About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Monday, August 15, 2011

Rasa Rendah Diri Dan Bagaimana Belajar Secara “Smart”.

Masalah yang sering menghantui saya ialah saya sering berasa rendah diri dalam kalangan rakan-rakan saya. Hal ini berlaku kerana saya berada di kelas yang paling atas iaitu kelas A. Saya rasa tertekan
dengan harapan guru dan tertekan dengan kehebatan rakan-rakan saya yang lain. Saya juga tidak tahu bagaimana menguruskan masa dengan baik dan cara belajar dengan betul. Saya merupakan pelajar yang suka “study hard” tetapi tidak pandai mengamalkan study smart. Saya sangat tertekan sekarang. Harap dapat bantu saya. Untuk pengetahuan tuan saya sekarang berada di tingkatan 5.

Tension Giler, Peringgit, Melaka.

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang anda utarakan. Pertama anda mempunyai perasaan rendah diri di dalam kalangan rakan-rakan anda di dalam kelas. Kedua anda berasa tertekan dengan kehendak dan harapan guru dan anda juga rasa tidak mampu untuk menandingi rakan-rakan di dalam kelas anda. Ketiga anda tidak dapat mengurus masa dan tidak dapat mencari satu strategi belajar yang sesuai. Insyallah di dalam ruangan yang terbatas ini diharap kita dapat sama-sama melihat dan merungkai tekanan perasaan yang anda alami. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kerana anda berada di dalam kelas yang terbaik. Tidak semua pelajar boleh mendapat kedudukan dalam kelas yang terbaik. Anda telah dapat membuktikan bahawa anda merupakan antara pelajar yang hebat. Berkaitan dengan perasaan rendah diri yang menghantui anda, nampaknya ia berkait rapat dengan persepsi anda terhadap rakan-rakan anda yang lebih hebat dari anda. Adakah anda merasa kehebatan pelajar lain telah kehebatan diri anda. Betulkah kehebatan diri orang lain membuatkan diri anda merasa gerun dan menghilangkan kehebatan dan keyakinan yang ada di dalam diri anda sendiri? Jika anda hanya melihat kekuatan orang lain dan anda berasa gerun terhadapnya sedangkan kekuatan yang ada pada diri anda sendiri tidak anda jana maka saya kira anda perlu melihat kembali persepsi anda terhadap potensi dan kekuatan diri anda sendiri.
Berkaitan dengan harapan yang diberikan oleh guru, anda boleh melihatnya sama ada dalam bentuk positif atau negativf. Jika anda melihat dalam perspektif yang positif harapan yang diberi oleh guru itu merupakan tekanan yang positif yang boleh membuatkan anda dapat melonjakkan diri dari pelajar biasa kepada pelajar yang luar biasa. Tanpa tekanan tidak akan ada lonjakkan. Prinsip tekanan ialah memberi kekuatan kepada lonjakkan kehadapan. Gunakanlah tekanan tersebut sebagai tenaga untuk anda bergerak ke hadapan dan bukannya tenaga yang boleh melenyapkan potensi anda. Jika anda melihat harapan guru itu sebagai yang negatif, maka harapan guru itu akan menjadi satu tekanan yang akan membebankan diri anda.
Pengurusan masa sangat berkait rapat dengan bagaimana anda dapat menggunakan masa belajar dan masa beriadah anda dengan berkesan. Ia banyak bergantung kepada setakat mana anda sanggup mengorbankan masa anda untuk membuat sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pelajaran anda berbanding dengan masa anda untuk bersantai dan berehat. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang berani memperuntukkan masa untuk belajar dan mengulangkaji lebih dari masa-masa yang lain. Anda boleh membina dan menyusun jadual yang sesuai untuk matlamat tersebut. Bagi “smart study” sila rujuk pada artikel minggu ini. Sekian semoga anda berjaya dan dapat melihat potensi diri dan dapat mengembalikan keyakinan diri anda.

Artikel:
Pengembangan Diri: Bagaimana anda dapat belajar secara “smart”.

Belajar tidaklah membebankan sekiranya anda tahu bagaimana untuk belajar dengan betul atau “smart study”. Kadang-kadang banyak belajar juga boleh mendatangkan rasa bosan. Semua perkara hendak dibuat dalam masa yang terhad. Semua buku hendak dibaca apabila musim peperiksaan sudah hampir tiba. Ketika itulah perasaan mengelabah, rasa tidak tenang dan rasa tertekan akan wujud di dalam diri. Pelajar yang bijak mesti tahu bagaimana untuk belajar secara “smart”. Di bawah ini diberikan beberapa tips bagaimana anda dapat belajar secara “smart” dan seterusnya dapat meningkatkan kemahiran belajar anda.

1. Jadikan membaca satu amalan.
Ilmu diperoleh melalui pembacaan. Tanpa membuat bacaan mustahil ilmu dan pelajaran dapat dikuasai. Al-Quran diturunkan dengan perkataan yang pertama “BACALAH”. Kunci ilmu adalah melalui bacaan. Oleh itu jadikan diri anda biasa dengan membaca walau di mana anda berada. Tidak kira anda sedang berada di dalam kereta, semasa menunggu bas untuk ke sekolah, sambil menunggu kawan-kawan yang ingin berkunjung ke rumah. Apabila buku atau nota sentiasa berada ditangan bermakna ilmu dan pengetahuan sentiasa berada di sisi anda. Jika membaca menjadi suatu kebiasaan maka aktiviti membaca tidak akan menjadi beban lagi.

2. Kaitkan dengan lagu, lukisan atau puisi.
Untuk mengingat perkara yang anda baca bukanlah perkara mudah. Anda tidak dapat mengingat dan menghafal perkara yang anda baca dalam masa yang singkat. Ia memerlukan usaha dan kerajinan anda. Jika anda boleh melukis anda boleh menggunakan kepakaran melukis anda untuk mengaitkan lakaran lukisan anda dengan fakta yang anda baca. Lukisan dapat menggambarkan beribu perkataan. Puisi juga boleh menguatkan ingatan anda terhadap sesuatu fakta yang anda baca. Membaca puisi dan mengaitkan perkara yang anda baca adalah lebih mudah dari anda membaca berulang keseluruhan buku. Jika anda boleh menyanyi anda boleh mengarang sebuah lagu tentang fakta yang anda baca. Anda bukan sahaja akan dapat mengingat semua fakta yang anda baca tetapi anda juga tidak akan berasa bosan.

3. Rakam pembelajaran anda.
Teknologi masa kini sangat mudah dan ia semudah petikan jari anda. Kebanyakkan pelajar mungkin ada memiliki telefon bimbit. Telefon tersebut bukan sahaja boleh menghubungkan anda dengan rakan tetapi ia dapat menyimpan dan merakam suara dan gambar anda. Jika anda bijak dan kreatif anda boleh menggunakan telefon bimbit anda sebagai kemudahan dan alat belajar anda. Walaupun telefon bimbit tidak boleh dibawa ke sekolah tetapi ia masih boleh digunakan semasa anda belajar di rumah. Gunakanlah ia secara optimum dan gunakanlah ia untuk kemudahan pembelajaran anda. Anda boleh mendengar atau melihat kembali rakaman pembelajaran anda.
4. Kongsikan topik yang anda pelajari dengan orang lain.
Duit apabila dibelanjakan akan menjadi kurang tetapi ilmu apabila disebarkan akan mengukuhkan ingatan anda dan menjadikan anda orang yang disegani dan dimuliakan. Berkongsi ilmu meningkat dan mengukuhkan kefahaman terhadap sesuatu mata pelajaran itu. Semakin banyak anda berkongsi tentang sesuatu tajuk, semakin mudah anda memahami dan mengingatinya. Adakan perbincangan, soal jawab dan perbahasan tentang sesuatu tajuk yang telah dipelajari. Beritahu apa yang anda tahu kepada orang lain, orang lain akan memberitahu anda pula apa yang mereka tahu. Perbincangan bukan setakat boleh berlaku secara bersemuka tetapi ia juga boleh dilakukan secara talian.

5. Belajar, dan ajarkan kepada orang lain.
Perkara yang telah anda pelajari boleh anda ajarkan kepada orang lain. Pengajaran anda akan mengukuhkan lagi kefahaman dan ingatan anda. Bukan sahaja ia mengukuhkan kefahaman dan ingatan tetapi ia juga dapat menerapkan kemahiran anda berkomunikasi dan berinterkasi dengan orang lain. Ramai pelajar yang pandai akademik tetapi gagal di dalam berkomunikasi. Mereka hanya pandai memerap ilmu tetapi tidak pandai untuk menyampaikan ilmu kepada orang lain. Cari rakan yang benar-benar tidak tahu tentang tajuk yang anda tahu dan sampaikan kepadanya agar dia faham. Anda juga secara tidak langsung telah menguruskan pemikiran anda dengan menggunakan bahasa yang anda sendiri fahami. Perkara ini juga menjadi latihan kepada anda untuk mengarang idea yang ada di dalam minda anda.

No comments:

Post a Comment