About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Monday, August 15, 2011

Bilakah penderitaan ini akan berakhir....

Tahun 2010 dan 2011 adalah tahun malang buat saya. Awal tahun lepas ayah saya telah meninggal dunia. Dua bulan kemudian emak saudara saya pula meninggal dunia. Akhir tahun lalu nenek yang membela dan membesarkan saya pula meninggal dunia. Bulan lepas bapa saudara saya pula meninggal dunia akibat kanser. Semua yang meninggal dunia merupakan
orang-orang yang penting dalam hidup saya. Mereka banyak memberi perangsang dan semangat untuk saya belajar. Untuk pengetahuan tuan kini saya tinggal bersama datuk saya yang telah tua dan uzur. Ibu saya pula tinggal dan bekerja di bandar kerana mencari rezeki. Saya terasa kesunyian dan hampa hidup tanpa orang-orang yang penting ini. Kini semuanya saya kena uruskan, dari membasuh kain, memasak, melipat kain dan boleh dikatakan semua kerja saya kena uruskan sendiri. Saya buntu bagaimanakah saya dapat menumpukan kepada pelajaran dalam keadaan saya sangat rungsing seperti ini. Harap tuan dapat bantu saya. Terima kasih.
Syafiqah, Alor Gajah.

JAWAPAN

Saya amat terasa akan kesunyian anda tetapi pada masa yang sama saya juga dapat merasakan semangat yang kuat dari anda untuk menghadapi suasana dan peristiwa yang berlaku. Tidak semua orang dapat menghadapi tekanan yang berat seperti yang anda hadapi. Sesungguhnya Allah telah memilih anda untuk merasai dan menghadapi ujian dan cabaran yang berat ini. Mereka yang sangat penting di dalam hidup anda telah dipanggil oleh Allah, sudah tentulah Allah lebih mengetahui tentang perancanganNya. Sesungguhnya mesti ada hikmah mengapa anda dan keluarga terpaksa melalui kehidupan yang getir dan mencabar ini. Mohonlah kepada Allah agar diberi kekuatan dan kesabaran agar apa yang anda lalui pada saat ini dapat anda lalui dengan semangat yang kuat dan penuh dengan ketabahan dan keredhaan. Pada masa yang sama Allah masih lagi memberi kekuatan dan rahmatNya kepada anda apabila datuk masih lagi bersama-sama anda. Ibu anda juga masih ada walaupun dia berada jauh di bandar.
Berkaitan dengan pelajaran anda apakah pilihan yang anda ada selain dari memberi tumpuan agar anda tidak ketinggalan. Pada masa yang sama anda juga melakukan kerja-kerja rumah yang banyak. Ini memerlukan kesabaran dan kecekapan anda untuk melaksanakannya. Anda boleh memikirkan untuk merancang satu jadual kerja agar kerja-kerja anda akan lebih tersusun dan bersistematik. Mungkin anda boleh bincangkan perkara ini dengan datuk anda agar dia memahami tugas, dan tanggungjawab anda. Datuk juga boleh membantu anda mana yang perlu. Sesekali anda juga boleh menghubungi ibu untuk meluahkan perasaan anda. Anda berhak untuk menyatakan kesedihan, kepiluan dan kesusahan anda kepadanya. Mungkin datuk dan ibu juga mempunyai perasaan yang sama seperti anda. Mereka juga kehilangan orang-orang yang mereka sayang. Anda, datuk dan ibu anda masih memerlukan di antara satu sama lain. Mereka sudah tentu ingin melihat anda berjaya. Kejayaan anda mungkin akan dapat mengubat duka dan pilu di hati masing-masing. Jika ada kesempatan dan keperluan, anda boleh juga berbincang tentang situasi anda dengan guru bimbingan atau kaunselor di sekolah anda. Kaunselor boleh membantu anda merancang jadual kerja, jadual belajar dan strategi belajar yang sesuai bagi anda. Saya berdoa agar anda tetap diberi kekuatan mental, fizikal, emosi dan rohani. Semoga anda kuat semangat dan berjaya di dalam kehidupan dan kerjaya anda.

Artikel:

Pengembangan Diri: Bagaimana anda menangani rasa kesedihan.

Kematian merupakan fitrah kehidupan makhluk Allah. Tidak ada manusia yang dapat lari dari kematian. Namun begitu tidak semua manusia dapat menerima hakikat kematian orang yang terdekat, orang yang tersayang, dan orang yang tercinta. Bagaimana mereka yang ditinggalkan dapat menerima kematian seseorang yang penting di dalam kehidupan? Bagaimanakah mereka dapat menangani rasa kesedihan dan kesepian akibat dari kehilangan orang yang paling disayang? Minggu ini beberapa tips diberikan bagaimana seseorang itu dapat menerima hakikat kematian atau kehilangan orang yang penting di dalam hidup mereka.

1. Beri masa untuk pulih.
Perasaan sedih memerlukan masa untuk dirawat. Ada orang yang dapat menanganinya dalam masa yang singkat dan ada juga memerlukan masa yang lama. Jika anda semakin cuba memaksa untuk melupakan maka ini akan menambah kedukaan dan kesedihan anda. Jadi berikan masa secara perlahan-lahan di samping cuba menjalankan aktiviti seperti biasa.

2. Dapatkan bantuan dan sokongan.
Jika anda menyendiri dan menyisihkan diri dari orang lain bermakna anda memberi ruang untuk melayan perasaan sedih anda itu. Selagi anda memberi ruang dan sering berimajinasi dan melayan perasaan yang bukan-bukan bermakna anda tidak memberi laluan diri anda untuk pulih. Anda akan terperangkap di dalam perasaan kesedihan itu dan akhirnya anda lemas sendirian. Eloklah anda mendapatkan teman, rakan atau ahli keluarga yang lain untuk berkongsi perasaan anda atau menjadi teman semasa melakukan tugas rutin seharian.

3. Teroka cara yang membina untuk luahkan perasaan
Ramai orang menyimpan perasaan sedih di dalam hati. Mereka memendam perasaan dan menjeruk rasa. Orang lain akan melihat anda seperti biasa dan tiada masalah tetapi sebenarnya anda menekan perasaan anda ke dalam diri anda sendiri. Akhirnya anda akan menjadi cepat terasa dan sensitif dan anda sendiri tidak dapat memahami kehendak perasaan anda. Elok apabila anda meluahkan perasaan anda dengan bercerita dengan rakan-rakan yang lain. Sesekali biarkan diri anda menangis sepuas-puasnya agar anda dapat merasakan kelegaan selepas itu. Berdoa dan berzikir mengingati Allah sebanyak-banyaknya untuk mendapatkan ketenangan rohani dan perasaan.

4. Fikirkan tentang perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan .
Jika melancong itu boleh memberi kesan yang baik bagi anda maka lakukanlah. Jika dulu anda suka menanam bunga di taman atau menulis diari maka lakukanlah. Perkara yang anda suka lakukan adalah merupakan terapi yang dapat merawat rasa kesedihan anda. Sekurang-kurangnya ada suka melakukannya dan perasaan gembira itu dapat mengimbangi perasaan sedih anda.

5. Terokai matlamat hidup anda seterusnya.
Orang yang pergi tetap pergi, tetapi orang yang tinggal perlu meneruskan sisa hidup yang ada. Matlamat yang ditentukan pada awal dahulu perlu diteruskan. Contohnya jika anda seorang pelajar anda perlu melihat kembali matlamat pendidikan anda. Anda perlu melihat kepada strategi bagaimana untuk mencapai keputusan yang baik yang menjadi matlamat anda. Jika anda seorang ibu atau ayah, anak-anak yang lain masih lagi memerlukan perhatian dan tunjukajar anda. Matlamat untuk membesarkan anak-anak yang masih ada jangan diabaikan.

No comments:

Post a Comment