About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Thursday, June 30, 2011

Masalah Pilihan Kerjaya

MASALAH MINGGUAN

Ayah menentukan kerjaya saya dan saya tertekan…
Tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan SPM. Masalah saya ialah saya rasa rungsing dan tertekan kerana ayah saya mahu saya menjadi guru. Saya pula tidak berminat untuk menjadi guru. Bagaimanakah saya dapat menerangkan kepada ayah sedangkan ayah sering mendesak dan memaksa saya untuk menjadi seorang guru. Bagaimanakah saya dapat mengetahui apakah kerjaya yang sesuai untuk diri saya. Harap kaunselor dapat bantu saya.
Ashraf, Cheras Utama, KL
.
JAWAPAN

Tahun ini anda akan menghadapi peperiksaan yang penting. Anda seharusnya dapat memberi perhatian terhadap peperiksaan ini. Walau bagaimanapun merancang kerjaya merupakan perkara penting untuk dilakukan pada peringkat usia anda ini. Keputusan peperiksaan ini nanti akan menentu dan menjelaskan lagi arah tuju kerjaya anda. Berkenaan desakan ayah agar anda memilih kerjaya guru, pada fikiran saya ayah anda mempunyai persepsi yang sangat positif terhadap kerjaya guru. Mungkin ayah anda mempunyai persepsi dan melihat prospek kerjaya guru lebih baik dan beberapa perkara yang positif yang terdapat dalam kerjaya guru menyebabkan dia mahukan anaknya menjawat jawatan tersebut. Anda pula mempunyai minat kerjaya yang lain. Mungkin dia tidak tahu minat dan matlamat kerjaya anda yang sebenar dan dia juga tidak yakin dengan pilihan kerjaya anda. Ada beberapa perkara yang boleh anda fikirkan untuk menangani masalah ini. Pertama, anda boleh berbincang dari hati ke hati dengan ayah anda tentang perkara ini. Anda boleh menyatakan minat, hasrat dan harapan anda terhadap kerjaya yang anda minati. Nyatakan matlamat kerjaya anda yang sebenar dan nyatakan mengapa anda memilih laluan kerjaya tersebut. Perbincangan hendaklah dalam keadaan harmoni dan mesra. Kedua anda boleh berjumpa kaunselor dan dapatkan ujian minat kerjaya seperti SDS (Self Directed Search) atau VPI (Vocational Preference Inventory). Melalui ujian ini anda akan dapat melihat kesesuaian ciri-ciri personaliti anda dengan ciri-ciri persekitaran kerja. Anda akan dibimbing oleh guru pembimbing atau kaunselor di sekolah anda untuk melihat keserasian personaliti anda dengan kesesuaian ciri-ciri suasana sesuatu pekerjaan. Data ini nanti akan dapat membantu anda mengenal minat dan kerjaya anda dan secara tidak langsung dapat membantu anda menerangkan kepada ayah tentang kecendrungan dan minat kerjaya anda. Ketiga, anda tidak perlu memikirkan perkara ini secara serius kerana tumpuan anda kini adalah untuk mendapatkan keputusan yang terbaik di dalam SPM. Keputusan ini nanti akan dapat memberikan gambaran kerjaya mana yang sesuai untuk anda. Lagipun kecendrungan memilih kerjaya tidak bersifat statik, ia berubah mengikut keadaan dan masa. Semoga anda berjaya di dalam pelajaran dan berjaya di dalam kerjaya yang menjadi idaman anda.


Artikel:

Pengembangan Diri: Kerjaya Apa Yang Sesuai Bagi Anda.

Ramai pelajar yang datang bertemu saya bertanyakan apakah kerjaya yang sesuai untuk mereka. Kebanyakan pelajar kabur untuk memilih kerjaya yang sesuai. Memilih kerjaya yang sesuai merupakan tugas yang penting bagi seorang pelajar. Kepuasan bekerja sangat berkait rapat dengan minat dan kecendrungan untuk memilih kerja yang sesuai. Siri artikel kali ini akan membicarakan dan memberikan tips kepada pelajar untuk merancang dan membuat persediaan memilih kerjaya yang sesuai. Sebelum membuat pilihan kerjaya, pelajar perlu mengetahui mengapa pelajar perlu merancang kerjaya terlebih dahulu. Artikel minggu ini akan mengutarakan tips sebab-sebab mengapa anda perlu merancang kerjaya anda.

1. Masa Depan Kerjaya Anda Terletak Kepada Perancangan Teliti Masa Kini
Pelajar yang tidak merancang kerjaya dengan baik akhirnya akan merasa kecewa kerana kerjaya yang dipegang tidak sesuai dengan kehendak dan minat. Anda perlu tahu apakah keinginan, minat, kebolehan, dan keupayaan yang ada di dalam diri anda. Berdasarkan perkara tersebut anda akan dapat merancang matlamat kerjaya anda dengan lebih baik.

2. Dapat Menentukan Hala Pendidikan dan Latihan Yang Berkaitan.
Berdasarkan bidang kerjaya yang anda pilih anda akan dapat menentukan matlamat pendidikan dan latihan anda dengan lebih jelas. Contohnya jika sesuatu pekerjaan itu memerlukan menjurus kepada bidang sains dan matematik maka anda boleh bersedia untuk memberi fokus kepada mata pelajaran tersebut. Anda juga akan dapat mengesan bentuk latihan apa yang diperlukan untuk kerjaya yang anda pilih.

3. Membuat Pilihan Kerjaya Dengan Bermaklumat
Memilih kerjaya bukan seperti memilih ikan di pasar. Orang lain tidak boleh menunjukkan kerjaya apa yang sesuai untuk anda. Anda perlu meneroka keupayaan dan pengalaman diri anda dan perlu meneroka bidang kerjaya yang ada di dalam pasaran. Memilih kerjaya memerlukan maklumat yang lengkap tentang data diri seperti ciri-ciri personaliti anda, kebolehan, kecendrungan dan keupayaan, serta keinginan dan minat anda. Anda juga perlu ada maklumat tentang ciri dan jenis sesuatu pekerjaan.

4. Kepuasan Kerjaya Bergantung Kepada Minat dan Keinginan
Ramai orang yang bekerja tetapi tidak merasa puas. Perkara ini disebabkan oleh minat, keinginan dan kemahiran sangat berbeza dengan suasana dan jenis pekerjaan yang dipilih. Ramai pekerja cepat merasa bosan dan prestasi kerja menurun disebabkan oleh perasaan yang kecewa dan rasa tidak puas hati terhadap kerjaya yang dipegang. Pekerjaan yang sesuai dengan minat, kebolehan dan kemahiran akan menjadikan seseorang itu cekap dan berdedikasi terhadap tugas yang dilaksanakan.

Bersambung….

No comments:

Post a Comment