About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Tuesday, July 31, 2012

Saya dibuli

Saya pelajar tingkatan 2. Mempunyai tubuh yang kecil.  Masalah saya ialah saya takut ke sekolah kerana saya sering dibuli oleh pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 4.  Kadang-kadang mereka meminta duit dari saya.  Kalau saya tidak beri, saya akan dipukul, diejek dan buku-buku saya akan dikoyakkan.  Saya takut untuk mengadu kepada guru ataupun bapa kerana takut dipukul oleh mereka (pembuli).  Harap tuan dapat beri nasihat bagai mana cara saya tidak dibuli lagi.
                                                                                               Mohd Kamal, Yan Kedah.  


Jawapan
Terima kasih kerana anda telah menghubungi saya untuk memohon nasihat dan bantuan bagaimana anda dapat mengelakkan diri dari dibuli.  Memang, tidak semua orang suka kepada pembuli.  Saya juga teringat pernah dibuli semasa saya bersekolah rendah dahulu.  Sungguh kejam sifat sipembuli.  Sebenarnya pembuli adalah seorang yang penakut untuk berhadapan dengan realiti.  Mereka mempunyai
daya imaginasi yang sangat lemah untuk maju dan mereka mempunyai masalah rendah diri yang teruk.  Syabas kerana anda sekarang merupakan wira yang sedang berhadapan dengan penjahat yang mempuyai krisis identiti.  Pembuli mungkin berseorangan ataupun bergerak dalam kumpulan seperti monyet-monyet di hutan.  Jadi bagaimanakah anda harus mengelakkan diri dari gangguan monyet-monyet ini? Berikut diberikan sedikit panduan agar anda dapat mengelak dari diganggu oleh mereka.
                         
Pertama, kalau boleh elakkan dari bertembung dengan mereka.  Kalau anda mengetahui bahawa sipembuli ini sentiasa berada di lorong 1 hendaklah anda mengambil lorong 3 ke sekolah.  Kalau mereka sering berada di kantin sekolah, elakkan dari membeli di kantin, bawa bekal sendiri.  Sentiasa berwaspada dan kenalpasti tempat-tempat mereka berada dan seboleh mungkin cuba elakkan dari bertembung dengan mereka.

Kedua, jika anda tidak boleh mengelak, anda perlu berhadapan dengan mereka. Jika anda tidak mampu melawan mereka, anda serahkan apa yang mereka minta tetapi selepas itu dengan segera anda perlu memberitahu hal ini kepada guru atau ibu bapa anda. Guru atau ibu bapa akan menyelesaikan masalah ini dengan mereka.  Anda tidak perlu khuatir terhadap ugutan mereka kerana pihak yang lebih berkuasa dari mereka kini akan menyebelahi anda.  Cuma sekarang anda takut untuk berhadapan kerana anda tidak yakin dengan pertolongan mereka yang lebih berkuasa.

  Ketiga, ceritakan masalah anda ini kepada orang lain. Pembuli berani membuli kerana orang lain yang lebih berkuasa tidak tahu tentang kegiatan mereka.  Orang yang lebih berkuasa ini akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana mereka juga masih di bawah peraturan tata tertib sekolah. Anda sebagai pelajar sekolah dilindungi oleh peraturan yang ada di sekolah anda.  Biarlah anda menjadi wira untuk memberhentikan kegiatan mereka demi keselamatan anda dan juga pelajar-pelajar lain. Mungkin tindakan anda yang berani melapor dan berhadapan dengan mereka akan mengurangkan masalah buli ini di sekolah anda.

Keempat, jangan percaya kepada kekuatan mereka. Jangan percaya kepada kata-kata yang mereka hamburkan. Jangan percaya kepada ejekan mereka. Mereka hanya berani menakut-nakutkan tetapi mereka tidak berani untuk berhadapan dengan realiti. Jiwa mereka sebenarnya kecil walaupun badan mereka nampak besar. Senjata mereka hanyalah mengertak, mengugut dan yang paling teruk memukul. Itu sahaja yang mereka ada. Mereka tidak ada harga diri, tiada komitment dalam belajar, tiada matlamat di sekolah, sangat rendah diri, dan tiada arah tuju dalam kehidupan. Mereka sebenarnya sakit. Mereka menganggu orang lain  kerana mereka tidak dapat menyelesaikan masalah diri mereka sendiri.  Oleh itu cuba elakkan dan cuba tamatkan kegiatan mereka dengan bercerita dengan orang lain tentang kegiatan mereka.  Insyallah, dengan berkat semangat yang ada pada diri anda, keberanian untuk menceritakan masalah ini kepada saya dan guru-guru lain di sekolah anda, ibu bapa di rumah dan rakan-rakan di sekolah maka pembuli ini akan dapat dihapuskan.  Jadilah wira, jangan jadikan diri mangsa kepada orang yang sakit ini. Sekian, selamat maju jaya.

No comments:

Post a Comment