About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Tuesday, March 20, 2012


Anak tidak mahu ke sekolah selepas bergaduh

Saya seorang ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak yang masih bersekolah.  Seorang bersekolah rendah (darjah 4) dan 2 orang bersekolah menengah (Tingkatan 1 dan 3).  Anak-anak saya lebih suka bermain dari belajar.  Soalan saya ialah bagaimanakah caranya untuk menanamkan minat agar mereka bersemangat dan rajin belajar.  Soalan kedua ialah baru-baru ini anak saya yang berada di tingkatan 1 bergaduh dengan rakan di sekolah dan selepas itu dia enggan ke sekolah kecuali dipaksa.  Bagaimanakah saya dapat atasi masalah ini.  Terima kasih.


                                                                                                                                    Ibu Tunggal, Muar Johor.                                        .

JAWAPAN

Minat belajar datang dari fikiran dan perasaan suka terhadap pelajaran.  Apabila fikiran dan perasaan anak-anak negatif terhadap pelajaran maka dengan sendirinya minat terhadap pelajaran akan hilang.  Dalam hal ini puan boleh menyemak dua perkara;
pertama adakah anak-anak puan faham mengapa dia perlu ke sekolah dan apakah matlamat pendidikannya. Kedua cuba kenalpasti apakah perkara yang menarik dan menolaknya untuk belajar.  Ada kemungkinan anak puan terleka dan lalai tentang niat dan matlamatnya mengapa dia harus ke sekolah.  Pelajar yang hilang niat dan matlamat sering mengabaikan pelajarannya.  Puan juga disyor untuk melihat perkembangan pencapaian prestasinya di sekolah.  Cuba lihat mata pelajaran yang bagus dan lemah.  Dapatkan padangannya mengapa mata pelajaran tersebut merosot dan bagaimana dia dapat mengatasinya.  Apakah perkara-perkara yang diperlukan olehnya untuk membantu menaikan kembali gred yang telah menurun.  Apakah buku-buku rujukan yang diperlukan dan tanyakan bagaimana puan dapat membantunya menangani masalah tersebut.   Cara pertanyaan puan terhadap dia juga harus berhemah tidak bersifat memaksa, memarahi dan menekan.  Jika puan dapat menunjukkan minat puan terhadap perkembangan pelajarannya saya yakin bahawa dia juga akan terfikir untuk membetulkan kembali matlamatnya dan seterusnya memperbaiki prestasinya kepada yang lebih baik.  Apabila prestasinya telah pulih dengan sendirinya perasaannya terhadap pelajaran akan berubah dan akan menambah minatnya terhadap pelajarannya pada masa-masa yang akan datang. Tentang masalah yang kedua ia sangat berkait rapat dengan pengalaman buruk anak puan di sekolah.  Anak puan sekarang cuba mengelak dari mengalami pengalaman yang sama sebab itu dia telah cuba menjauhkan diri dari melalui pengalaman yang sama.  Malangnya dia telah mengambil langkah untuk menghindarkan diri dari sekolah dan sudah tentu tindakannya itu salah.  Puan boleh menyemak perkara ini dengan pihak sekolah dengan menghubungi guru disiplin dan kaunselor sekolah.  Minta pandangan mereka tentang kes pergaduhan tersebut dan dapatkan penjelasan tentang kes itu.  Pihak sekolah ada mekanisma untuk menangani masalah ini dan kaunselor sekolah juga akan berperanan untuk merawat trauma yang anak puan alami.  Semoga jawapan ini dapat membantu puan.



Artikel Selasa:

Pengembangan Diri: Apakah Kerjaya Yang Sesuai Bagi Anda. (sambungan)

Minggu lalu anda telah didedahkan kepada aspek kepentingan mengapa perlu merancang kerjaya anda dari peringkat awal lagi.  Pada minggu ini anda akan didedahkan kepada bagaimana anda dapat membuat pilihan-pilihan dalam memilih kerjaya yang sesuai. 

1.       Mengenali dan memahami diri anda sendiri.

Ramai pelajar yang tidak dapat menjawab apabila pertanyaan “adakah anda kenal diri anda?” ditanyakan kepada mereka.  Perkara ini menandakan bahawa ramai pelajar yang tidak tahu tentang data diri masing-masing.  Sebagai pelajar anda perlu kenal diri anda dari aspek jasmani, pemikiran, perasaan dan rohani anda.  Anda perlu tahu tentang tahap kesihatan, jenis pemakanan dan aktiviti harian anda.  Anda perlu tahu apa yang anda suka fikirkan dan bagaimana cara anda berfikir dan bertindak.  Anda juga perlu mengenali tahap emosi anda dan anda juga perlu kenal tentang tahap kerohanian anda.  Perkara ini penting kerana ia berkait rapat dengan kesesuaian suasana kerja yang akan anda pilih nanti.

2.       Mengenali dan Meneroka Kekuatan dan Kelemahan Diri.

Setiap diri mempunyai kekuatan dan kelemahan.  Anda perlu meneroka, menganalisis dan menilai kelemahan dan kekuatan diri anda.  Kekuatan termasuklah bakat yang anda miliki, minat terhadap bidang yang ingin anda ceburi, kemahiran semula jadi yang ada dalam diri dan seumpamannya.  Contohnya ada pelajar yang suka kepada lukisan, ada yang suka kepada pengiraan dan ada yang suka kepada persekitaran.  Apabila anda telah mengenal kelebihan yang ada di dalam diri maka jalan untuk anda meneroka kerjaya akan lebih luas.  Kekuatan diri ini akan memberi kesan terhadap pemilihan kerjaya anda kemudiannya.  Jika anda mengesan apa-apa kelemahan di dalam diri masih ada kesempatan untuk anda menangani kelemahan tersebut. Dengan menangani kelemahan anda telah menyediakan peluang kepada diri anda untuk memilih lebih banyak peluang kerjaya yang wujud di dalam pasaran nanti.

3.       Memberi Tumpuan Kepada Kelebihan dan Kekuatan Diri

Mungkin terlalu banyak kelebihan atau kekuatan yang ada di dalam diri anda.  Kelebihan atau kekuatan ini akan mendatangkan masalah jika anda tidak boleh memilih yang mana satu akan menjadi tumpuan utama anda.  Anda perlu memberi fokus kepada beberapa kecendrungan atau kemahiran tertentu yang ada di dalam diri anda.  Memberi fokus terhadap sesuatu kelebihan yang ada di dalam diri akan menajamkan lagi keupayaan dan kemahiran anda di dalam sesuatu bidang itu.  Contohnya jika anda berminat di dalam bidang lukisan anda boleh mendalami lagi bidang ini sehingga bidang ini menjadi kepakaran anda. 

4.       Mencari Peluang dan Ruang Untuk Menajam Bakat dan Kemahiran

Ramai orang yang berjaya sedar terhadap wujudnya ruang dan peluang.  Pelajar yang pandai mencari peluang lebih berjaya dari pelajar yang menunggu sesuatu peluang itu muncul di muka pintu.  Masa lapang dapat digunakan sepenuhnya.  Jika hobi anda melukis, gunakanlah masa-masa yang terluang untuk anda mendalami lagi bakat ini.  Berbagai aktiviti boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang.  Contohnya anda boleh mengajar melukis kepada orang lain semasa cuti sekolah.  Jika anda berminat dengan khidmat masyarakat anda boleh menyertai latihan untuk menjadi fasilitator kursus-kursus motivasi.  Pelajar yang bijak akan sering mencari peluang dan ruang untuk menambah dan meningkatkan kemahiran dan bakat yang ada.

Bersambung….









No comments:

Post a Comment