About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Tuesday, March 20, 2012

Gadis Di Pinggirkan Kerana Kepandaiannya…

Saya merupakan pelajar tingkatan 2 sedang mengalami satu masalah berkaitan dengan kawan-kawan kelas saya.  Untuk pengetahuan tuan kaunselor saya merupakan pelajar yang sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan boleh dikatakan saya merupakan pelajar kesukaan ramai guru.  Oleh sebab kejayaan yang saya peroleh dan hubungan rapat saya antara guru menyebabkan kawan-kawan kelas saya sering
mencemburui saya sehinggalah mereka meminggirkan saya setiap kali kami membuat perbincangan dan pembentangan.  Saya tidak pernah berbuat jahat dengan mereka.  Lazimnya saya sering bersendirian kerana tiada siapa mahu berkawan  dengan saya.  Peliknya, mereka akan berbuat baik dengan saya apabila tiba minggu-minggu persediaan menghadapi peperiksaan kerena mereka meminta saya mengajar mereka pelajaran yang mereka kurang faham.  Saya bukanlah orang yang kedekut ilmu, walaupun mereka menyingkirkan saya saya tetap mengajar kepada mereka dengan hati yang terbuka, tetapi selepas tamat sahaja minggu belajar atau selesai peperiksaan, mereka masih tidak dapat menerima saya sebagai kawan mereka.  Apa salah saya tuan kaunselor? Takkanlah disebabkan kejayaan saya dalam pelajaran mereka tidak boleh menerima saya. Adakah  mereka akan menerima saya apabila saya merosot di dalam pelajaran atau mereka suka melihat hubungan saya dengan guru renggang?  Saya tidak faham mengapa perkara ini terjadi di dalam hidup saya.  Adakah saya perlu berpindah?  Saya sangat berharap agar tuan kaunselor dapat membantu saya dalam hal ini.                                                                                                                                                                                                                         Ellyza Ismail, Seremban.             

JAWAPAN

Melalui pernyataan anda dapat saya fahami bahawa anda merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan anda juga mempunyai perhubungan yang baik dan rapat dengan guru-guru anda.  Namun begitu terdapat beberapa perkara yang merungsingkan anda sehinggakan anda keliru terhadap nilai sebuah persahabatan dengan rakan-rakan anda. 

Perkara yang menjadi pokok persoalan anda sekarang ialah anda bingung memikirkan sikap rakan-rakan anda yang hanya berkawan dengan anda mengikut musim peperiksaan.  Senario yang berlaku sekarang ialah anda sering membantu mengajar rakan-rakan apabila musim peperiksaan semakin hampir tetapi setelah selesai musim peperiksaan kawan-kawan yang anda tolong tadi masing-masing menjauhkan diri dari anda.  Perkara ini membuatkan anda mempunyai persepsi bahawa mungkin mereka meminggirkan anda disebabkan oleh kecemerlangan anda di dalam peperiksaan dan hubungan rapat anda dengan guru.  Anda juga telah membuat suatu rumusan persepsi bahawa kemungkinan apabila anda tidak cemerlang di dalam peperiksaan dan tiada lagi hubungan baik dengan guru maka adakah kawan-kawan ini akan merapati anda?  Persepsi anda ini boleh kita analisis dan renungkan bersama.   Cuba anda renungkan pertanyaan ini.  Adakah berbaloi bagi anda mempunyai rakan yang inginkan anda lingkup dalam pelajaran dan adakah berbaloi bagi anda mempunyai rakan yang gembira jika anda tidak mempunyai hubungan yang baik dengan guru-guru kesayangan anda?  Adakah berbaloi jika anda mempunyai rakan yang hanya inginkan ilmu anda tetapi bukan diri anda? Anda fikirkanlah tentang itu.  Seperkara lagi anda boleh melihat dan renungkan perkara yang ada di dalam diri anda sendiri.  Apakah agaknya faktor lain yang menyebabkan rakan-rakan anda menolak anda dari berkawan dengan mereka?  Persoalan ini memerlukan anda melihat kepada corak perhubungan, sikap, cara gaya, tingkah laku dan bagaimana interaksi anda dengan mereka.  Mungkin anda tidak menyedari bahawa ada perkara yang membuatkan mereka kurang selesa untuk bergaul dengan anda.  Kemungkinan anda mahir di dalam menyampaikan ilmu tetapi kurang mahir dalam aspek berinteraksi dengan mereka.  Semua ini merupakan andaian yang boleh anda lihat dan fikirkan yang mungkin wujud di dalam diri anda.  Sesungguhnya anda lebih memahami diri anda lebih dari orang lain mengenali diri dan kehendak anda. 

Selain dari itu perkara yang boleh anda pertimbangkan ialah anda boleh memberitahu mereka tentang hasrat anda untuk bersahabat dengan mereka secara berterusan.  Mungkin anda boleh berterus terang dengan mereka tentang hasrat anda ingin menjalin perhubungan yang baik dengan mereka di samping boleh berbincang tentang pelajaran pada bila-bila masa yang diperlukan.  Penerokaan ini penting untuk melihat sejauhmana keinginan mereka untuk berkawan dengan anda dan setakat mana anda dapat memahami perkara-perkara yang perlu ada sebagai syarat anda berkawan dengan mereka.  Akhirnya anda boleh mempertimbangkan sendiri sama ada berbaloikah anda bersahabat dengan mereka atau sebaliknya.  Semoga anda dapat renungkan dan dapat bertindak mengikut keselesaan anda.

 Artikel Selasa:
Pengembangan Diri: Bagaimana Anda Mendapatkan Rakan  



Ramai pelajar yang mengadu tentang perhubungan dengan rakan sebaya.  Tidak kurang juga pelajar yang melahirkan perasaan kurang senang dan kecewa terhadap tahap perhubungan mereka.  Ada pelajar yang tidak dapat menjalin perhubungan dengan baik dan ada juga pelajar yang tidak dapat mengekalkan perhubungan dengan lebih lama.  Artikel pada minggu ini memberikan panduan dan tips kepada pelajar bagaimana untuk mendapatkan rakan dan dapat mengekalkan perhubungan dengan mereka.



1.       Perhatikan pelajar yang boleh dijadikan rakan.

Tidak semua orang sesuai dengan anda.  Setiap orang mempunyai ciri perwatakan dan tret personaliti yang tertentu termasuklah diri anda.   Sudah tentu anda mempunyai cita rasa tersendiri untuk memilih pelajar yang mana yang sesuai  dengan jiwa anda.   Untuk memilih rakan, anda perlu bermula dari yang dekat dengan diri anda.  Di dalam kelas mestilah ada pelajar yang duduk  bersebelahan, di hadapan atau di belakang anda.  Mereka ini berpotensi menjadi rakan baik anda.  Selepas itu barulah anda meneroka ke tempat yang lebih jauh seperti kelas bersebelahan, mereka dari sekolah yang berlainan ataupun rakan yang ditemui melalui ruang sosial seperti Facebook, Twitter, Netlog dan seumpamannya.



2.       Mengenali rakan kepada rakan anda

Persahabatan boleh berlaku dalam bentuk jaringan atau “network”.  Rakan yang memperkenalkan kepada anda rakannya merupakan peluang yang terbaik untuk anda berkenalan dengan sahabat baru ini.  Melalui rakan anda, anda boleh mengenali dia dan dia juga boleh mengenali anda melalui rakan anda.  Secara tidak langsung persahabatan anda akan menjadi berganda melalui rakan-rakan anda yang lain.



3.       Ringan Mulut dan Kemahiran Mendengar

Orang yang ramai kenalan biasanya ringan mulut.  Ada perkara yang ingin diceritakan, ada perkara yang ingin disampaikan.  Kehadiran orang yang ringan mulut biasanya tidak akan menyuramkan suasana dan keadaan.  Mereka sentiasa ada idea untuk menyatakan sesuatu dan ada perkara yang ingin ditanyakan.  Di samping ringan mulut anda juga perlu ada kemahiran mendengar agar rakan anda dapat menyampaikan dan meluahkan perasaan mereka.  Persahabatan yang baik ialah apabila berlakunya komunikasi dua hala di antara pendengar dengan pengucap.



4.       Ajak Rakan Anda Melakukan Aktiviti Bersama

Ramai kawan tidak semestinya anda boleh bekerjasama dengan mereka.  Anda perlu melakukan aktiviti bersama.  Ajak mereka berbual, berbincang dan menjalankan aktiviti bersama-sama.  Kemungkinan anda boleh mengajak kawan-kawan untuk belajar berkumpulan, atau bertukar-tukar maklumat.  Anda juga boleh mamanfaatkan teknologi komputer seperti berbincang dengan menggunakan facebook, twitter, myspace dan seumpamanya.



5.       Kenali diri dan keluarga rakan anda

Jika anda hanya mengenal nama rakan anda, bermakna anda hanya mengenali rakan anda secara luaran sahaja.  Bentuk perhubungan luaran tidak dapat bertahan lama.  Bentuk persahabatan untuk jangka panjang memerlukan anda mengenali rakan lebih daripada hanya mengenali namanya.  Anda perlu tahu nama, alamat, tarikh dan tempat lahir, alamat, hobi, bilangan dan nama-nama adik beradik dan seumpamanya.



6.       Selalu berhubungan

Menghubungi dan dihubungi merupakan perkara yang perlu di dalam sesebuah persahabatan.  Mewujudkan dan meneruskan perhubungan boleh dilakukan di dalam pelbagai bentuk seperti melalui telefon, e-mel, chat, MSN dan seumpamannya.  Ciri-ciri rakan yang baik ialah sentiasa ingin membina jalinan persahabatan yang mesra dan berkekalan.


No comments:

Post a Comment