About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Sunday, August 14, 2011

Saya Tidak Tahan Ibu Bapa Sering Bergaduh...

Saya anak yang pertama dari 3 orang adik-beradik. Saya berada di tingkatan 5, adik yang kedua lelaki di tingkatan 2 dan yang paling bongsu perempuan baru darjah 4. Sejak akhir-akhir ini ibu seolah-olah kecewa dengan sikap ayah yang panas baran
dan selalu pulang lewat ke rumah. Ibu syak ayah ada menyimpan perempuan lain. Apabila ayah balik rumah mereka selalu bertengkar sehinggakan terdengar oleh jiran-jiran. Apabila mereka bergaduh kami adik beradik akan sembunyi di dalam bilik. Saya amat malu dengan jiran-jiran. Saya juga hilang mood untuk belajar. Ada juga masa saya fikir hendak lari dari rumah, tetapi apabila memikirkan adik-adik saya, saya berat hati untuk berbuat demikian. Saya amat tertekan sekarang. Tumpuan saya untuk SPM tahun ini sudah tidak ada. Harap tuan dapat bantu saya.

Cinderella Duka, P.Pinang.

Jawapan:

Anda merupakan anak sulong yang sangat bertanggungjawab terhadap adik-adik. Anda telah memendamkan hasrat untuk lari dari rumah kerana masih sayangkan adik-adik. Anda juga kini akan berhadapan dengan peperiksaan yang penting bagi anda. Namun nampaknya ibu bapa tidak memahami perasaan dan hasrat anda. Mereka asyik bergaduh di hadapan anda dan pergaduhan tersebut membuatkan anda malu dengan jiran-jiran, anda muak dan anda ingin lari dari keadaan ini. Itulah senario yang dapat saya fahami dari luahan perasaan anda. Saya juga dapat bayangkan betapa hancurnya hati anda memikirkan soal diri anda yang tidak dipedulikan yang sedang berhadapan dengan SPM dan ditambah pula dengan tanggungjawab anda terhadap adik-adik anda.
Marilah kita sama-sama melihat perkara ini dengan jelas agar isu yang anda kemukakan dapat kita rungkaikan satu persatu. Pertama, anda akan menghadapi peperiksaan yang sangat penting untuk diri anda dan juga keluarga anda termasuklah untuk adik-adik anda. Peperiksaan ini tidak boleh tidak perlu anda lalui dengan usaha yang gigih dan dengan semangat yang tabah. Peperiksaan ini nanti akan menentukan kedudukan kerjaya anda pada masa hadapan. Saya tidak tahu apakah matlamat kerjaya anda tetapi saya pasti dengan keputusan SPM yang cemerlang eksplorasi kerjaya anda akan menjadi lebih mudah. Kedua, ibu bapa anda perlu mengetahui hasrat dan cita-cita anda untuk peperiksaan ini. Soal mereka bergaduh dan bertengkar itu adalah cara mereka untuk menyelesaikan masalah mereka. Mungkin mereka mempunyai sebab dan alasan untuk berbuat demikian tetapi anda sebagai anak juga mempunyai sebab dan alasan untuk diberikan peluang agar anda dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran anda tanpa gangguan dari mereka. Jika anda dapat menyatakan kepada mereka hasrat anda untuk mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan mungkin mereka akan menyedari tentang kesilapan mereka itu. Mungkin mereka tidak sedar pergaduhan mereka mengganggu konsentrasi anda. Mungkin anda kena fikirkan cara terbaik untuk anda menyatakan kepada mereka agar mereka dapat memahami keperluan dan hasrat anda.
Jika mereka masih begitu juga anda perlu ada inisiatif sendiri dan memikirkan bagaimana caranya di dalam keadaan mereka bercakaran anda masih lagi dapat menumpukan kepada pelajaran anda kerana peperiksaan sangat penting buat anda. Mungkin anda kena belajar untuk menerima keadaan itu dan pada masa yang sama anda masih dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran. Memikirkan untuk lari dari rumah adalah jalan yang paling mudah untuk menyelesaikan kerungsingan buat sementara tetapi risikonya sangat tinggi. Anda mungkin akan kehilangan semuanya; SPM anda, adik-adik anda, ibu bapa anda dan yang paling malang anda hilang jati diri anda. Insyallah, dengan berkat ketabahan, kesungguhan dan keikhlasan, Allah akan memberi kekuatan kepada anda untuk menyatakan kepada ibu bapa dan Allah memberi kefahaman kepada ibu bapa anda untuk mengubah tingkahlaku mereka. Jika masih gagal, ingat bahawa kesabaran dan usaha yang berkekalan akan membawa kepada kemenangan anda. Semoga anda berjaya dan tabah menghadapi setiap rintangan dan ujian.


Artikel:

Pengembangan Diri: Maafkanlah ibu bapa anda...

Ibu bapa merupakan insan yang membawa anda ke dunia ini. Pengalaman dengan mereka sangat pelbagai. Ibu bapa yang penuh dengan sikap kasih sayang akan membahagiakan anak-anak mereka tetapi tidak semua anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang sedemikian. Namun, anda sebagai anak tidak ada pilihan selain dari redha dan dapat menerima ibu bapa anda seadanya. Jika anda tergolong dari kumpulan mereka yang mempunyai ibu bapa yang kurang memberikan kasih sayang kepada anda, artikel minggu ini memberikan anda sedikit tips bagaimana anda boleh memaafkan kelemahan mereka.
1. Ibu dan Bapa Tidak Menyedari Bila dan Bagaimana Mereka Menyakitkan Hati Anda.
Tidak ada ibu dan bapa yang dengan sengaja ingin menyakitkan hati anak-anak mereka. Perasaan sakit hati merupakan andaian dan persepektif anda terhadap mereka apabila ada beberapa perkara yang berbeza antara anda dengan mereka. Senarikanlah perkara yang anda rasa anda tidak selesa tentang perlakuan mereka terhadap anda. Senarai ini hanyalah merupakan senarai untuk diri anda membuat refleksi tentang kesilapan yang mungkin anda lakukan yang mencetuskan situasi itu. Di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa seseorang anak tidak boleh menyakitkan hati ibu dan bapanya. Jadikanlah itu sebagai panduan anda terhadap perhubungan anda dengan ibu bapa anda.
2. Fikirkan Perkara Yang Mungkin Anda Telah Menyakitkan Hati Mereka.
Buatkan satu senarai tentang kemungkinan anda juga telah menyakitkan hati mereka secara tidak sengaja atau disengajakan. Mungkin anda tidak mengendahkan kata-katanya, tidak melaksanakan tugas yang diberikan, ketinggian nada suara anda, jelingan mata anda terhadapnya, tidak mendengar dan memberi perhatian semasa mereka berkata-kata, tidak mengucapkan terima kasih terhadap layanan mereka terhadap anda dan seumpamanya. Anda juga perlu sedar bahawa kebanyakan ibu dan bapa mempunyai suatu sikap yang sangat sensitif terhadap sesuatu.
3. Fahami Doa Dan Harapan Mereka Terhadap Anda
Ibu bapa yang bahagia adalah ibu bapa yang melahirkan anda ke dunia ini. Mereka pernah berharap dan berdoa agar anda bahagia, sihat, sejahtera, menjadi orang yang berguna, kaya raya, berakhlak mulia, beriman, baik di dunia dan di akhirat. Pandangan ini adalah merupakan temubual saya dengan 20 ibu bapa yang mempunyai anak. Anda juga seharusnya mempunyai doa dan harapan untuk mereka. Doa dan harapan itu adalah lebih baik lagi melalui usaha dan tindakan anda terhadap doa dan harapan mereka. Maksudnya anda perlu menjaga kesihatan anda, menjaga akhlak, berusaha di dalam pelajaran dan seumpamanya.
4. Fahami Perasaan Dan Pemikiran Ibu Dan Bapa Anda
Setiap manusia tidak sama dari aspek sifat, sikap dan perwatakan. Ibu bapa anda juga demikian. Anda boleh membaca perasaan mereka seperti kesedihan, kegembiraan, kemarahan, kekecewaan, kesukaan dan seumpamannya. Perasaan ini akan memberi kefahaman kepada anda untuk menyelami perasaan dan fikiran mereka. Bincangkan juga perasaan anda dengan mereka agar mereka dapat memahami. Mereka juga ingin tahu hasrat dan harapan anda. Mereka juga perlu tahu bilakah anda akan berasa sedih, kecewa dan gembira. Mudah-mudahan jurang perasaan dan pemikiran yang terdapat antara anda dengan ibu bapa anda semakin menipis, akhirnya anda akan memahami mereka dan anda dapat berlapang dada serta dapat memaafkan mereka.

No comments:

Post a Comment