About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Friday, May 17, 2013

Berpindah Sekolah Membuat Saya Gelisah



Tahun ini saya akan memulakan musim persekolahan di sekolah baharu kerana ayah saya telah berpindah tempat kerja.  Saya mula rasa takut dan rasa tidak selesa untuk berada di sekolah baharu, lebih-lebih lagi sekolah baharu saya ini berada di kawasan luar bandar.  Kawan-kawan saya ramai di sekolah lama saya (di bandar), ini bermakna saya akan kehilangan mereka dan saya juga terpaksa berhadapan dengan suasana baharu dan rakan-rakan baharu.  Persoalannya sekarang bagaimana saya dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran dan suasana yang baharu ini.   Saya juga khuatir tentang akademik saya kerana saya dapati tempat kediaman saya yang baharu ini tidak ada kelas tusyen untuk membantu saya di dalam persediaan untuk peperiksaan SPM pada tahun ini.  Apakah kebaikan jika saya berpindah ke tempat yang baharu? Saya harap pihak tuan dapat memberikan panduan dan nasihat berkaitan perkara ini. 
                                                                                                        Syarifah Syakirah Syed Yahya, Perak.


Jawapan:

Terdapat 3 perkara yang menjadi pokok kerisauan anda.  Pertama anda berasa risau dan tidak selesa untuk berada di persekitaran sekolah baharu yang berada di kawsan luar bandar.  Kedua, anda tidak berasa selesa kerana akan kehilangan kawan-kawan lama dan rasa kurang selesa untuk memulakan perhubungan dengan kawan-kawan baharu.  Ketiga, anda tidak selesa untuk bersedia dan berhadapan dengan peperiksaan SPM pada tahun ini memandangkan tiada tempat tuisyen untuk membantu anda di dalam pelajaran. 

                Berpindah ke tempat baharu memang  mengundang perasaan risau dan keliru.  Risau kerana anda tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku di tempat baharu dan anda juga tidak pasti tempat dan suasana yang akan anda hadapi.   Apakah pilihan yang anda ada, kecuali anda kena lalui dan tempuhi di tempat yang baharu itu.  Masa dan keadaan sahaja yang akan membiasakan anda di tempat tersebut.  Mungkin ada perbezaan di antara suasana dan iklim sekolah di bandar dan sekolah yang berada di luar bandar.  Tetapi dari aspek pendidikan dan pengalaman serta ilmu guru,  ia tetap sama.  Kelayakan guru adalah sama untuk semua sekolah sama ada di bandar atau di luar bandar.  Perkara yang penting di sini ialah bagaimana anda dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan dapat mewujudkan perhubungan dengan rakan baharu di sekolah baharu anda.  Dari aspek perhubungan dengan rakan lama anda, pada hakikatnya perhubungan itu tidak putus dan anda tidak kehilangan mereka.  Pada zaman teknologi berinternet ini berbagai kaedah dan cara boleh anda gunakan untuk anda berhubung dengan kawan-kawan lama anda.  Sebaliknya, anda sebenarnya bukan kehilangan rakan malah anda boleh menambah rakan di sekolah yang baharu nanti.  Cuma anda berjauhan dari kawan-kawan lama anda dan juga harus bersedia untuk menerima dan membina perhubungan yang baharu dengan rakan-rakan baharu anda di sekolah yang baharu. 
Dari aspek akademik pula, seperti yang saya sentuh pada peringkat awal tadi bahawa guru yang mengajar anda adalah guru-guru yang berpengalaman di dalam bidang masing-masing.  Berkaitan dengan kelas tambahan atau kelas tuisyen yang anda inginkan, mungkin anda boleh mendapatkan maklumat dari kawan-kawan dari sekolah baharu anda.  Untuk sementara waktu anda boleh memberi tumpuan kepada pengajaran guru di kelas, mengadakan kumpulan perbincangan dengan rakan-rakan baharu serta bertanyakan kepada guru mana-mana mata pelajaran yang sukar.  Saya pasti sekolah baharu anda juga ada program tertentu bagi pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun ini.  Berkaitan dengan kelebihan dan kebaikan perpindahan anda, jika anda mengambil semangat hijrah Rasulullah dari mekah ke madinah anda akan melihat banyak hikmah di tempat baharu nanti.  Perubahan memang sesuatu yang tidak menyelesakan tetapi perubahan juga boleh membuatkan anda menjadi seseorang yang baharu.   Persekitaran yang baharu, lingkaran yang baharu akan membuatkan anda bertindak dan berusaha dengan cara yang berlainan dan sudah tentu keadaan ini akan melahirkan semangat, minda dan jiwa yang baharu di dalam diri anda.  Jika anda istiqamah dan melihat positif kepada semua perkara yang akan berlaku insyallah anda akan melihat banyak kebaikan yang akan berlaku di tempat yang baharu ini.  Selamat berhijrah dan berjaya.                
     

No comments:

Post a Comment