About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Sunday, February 10, 2013

Keliru Identiti Diri



Saya merupakan ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak, seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.  Perkara yang menjadi kemusykilan saya ialah anak lelaki saya mempunyai perwatakan yang lembut dan saya khuatir dia akan menjadi bapok atau pondan semasa dewasa nanti.  Ramai kawan-kawan saya yang memberitahu bahawa tingkahlaku anak saya kini cenderung untuk menjadi seperti itu.  Saya sebagai ibu tunggal sangat risau dengan hal ini maka saya ingin bantuan dari tuan untuk tahu apakah punca dan bagaimanakah cara saya dapat mengatasi masalah ini.  Terima kasih.
Rogayah Hussein, Pahang.

Jawapan:
Kebelakangan ini saya mendapat beberapa e-mel bertanyakan pemasalahan isu “lembut” dari ibu bapa yang khuatir tentang kecendrungan anak-anak terhadap gejala ini.  Saya harap maklum balas saya ini dapat membantu Pn Rogayah dan juga ibu bapa yang lain yang mempunyai masalah yang sama.   

Berkaitan  dengan isu yang diutarakan, anda telah menyatakan bahawa anda mempunyai 3 orang anak.  Dua perempuan dan seorang lelaki.  Anda rungsingkan anak lelaki anda kerana anda melihat anak lelaki anda bekecendrungan untuk menjadi bapok selepas anda memerhati perangai dan tingkah lakunya setakat ini.  Namun anda tidak pula memberitahu berapakah umur anak anda sekarang dan apakah ciri-ciri nyata yang ada pada dirinya sekarang selain dari sikap lembut yang anda nyatakan itu.   Ada dua perkara yang boleh anda teliti. Pertama aspek kemungkinan punca anak anda menjadi lembut, dan kedua aspek layanan anda pada masa ini terhadap anak anda.   
Aspek punca sangat berkait rapat dengan pembawaan biologi dan psikologi seseorang.  Ramai pakar berselisih pendapat tentang ini namun telah disepakati bahawa persekitaran boleh mempengaruhi persepsi identiti kejantinaan seseorang.  Bila disebut pengaruh persekitaran termasuklah aspek pergaulan anak anda dengan rakan-rakan, cara saudara mara anda melayaninya, hubungan anak anda dengan bapanya, cara anda mengasuh dan mendidik, pergaulan dengan adik beradik dan seumpamannya. Apabila anda telah memahami bahawa persekitaran boleh mempengaruhi aspek penentuan kepercayaan kejantinaan anak anda maka anda boleh memerhati dan mengawal keadaan tersebut. Kawal dari aspek pergaulannya dengan kawan-kawan yang ada gejala tersebut, perhubungan dengan kakak dan seumpamannya.
Aspek layanan pula termasuklah bagaimana anda berinteraksi dan memberi maklum balas kepada perlakuan anak anda pada masa ini.  Anda boleh memberi peranan yang jelas kepada anak anda berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai anak lelaki.  Wujudkan suasana berpakaian dan imej diri yang biasa ada pada seseorang lelaki.   Jika dari awal lagi anda telah menekankan tentang sifat-sifat kelelakian yang ada padanya insyallah dia akan selesa dengan identiti diri tersebut.  Oleh kerana dia sekarang hanya seorang sahaja lelaki yang ada di dalam rumah, maka anda bolehlah memberikan tanggungjawab kepimpinan keluarga (bersesuaian dengan umurnya) kepadanya contoh memintanya memberi tunjukajar kepada adik-adik,  menjaga kebajikan keluarga, memberi perhatian kepada adik atau kakak, memimpin bersolat berjamaah  dan seumpamannya.  Tidak salah jika seseorang memiliki sifat lemah lembut kerana ciri-ciri lemah-lembut memang ada pada setiap orang, yang menjadi masalah ialah apabila dia keliru tentang identiti dirinya yang sebenar sama ada dia perempuan atau lelaki.  Kekeliruan ini timbul kerana terlalu banyak peranan yang berlainan jantina yang berlaku di dalam hidupnya.  Oleh itu anda berperanan untuk memberi keyakinan dan memberikan peranan tugas lelaki kepadanya di samping memantau perhubungannya dengan rakan dan orang lain.  Semoga penerangan ini dapat membantu anda. 

Artikel Selasa:
Pengembangan Diri:
Bagaimana Berhadapan Dengan Anak Remaja Yang Keliru Tentang Identiti Kejantinaan Diri
Kecelaruan identiti gender ini telah menular di dalam masyarakat kita.  Dulu memang ada tetapi tidak ketara dan tidak diberi perhatian, namun kini ia telah menjadi semacam satu budaya yang kurang manis di dalam masyarakat kita.  Bulan ini sahaja, saya mendapat beberapa e-mel yang bertanyakan masalah yang serupa.  Mencegah adalah lebih baik dari merawat tetapi masalahnya aspek pencegahan sukar dilaksanakan kerana tanda-tanda seseorang itu mengalami krisis tidak dapat dikesan pada peringkat awal.  Ibu bapa yang dapat mengesan pada peringkat awal mungkin mempunyai kelebihan untuk merawat kecelaruan tersebut.  Bagi mereka yang telah terperangkap ke dalam masalah tersebut cara yang terbaik ialah anda perlu mendekati diri mereka dan berbincanglah dengan mereka dengan baik.  Di bawah ini disertakan tip bagaimana anda harus berhadapan dengan anak remaja anda yang telah terlibat dengan krisis kecelaruan identiti ini. 
1.      Perasaan Selesa, Mesra dan Selamat
Berbincanglah dengan mereka dalam suasana yang selesa, mesra dan selamat.  Anda tidak perlu membuat penghakiman awal, membuat tuduhan dan memandang sinis terhadap mereka.  Anggap mereka insan yang perlukan perhatian, bantuan dan sokongan anda. 

2.      Tanpa Tekanan dan Paksaan
Mereka yang terlibat dengan masalah ini biasanya akan menyimpan perasaan yang mendalam di lubuk hati mereka.  Mereka tidak akan bercerita tentang masalah yang mereka hadapi sehinggalah apabila semua orang telah menuding jari dan memberi label yang bukan-bukan.  Ketika inilah mereka akan terdedah kepada segala bentuk tekanan, pengalaman yang menakut dan memalukan.  Jika tekanan terlalu kuat dan ketahanan diri mereka kurang, kemungkinan mereka akan mengalami tekanan emosi dan mental yang hebat yang boleh membawa kepada lari dari rumah, terjebak terus dengan identiti yang salah atau membunuh diri.

3.      Terima Seadanya
Didik diri anda untuk menerima mereka seadanya.  Krisis kecelaruan identiti kejantinaan tidak sama dengan penyakit transeksual seperti gay ataupun lesbian. Kecelaruan identiti kejantinaan berlaku disebabkan oleh pembawaan, didikan dan pengaruh persekitaran yang kurang sihat.  Mereka tidak pernah meminta untuk menjadi demikian.  Adalah lebih baik anda menerima mereka untuk berbincang secara ikhlas, tanpa bersyarat dan dengan penuh empati (dapat merasai penderitaan mereka).

4.      Watak dan Perlakuan Boleh Diubah
Kecelaruan identiti kejantinaan bukanlah gejala yang tidak boleh dirawat.  Sikap, perwatakan dan identiti diri boleh diasuh dan diubah.  Seseorang itu boleh memilih untuk mengubah watak dan sikap.  Semuanya terletak kepada kemahuan seseorang.  Orang yang mahu berubah akan boleh berubah manakala orang yang tidak mahu berubah tidak akan ada cara untuk mengubahnya. Jadi anda boleh membantunya untuk berubah. 


5.      Pilihan, Peluang dan Ruang
Mencari jalan penyelesaian memerlukan minda dan perasaan yang terbuka.  Beri mereka peluang dan ruang untuk mereka menyatakan fikiran dan perasaan mereka.  Beri juga mereka ruang dan peluang untuk membuat pilihan.  Banyak perkara yang boleh diputuskan tetapi keputusan itu perlulah pilihan yang terbaik untuk dirinya dan yang terbaik selepas perkara itu dibincang dan dibahaskan.  Pilihan keputusan yang dibuat berdasarkan kerelaan akan memberikan hasil yang berkesan dan positif.

6.      Rujukan
Berikan mereka tempat merujuk bagi mendapatkan bantuan dan sokongan dari pihak lain agar dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka.  Dapatkan maklumat tentang mereka yang mempunyai kemahiran atau pakar dalam bidang ini untuk mendapatkan pandangan, cadangan, perundingan dan rawatan.   Sentiasa berikan mereka sokongan dari segi moral dan kerohanian agar mereka tidak terpesong jauh ke arah gejala yang lebih parah. 



No comments:

Post a Comment