About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Thursday, February 9, 2012

Abang Buat Hal ...



Tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan PMR.  Saya dianggap anak harapan di dalam 4 orang adik beradik.  Masalahnya sekarang ialah tingkahlaku abang saya mengganggu aktiviti saya untuk belajar dan memberi tumpuan terhadap pelajaran. Senang cerita abang saya penagih dadah.  Dulu keluarga kami bahagia tetapi selepas dia terlibat dengan penagihan dadah semuanya telah hancur. 
Dia sering mencuri duit ayah dan sering bergaduh dengan ahli keluarga yang lain.  Ayah saya juga telah buntu bagaimana menangani masalah abang saya.  Apabila abang dan ayah bergaduh satu rumah akan terlibat.  Saya akan masuk ke bilik dan terus tidur.  Saya juga tertekan, buntu dan saya rasa macam berputus asa untuk duduk di rumah ini.  Saya tidak tahu lagi apa hendak buat sehinggalah saya terbaca kolum tuan di akhbar ini.  Harap tuan dapat bantu saya.
                                                                                                                       Siti Atiqah, Kuala Lumpur.

JAWAPAN
Berhadapan dengan abang yang menagih dadah membuatkan anda rasa tertekan, bosan dan ingin lari dari pemasalahan ini.  Lebih-lebih lagi anda rasa tertekan apabila anda perlu berhadapan dengan peperiksaan yang penting pada tahun ini.  Semoga di dalam ruangan ini pemasalahan anda dapat difikirkan, dipertimbang, dirungkai dan diharap dapat memberikan anda kekuatan, ketabahan dan kesabaran untuk berhadapan dengan senario ini.   
                Ada dua perkara yang boleh anda fikirkan untuk tindakan;
i.                     Tindakan pertama. Menerima atau menolak keadaan.
Bagaimana anda dapat menghadapi masalah yang berlaku di dalam keluarga anda tanpa anda berasa bosan, buntu dan berputus asa.  Suka ataupun tidak, anda kena lalui dalam keadaan ini iaitu membiasakan diri dengan keadaan abang yang sakit, abang yang tidak lagi berada di bumi yang nyata dan abang yang akan bertindak dan melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati dan membimbangkan anda. 
a.       Dalam hal ini anda hanya mempunyai dua pilihan iaitu; pertama menerima hakikat bahawa abang anda seorang penagih dan anda membiasakan diri dengan situasi itu sambil menguatkan semangat bahawa penagihan dan masalah yang dihadapi oleh abang anda tidak akan menjejaskan persediaan anda menghadapi peperiksaan yang akan datang atau, 
b.      Pilihan yang kedua ialah anda menerima masalah dalam keadaan terpaksa dan anda berasa bosan, buntu dan berputus asa.  Jika anda memilih pilihan yang kedua bermakna anda mengalah kepada keadaan yang berlaku dan anda akan berasa kecewa akhirnya.  Jika anda memilih pilihan pertama, sekurang-kurangnya anda menerima kekurangan yang ada di dalam keluarga anda dan dan pada masa yang sama anda berusaha untuk menumpukan perkara yang lebih penting untuk kebaikan diri anda sendiri iaitu menghadapi peperiksaan dengan gigih.

ii.                  Tindakan kedua. Bertindak secara proaktif.
Bagaimana anda boleh berbincang dengan ayah, ibu, adik beradik atau saudara mara terdekat yang lain untuk sama-sama memikirkan, merancang dan mengambil tindakan untuk menangani masalah ini bersama di dalam sebuah keluarga.  Dulu anda berada di dalam sebuah keluarga yang bahagia tetapi apabila salah seorang dari ahli mengalami masalah maka seelok-eloknya semuanya boleh membantu bagaimana masalah ini boleh di atasi.  Anda boleh mengesyorkan kepada ayah atau ibu bahawa abang perlukan bantuan profesional seperti menghantarnya mendapat rawatan ke hospital, mendapatkan bantuan dari agensi dadah kebangsaan atau mendapatkan mana-mana rawatan yang difikirkan sesuai.  Jika boleh, minta semua ahli keluarga memahami masalah ini agar abang anda dapat dibantu bukannya dibenci.  Jika tekanan terlalu berat anda bolehlah berjumpa dengan kaunselor anda di sekolah untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan selanjutnya.  

Artikel Selasa:

Pengembangan Diri:

Bagaimana Anda Dapat Membantu Jika Ahli Keluarga Anda Penagih
Penagihan dadah boleh mengubah tingkahlaku manusia dari siuman kepada tingkahlaku yang tidak kita fahami.  Ramai keluarga yang kehilangan ahli keluarga yang tersayang akibat penagihan dadah.  Sekali mereka terlibat mereka akan terabai dan pengabaian ini akan membebankan seluruh ahli keluarga khususnya dan masyarakat umumnya.  Sebagai ahli keluarga, rakan, ibu bapa, suami atau isteri, anda masih boleh membantu mereka dengan cara anda memahami penyakit mereka dengan lebih mendalam.  Berikut diberikan panduan bagaimana anda boleh memahami dan membantu mereka agar mereka dapat menangani masalah yang mereka hadapi.

1.       Terima hakikat bahawa ahli keluarga / sahabat / saudara-mara anda sedang menghadapinya.
Ramai di antara pelajar tidak dapat menerima kenyataan bahawa ahli keluarga/ sahabat/ saudara-mara mereka sedang menghadapi masalah tersebut.  Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.  Secara tidak langsung anda juga terlibat di dalam sistem yang sedang berlaku itu.  Sebenarnya anda merupakan orang yang boleh membantu mereka jika anda mahu.

2.       Elakkan dari memberi pinjaman wang.
Jika anda memberi mereka wang bermakna anda memberi galakan untuk mereka menggunakan wang tersebut membeli bahan.  Galakkan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang positif dengan mengajak mereka untuk terlibat sama dengan aktiviti yang anda anjurkan.

3.       Kenalpasti perangai dan sifat mereka.
Anda boleh dapatkan maklumat tentang perangai dan sifat-sifat mereka yang menagih dadah.  Sifat mereka boleh berubah dari seorang yang pembersih kepada pengotor, dari seorang yang tersusun kepada yang tidak terurus dan seumpamannya.  Pengetahuan ini penting agar anda bersedia untuk menghadapinya.  Perubahan sikap ini bukan disebabkan oleh kehendak diri mereka tetapi disebabkan oleh pengaruh bahan yang mengubah persepsinya terhadap alam sekeliling.

4.       Sentiasa memberi sokongan dan kasih sayang
Mereka tidak memilih untuk menjadi penagih.  Penagihan bermula disebabkan oleh sesuatu. Mungkin mereka ingin mencuba, pujuk rayu rakan, merajuk, balas dendam, terpaksa dan seumpamanya.  Apabila mereka terperangkap mereka tiada jalan keluar.  Mereka perlukan kasih sayang dan sokongan anda.  Tiga perkara yang boleh anda lakukan ialah terima dirinya tanpa bersyarat, empati (memahami sesungguh-sungguhnya) dan perasaan tulus dan ikhlas untuk membantunya.

5.       Dapatkan maklumat tentang program pemulihan
Anda boleh mendapatkan maklumat tentang program-program yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu sama ada yang dianjurkan oleh swasta ataupun kerajaan.  Dapatkan brosur, lawati laman web badan-badan tersebut atau buat panggilan untuk bertanya tentang program dan syarat-syarat kemasukan ke pusat tersebut.

6.       Berbincang dan merancang untuk pemulihan
Berbincang dengan mereka (penagih) tentang bantuan dan sokongan yang anda boleh berikan dan merancang untuk pemulihan sebagai matlamat untuk menangani masalah penagihan tersebut.  

1 comment:

  1. Casino Site - Lucky Club Live
    Casino Site. Lucky Club is the most popular casino in the world created to cater the needs of both online players and experienced poker players. There are  Rating: luckyclub 7/10 · ‎Review by LuckyClub

    ReplyDelete