About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Tuesday, July 31, 2012

Rasa Diri Tidak Yakin



Saya pelajar di sebuah sekolah menengah di Perak.  Masalah saya ialah saya kurang yakin terhadap diri saya.  Contohnya saya malu dan takut untuk ke hadapan kelas apabila guru meminta saya berbuat demikian.  Saya kurang yakin untuk berjumpa dengan kawan-kawan baru.  Apabila guru memberi kerja rumah, saya tidak yakin saya boleh membuat kerja rumah tersebut.  Jika ada saudara mara datang ke rumah, saya akan duduk di dalam bilik sahaja, malu hendak berjumpa kerana tidak tahu apa yang hendak dibualkan.  Pendek kata saya kurang yakin pada diri saya sendiri.  Sehinggakan kawan-kawan saya menggelar diri saya “burung ostrich” ini membuatkan saya bertambah malu.  Saya malu pada keluarga, guru dan kawan-kawan. Harap tuan dapat bantu saya.  Saya ucapkan terima kasih.
                                                                                                                                   Pelajar Sedih, Perak.

Terima kasih kerana sudi menghantar pemasalahan anda kepada saya. Insyallah kita akan tangani bersama masalah ini, dan diharap respons saya ini dapat memberi kekuatan dan keyakinan pada diri anda dengan syarat anda juga mesti berani berusaha untuk mengubah diri anda  kepada yang lebih baik. 
Pemasalahan yang anda nyatakan ialah anda kurang yakin terhadap diri anda sendiri.  Beberapa contoh telah anda berikan iaitu “anda berasa malu dan takut” untuk kehadapan kelas, anda “kurang yakin” untuk berjumpa dengan rakan-rakan, anda “tidak yakin” untuk membuat kerja rumah, anda “malu” untuk berjumpa saudara mara.  Dapat saya simpulkan di sini iaitu terdapat perasaan “
malu”, takut”, “kurang yakin”, dan “tidak yakin”  yang sentiasa berlegar di dalam minda dan perasaan anda.   Perasaan ini anda kukuhkan pula dengan alasan-alasan yang anda berikan kepada perasaan anda itu.  Contohnya, anda malu dan takut untuk kehadapan kelas.  Mengapa? Anda sendiri yang memberi sebabnya iaitu malu dan takut kerana mungkin anda akan diketawakan, mungkin guru akan marah jika jawapan salah, malu kepada pelajar perempuan yang sentiasa memerhatikan anda, malu jika diejek oleh rakan-rakan.  Kemungkinan alasan-alasan yang anda ciptakan itulah yang menjadikan anda berada di dalam “penjara” kurang yakin anda.  Anda sendiri yang membina penjara itu. Orang lain tidak dapat merobohnya, kecuali anda sendiri. 
Sebenarnya pernyataan anda separuh jalan sahaja.  Contoh pernyataan anda adalah seperti berikut, “jika saya bercakap di hadapan kelas, mungkin saya akan diejek atau diketawakan oleh rakan-rakan”.  Anda hanya berhenti di situ.  Anda berhenti semasa fikiran anda berada dalam keadaan negatif. Sepatutnya anda menyambung lagi.  Menyatakan di dalam keadaan yang positif, contohnya,  “apabila orang ketawakan saya, apa saya peduli, bukan kawan saya yang memberi markah tetapi guru yang memberi markah.”  Mari kita analisa perasaan anda semasa anda berada di dalam keadaan negatif iaitu kurang yakin anda berdasarkan kes-kes situasi yang anda beri.

Kes Pertama: Situasi rasa malu berhadapan dengan rakan di dalam kelas.
Pernyataan lama yang negatif: Jika saya berada di hadapan kelas, saya berasa takut dan malu kerana kawan-kawan mentertawakan saya, guru mencari kesalahan saya, kawan-kawan mengejek saya. Orang yang membuat kesilapan ialah orang yang bodoh. Sebab itu saya takut dan malu.
Pernyataan baru yang positif: Jika saya berada di hadapan kelas saya akan cuba tunjukan kebolehan saya untuk menjawab soalan guru.  Jika saya salah, jika saya diejek, jika saya ditertawakan, saya tidak peduli, yang penting guru telah memberi peluang kepada saya untuk menjawab soalan. Jika jawapan saya salah, saya akan cuba berusaha untuk membetulkan kesilapan saya dengan berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan.   Kesilapan bukan satu kebodohan, kesilapan memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih sempurna pada masa hadapan.
Kes 2: Situasi saudara-mara berkunjung ke rumah.
Pernyataan lama yang negatif: Jika saudara-mara saya datang saya perlu berkurung di dalam bilik saya sebab saya tidak tahu apa yang hendak dibualkan.
Pernyataan baru yang positif: Jika saudara mara saya datang, saya boleh keluar berjumpa mereka untuk meraikan kedatangan mereka, sekurang-kurangnya saya kenal mereka dan dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.  Jika mereka bertanya saya akan menjawab dengan sopan dan jika saya ingin mengetahui sesuatu dari mereka saya akan bertanya secara sopan. Bukan sahaja mengeratkan silaturahim itu merupakan suatu tuntutan agama malah ia dapat mengeratkan hubungan kami sekeluarga. 
Kes 3: Kawan-kawan saya memanggil saya “burung ostrich”.
Pernyataan lama yang negatif: Saya terima ejekan mereka kerana sifat-sifat saya menyamai sifat “burung ostrich” walaupun panggilan itu sangat menghinakan. 
Pernyataan baru yang positif:  Saya tidak suka dihina dan diejek.  Saya akan cuba mengubah panggilan tersebut kepada panggilan nama saya yang sebenar.  Saya akan buktikan bahawa saya juga individu yang sama macam orang lain, ada kekuatan, ada keistimewaan, mempunyai daya saing dan berpotensi untuk lebih maju dari kawan-kawan yang lain.  Saya akan melihat dan mencontohi ciri-ciri peribadi yang terdapat kepada pemimpin-pemimpin hebat di negara saya dan juga di negara-negara lain.
Selepas anda mengubah pemikiran lama yang negatif kepada pemikiran baru yang positif anda akan dapat rasakan bahawa sebenarnya anda tidaklah seteruk yang anda rasa.  Anda akan merasakan bahawa anda ada harga diri dan harga diri anda akan dihormati oleh orang lain.  Orang yang ada harga diri akan merasa yakin terhadap perkara yang dilakukannya.  Anda tidak akan merasa rendah diri terhadap orang lain lagi kerana anda sama sahaja dengan orang lain,  hanya usaha dan budi sahaja yang membezakan anda dengan mereka.  Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment