pelajar yang saya kasihi.  Semoga tahun ini akan menjadi tahun yang lebih cemerlang berbanding tahun-tahun yang lalu.  Selamat belajar dan selamat menuntut ilmu.

Berkaitan dengan Zaid, saya ingin merakamkan tahniah kerana anda kerana telah berjaya mendapat 4A dan 3B. Sebagai orang yang berkecuali, saya masih melihat keputusan anda adalah baik cuma ia tidak dapat mencapai sasaran yang anda kehendaki.  Terdapat 3 kemungkinan sebab mengapa anda berasa kecewa di sini; pertama, mungkin anda menetapkan matlamat terlalu tinggi.  Kedua, kemungkinan harapan ibu dan ayah serta keluarga lebih tinggi dari harapan anda sendiri dan ketiga kemungkinan anda kurang bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut dan tidak dapat berusaha secara maksimum.  Berkaitan dengan perkara untuk membuang rasa rendah diri anda dan kekecewaan anda, ia harus bermula dari kesungguhan anda untuk menerima keputusan itu secara realistik dan anda juga harus menerima kritikan dari ibu bapa dan keluarga secara realistik juga.  Saya lebih suka menukar istilah “memandang rendah” itu kepada “kritikan yang membina”.  Jadikan pernyataan yang negatif itu kepada yang positif agar minda anda tidak terbelenggu dengan perkara yang negatif.  Contohnya jika seseorang mengejek tentang kelemahan kita, sebenarnya ejekan itu adalah merupakan satu cabaran untuk kita bangun mengatasi kelemahan kita.  Menerima kritikan, cemuhan atau sindiran adalah merupakan sesuatu yang lumrah di dalam kehidupan seseorang.  Lebih-lebih lagi anda sebagai pelajar mungkin anda akan menerima kritikan atau sindiran itu lebih hebat lagi.   Ia banyak bergantung kepada bagaimana anda melihat atau memberi persepsi ke atas kritikan atau sindiran tersebut.  Jika anda melihatnya sebagai pencetus semangat maka anda akan berusaha untuk memperbaiki keadaan yang sedia ada kepada yang lebih baik.  Ia juga boleh menjadi pencetus agar anda bangun dari kealpaan dan kelalaian.  Kritikan juga boleh menampal segala kelemahan dan kekurangan.   Jika anda melihat kritikan atau pandangan rendah keluarga anda terhadap anda sebagai perkara yang memalukan maka anda akan hidup di dalam keadaan malu itu selama-lamanya, tetapi jika anda melihat pandangan rendah mereka terhadap anda sebagai suatu amaran agar anda perlu bangun untuk berusaha dengan lebih gigih maka anda telah menjawab cemuhan mereka itu dengan sikap yang positif.  Saya yakin bahawa anda akan dapat membuktikan kepada keluarga dan rakan-rakan mahupun guru anda bahawa anda bukan seperti yang mereka katakan.  Anda boleh bangun dan tunjukkan kepada mereka yang anda boleh melakukannya dengan cemerlang pada masa hadapan.  

No comments:

Post a Comment