About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Monday, August 13, 2012

Darah Gemuruh


        
Assalamu'alaikum.. Saya ada masalah untuk berucap atau membuat pembentangan di hadapan kelas. Saya sedar yang saya tidak dapat kawal diri saya dari menggeletar, seram sejuk, dan cemas ketika berada di hadapan pelajar di dalam kelas. Sepatutnya saya tidak merasa takut kerana saya sudah membuat persiapan yang rapi.  Sangat mengecewakan kerana saya telah membuat persiapan tetapi prestasi saya seolah-olah saya tidak bersedia.  Yang hairannya orang lain boleh  buat pembentangan di hadapan kelas dengan selambanya.  Saya belum lagi berputus asa kerana saya tahu saya boleh buat cuma saya tidak tahu cara yang sesuai dengan diri saya.  Harap tuan boleh bantu saya. Terima Kasih.                                                                                                          
Amira Mohd, Sabak Bernam

Jawapan:
Waalaikumusalam.  Ada beberapa perkara yang anda kemukakan.  Anda berperasaan gemuruh apabila berhadapan dengan rakan sekelas semasa anda membuat pembentangan. Di antara tanda-tanda gemuruh yang berlaku di dalam diri anda ialah rasa menggeletar, seram sejuk dan rasa cemas. 
Walaupun anda telah membuat persiapan rapi namun perasaan gemuruh tersebut tetap berlaku.  Ini sangat mengecewakan anda.  Namun anda masih tidak menyerah kalah dan anda masih bersemangat untuk mengatasi masalah yang anda hadapi ini.  Tahniah.
Mari kita lihat bersama-sama perkara yang anda alami ini.  Apabila anda berhadapan dengan rakan sekelas untuk membuat pembentangan anda akan merasa mengeletar, seram sejuk dan cemas.  Cuba anda fikirkan perkara yang anda paling takut yang boleh berlaku apabila anda berhadapan dengan rakan sekelas semasa anda ingin membuat pembentangan? Adakah anda merasakan diri anda tidak sempurna? Adakah anda merasakan anda berkecendrungan melakukan kesilapan? Andakah anda rasa malu jika kawan-kawan mentertawakan anda? Adakah anda merasakan anda perlu betul dan sempurna semasa membuat pembentangan?  Kesemua persoalan ini boleh anda analisa dan fikirkan kembali tentang kesan-kesannya.  Contohnya; “anda merasakan diri anda akan ditertawakan jika anda membuat kesilapan”. Jika benar anda membuat kesilapan dan benar kawan-kawan akan mentertawakan anda, apakah yang peliknya? Apakah yang ruginya jika anda ditertawakan. Apa yang perlu dimalukan jika anda ditertawakan. Inilah perkara-perkara baru yang perlu anda terokai.  Perkara-perkara baru yang akan menjadi kebiasaan kepada anda.  Seperti kata pepatah “alah bisa tegal biasa”. Setiap perkara baru yang dialami akan mendatangkan suatu perasaan yang janggal dan anda akan merasa takut untuk melaluinya. Tetapi setelah anda melaluinya maka perkara baru tersebut akan menjadi biasa. Jadi perasaan gemuruh yang anda alami itu merupakan perasaan gementar disebabkan oleh pengalaman baru yang anda alami. Anda akan terbiasa jika perkara tersebut anda lalui berulangkali dan akhirnya anda akan menjadi selamba untuk melakukannya untuk sekian kalinya.  Berkenaan dengan rakan anda yang selamba, ia sangat berkait rapat dengan perbezaan individu.  Manusia dilahirkan berbeza disebabkan oleh faktor dalaman dan juga persekitaran seseorang itu.  Semoga jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.

ARTIKEL MINGGUAN
Perkembangan Diri:
Bagaimana anda dapat mengatasi kegugupan semasa membuat pembentangan.
Sebenarnya setiap orang  mempunyai rasa gugup dan gementar apabila berhadapan dengan khalayak ramai.  Jadi perasaan gementar dan gugup adalah suatu yang semulajadi.  Ia merupakan proses tindak balas kimia yang berlaku di dalam badan anda. Contohnya seseorang yang berhadapan dengan seekor anjing yang garang akan secara semulajadinya akan berasa panik disebabkan oleh berlakunya proses rembasan adrenalin, penguncupan pembuluh darah. Apabila ini berlaku anda akan berasa berdebar, peluh akan keluar dan pada masa yang sama sistem komunikasi dalam otak akan menjadi tidak aktif.  Dalam artikel kali ini anda akan didedahkan tips bagaimana anda boleh menguruskan kegugupan dan rasa gementar ini.
1.       Wujudkan suatu keadaan yang relaks.
Contohnya jika anda terlambat bangun dari tidur untuk ke sekolah, anda tidak perlu bergegas-gegas dan berada di dalam keadaan kelam-kabut. Anda perlu bangun seperti biasa walaupun anda telah terlambat.  Anda perlu sedar tentang setiap aktiviti yang anda lalui. Lalui dengan tenang bermula dari bangun tidur, ke bilik mandi, bersiap, menaiki kenderaan dan sehingga ke sekolah. Dengan cara ini anda akan dapat melatih diri mengawal emosi dan pada masa yang sama anda dapat mengelak dari melakukan kesilapan semasa anda berada dalam keadaan kelam kabut.

2.       Tumpuan dan fokus
Apabila anda membuat pembentangan di hadapan kelas berikan tumpuan dan fokus kepada “rakan-rakan anda” (audien).  Rakan anda itu merupakan pelajar yang ingin mendengar ilmu yang anda sampaikan. Tugas anda ialah menyampaikan ilmu agar mereka dapat menerima dan faham. Jadi anda perlu sampaikan dengan menggunakan ayat yang mudah, ringkas dan tepat.  Anda boleh menambah dengan sedikit lawak jenaka kerana audien yang tersenyum akan memberikan ketenangan kepada anda berbanding dengan audien yang bermuka begis dan keliru. Audien yang puas akan menunjukan riak muka yang ceria manakala audien yang tidak dapat mengikuti persembahan anda akan menunjukkan riak muka yang berkerut. Riak muka yang berkerut akan meningkatkan rasa gementar anda.
3.       Berlaku jujur pada diri. 
Jadilah diri anda yang sebenarnya.  Anda tidak perlu berlakon semasa di hadapan orang ramai. Berlakon membuatkan anda menjadi orang lain. Anda perlu membiasakan perlakuan diri anda semasa anda bersendirian ataupun semasa anda bersama-sama dengan orang lain. Audien atau rakan anda akan berasa selesa jika perlakuan anda konsisten. Anda akan tertekan sekiranya anda cuba berlakon dan menjadi orang lain semasa anda berada di hadapan kelas semasa membuat pembentangan.  Jadi berinteraksilah dengan audien anda sama sebagaimana anda berinteraksi dengan mereka pada hari-hari biasa. Anda perlu berasa yakin, gembira dan ceria.

4.       Apakah kemahuan anda.
Fikirkan tentang apa yang anda mahu, bukannya apa yang anda tidak mahu. Jika anda memikirkan sesuatu yang anda tidak mahu bermakna anda sedang mengelakkan sesuatu dan akan berakhir dengan perasaan gentar dan panik. Contohnya jika anda tidak mahu orang bertanya semasa anda membuat pembentangan, akhirnya apabila orang bertanya semasa anda membuat pembentangan ini akan menghasilkan perasaan kurang senang anda dan ini akan memberi implikasi negatif terhadap diri anda sendiri. Audien bertanya, audien bermasam muka, audien menguap, dan audien tidur merupakan perkara yang boleh berlaku di dalam sesuatu pembentangan.  Jika ini berlaku anggaplah fenomena tersebut adalah biasa dan anda tidak perlu berasa gusar dan gentar.

5.       Atasi kekurangan.
Dapatkan pandangan kawan-kawan apakah kekurangan semasa pembentangan anda.  Segala komen yang diberi hendaklah diterima dengan lapang dada dan fikirkan bagaimana anda boleh mengatasinya. Ingat, fokus anda ialah bagaimana anda dapat menyampaikan persembahan anda dan audien mendapat manafaat dari persembanhan yang anda kongsi. Jadi audien sebenarnya bukan ingin melihat anda, tetapi mereka ingin melihat apakah yang anda sampaikan dan bagaimana anda menyampaikannya.      



No comments:

Post a Comment