About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Monday, June 13, 2011

Bercinta Semasa Belajar

Berikut merupakan pemasalahan pelajar yang dihantar ke e-mel saya dan telah saya respons. Sebagai panduan kepada orang ramai saya kemukakan semula di ruang blog ini agar semua mendapat manafaat.

MASALAH MINGGUAN

Bercinta Semasa Belajar

Saya seorang gadis berumur 17 tahun dan baru lepas menduduki SPM. Masalah saya ialah saya sering dimarahi oleh ibu dan bapa tiri saya. Apa sahaja yang saya buat semua salah di mata mereka. Saya tertekan sehingga saya hampir-hampir ingin membunuh diri. Saya selalu dimarahi dan ditengking di khalayak ramai. Emak kandung saya tidak pernah ambil peduli tentang saya. Emak selalu mencari kesalahan saya, walau pun semua itu bukanlah salah saya. Dia adalah ibu kandung saya tapi dia selalu maki saya, dia panggil saya jahanam, babi, anjing, dan macam-macam perkataan kesat lagi. Saya sangat tertekan dengan hidup saya, sebenarnya banyak lagi tetapi tidak mampu untuk bercerita panjang. Tolonglah saya, saya betul-betul tidak sanggup lagi... saya benci dengan kehidupan saya...tolonglah saya... saya juga dilayan seperti hamba di rumah saya, saya benci dengan kehidupan saya.
Remaja malang, Kuala Perlis.

Jawapan:
“Perhubungan anda dengan ibu kandung dan ayah tiri anda tidak begitu baik. Ibu selalu sahaja memaki dan memarahi anda tidak kira tempat dan mereka juga tidak mempedulikan anda. Mereka sering saja mencari kesalahan anda walaupun anda tidak melakukan kesalahan tersebut. Seolah-olah mereka sengaja ingin mencari kelemahan dan kesalahan anda sehinggakan anda merasakan diri anda sebagai hamba di rumah sendiri”. Itulah perasaan yang anda luahkan kepada saya.
Saya simpati dengan masalah yang anda hadapi dan pada masa yang sama saya kagum dengan kecekalan anda untuk berhadapan dengan masalah ini. Saya dapat rasakan bahawa anda sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya juga dapat rasakan bahawa sungguh berat dugaan yang anda tanggung dan pada masa yang sama anda masih dapat bertahan walaupun di dalam keadaan yang sangat sukar.
Mungkin ada beberapa cara yang anda boleh fikirkan untuk menangani isu ini;-
1. Melihat kembali tingkahlaku anda.
Anda menyatakan bahawa anda sering dimaki hamun dan disumpah seranah. Tentang perkara ini anda boleh mencari punca mengapa perkara tersebut berlaku. Contohnya mengapa agaknya ibu bapa anda sanggup memaki anda di hadapan orang ramai. Apakah perkara yang terjadi sebelum peristiwa memaki hamun itu berlaku. Mengapakah agaknya begitu marah sangat mereka sehingga sanggup memaki hamun anda sedemikian rupa? Mungkin ada sesuatu yang berlaku yang membuatkan mereka begitu marah atau hilang mood. Mungkin ia datang dari persekitaran dan mungkin juga ia datang dari perlakuan anda yang tidak anda sedari. Apakah perkara yang menaikkan lagi kemaharahan mereka? Semua ini boleh anda teliti dan analisa untuk melihat punca kemarahan dan bagaimana kemarahan itu boleh menjadi meluap-luap. Maklumat ini penting kerana dengan maklumat ini anda akan mendapat pengetahuan tentang punca kemarahan dan semaraknya api kemarahan tersebut. Apabila anda dapat mengesan punca, mungkin anda dapat mengawal agar punca itu tidak berlaku.
2. Memahami apa yang mereka mahukan.
Pernahkah anda mengetahui dan memahami apakah yang mereka mahukan dari anda? Pernahkah anda berbincang dengan ibu dan bapa anda secara baik tentang apakah yang mereka mahu anda lakukan? Adakah dia meletakkan matlamat tertentu kepada anda? Adakah anda dapat mencapai apa yang dikehendaki oleh mereka? Adakah anda telah melaksanakan apa yang mereka mahukan dari anda? Dapatkah anda memahami mengapa dia memarahi anda? Dapatkah anda mengetahui apakah perkara yang dapat mengembirakan mereka terhadap anda? Adakah anda dapat melakukan perkara yang dapat menggembirakan mereka?
3. Menyesuaikan kemahuan mereka dengan kemampuan dan keinginan anda.
Adakah anda dapat melaksanakan atau melakukan sesuatu yang mereka mahu? Adakah anda mampu melakukan perkara yang mereka ingin anda lakukan? Adakah mereka juga memahami kemampuan dan keinginan anda? Adakah mereka telah jelas apa yang anda harapkan? Dapatkah anda sampaikan kepada ibu bapa apa yang anda inginkan? Bagaimanakah anda menyampaikannya? Bagaimana dengan nada suara anda? Mimik muka anda? Gaya dan bahasa percakapan anda? Semua ini memerlukan kemahiran dan cara berinteraksi yang sesuai untuk menyatakan sesuatu kepada ibu dan bapa. Perlu ada satu titik persefahaman di antara ibubapa dengan anda. Dalam kes ini orang yang berupaya untuk mencari titik persefaham itu adalah diri anda. Titik persefahaman ini penting kerana ia boleh menyampaikan hasrat dan keinginan anda kepada mereka. Keinginan dan kehendak anda perlu difahami oleh mereka.
Selepas anda meneliti dan menganalisa beberapa perkara di atas mungkin anda boleh membuat beberapa perubahan tentang perlakuan diri anda. Memang sukar untuk meminta ibu dan bapa berubah oleh itu sekurang-kurangnya usaha dari anda untuk membetulkan keadaan dilihat lebih praktikal. Anda boleh berusaha, dan cuba melakukan sesuatu perubahan secara perlahan agar perubahan ini akan disedari oleh ibu dan bapa anda. Mengambil jalan singkat seperti ingin membunuh diri atau lari dari rumah untuk menyelesaikan masalah bukanlah tindakan yang baik dan bijak. Selagi anda dikurniakan akal dan fikiran selagi itulah anda ada jalan untuk menangani masalah ini. Saya akan sentiasa bersama anda untuk melihat perkembangan yang positif yang berlaku di dalam perhubungan anda dengan ibu dan bapa tiri anda. Sekian, selamat mencuba dan selamat berjaya.


ARTIKEL MINGGUAN (JANUARI 2011)
Perkembangan Diri: Mewujudkan komunikasi baik antara anak dengan ibu bapa
Kebanyakan masalah yang wujud adalah disebabkan komunikasi yang kurang berkesan. Individu boleh kehilangan kawan rapat, suami boleh kehilangan isteri, bos boleh memecat pekerja, guru boleh menghalau muridnya dan ibu bapa boleh melebel anak sebagai derhaka semata-mata disebabkan komunikasi yang tidak berkesan di antara mereka. Oleh itu, komunikasi berkesan sangat penting untuk dipelajari dan ia perlu diajar kepada anak-anak bermula dari masih kecil lagi. Di bawah ini diberikan beberapa tip bagaimana seorang ibu atau bapa dapat berkomunikasi secara berkesan dan secara tidak langsung dapat menerapkan komunikasi berkesan kepada seorang anak.
1. Ajar anak untuk mendengar. Sentuh badannya, bercakaplah dengannya dengan memanggil namanya. Apabila dia bercakap lihatlah pada wajahnya, pada matanya dan berikanlah mimik (ekspresi) muka yang sesuai kepada setiap patah kata yang dinyatakannya. Contohnya, jika dia bercakap tentang kesedihan tunjukkan juga wajah kesedihan kepadanya dan jika dia bercakap tentang kegembiraan tunjukkan wajah ceria dan gembira kepadanya. Anak akan memahami bahawa ibu dan ayahnya sedang mendengar dengan tekun terhadap patah-patah perkataannya dan ibubapanya memahami perkara yang disampaikannya .
2. Bercakap dengan suara rendah dan lembut. Nada suara yang rendah dan lembut dapat menyalurkan perasaan mesra dan selesa kepada anak-anak. Suara yang tinggi dan keras mengambarkan kekerasaan dan kegerunan. Kanak-kanak suka kepada suara yang lembut dan bisikan ke telinga. Bisikan ke telinga akan menambah kemesraan dan rasa lebih rapat. Anda juga digalakan merendahkan kedudukan anda seperti duduk atau duduk antara dua sujuk agar ketinggian anda sama dengan ketinggian anak anda. Kanak-kanak akan berasa selesa apabila orang yang bercakap sama tinggi dengannya.
3. Bercakap dengan menggunakan ayat dan kata-kata yang betul. Tata bahasa yang betul menunjukkan ketinggian sesuatu budi dan budaya. Anak-anak yang mendengar dan diajar menggunakan bahasa yang betul akan dapat berkomunikasi dengan yakin dan baik. Anak-anak akan menggunakan bahasa yang betul apabila dewasa kelak dia akan berkomunikasi dengan orang lain. Cara dia berkomunikasi dengan orang lain memberi gambaran tentang cara berkomunikasi ibu bapanya.
4. Bercakap dengan yakin dan hormat. Anak akan dapat meningkatkan rasa harga diri yang tinggi apabila ibu bapa dapat menunjukkan rasa hormat dengan menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Anak-anak juga akan belajar menghormati orang lain apabila diri mereka terlebih dahulu dapat merasakan penghormatan dari ibu dan bapa mereka.
5. Berikan pujian dan penghargaan. Perbuatan yang baik dari anak-anak perlu diberikan pujian. Pujian dan penghargaan merupakan keperluan setiap manusia yang sempurna. Mengikut pakar psikologi, untuk mencapai kesempurnaan perasaan seseorang itu perlu melalui proses pujian dan penghargaan dari orang lain. Orang yang tidak menghargai atau memberi pujian kepada orang lain yang berjaya adalah mereka yang sakit dan lara jiwa. Orang yang sentiasa berdendam dan tidak puas hati terhadap kejayaan orang lain adalah terdiri dari mereka yang kacau jiwa. Anak yang biasa dihargai akan mudah memberi penghargaan kepada orang lain.
6. Nyatakan sayang dan tunjukan perasaan itu. “Sayang” hanyalah perkataan tetapi kesannya sangat besar kepada seorang kanak-kanak. Komunikasi yang tidak berkesan disebabkan oleh tidak adanya perasaan kasih dan sayang kepada orang lain. Kanak-kanak perlu mendengar perkataan ini dari ibu bapa dan ibu bapa perlu menunjukkan perasaan tersebut terhadap mereka. Kanak-kanak yang mendapat penuh kasih sayang akan memahami penderitaan yang dialami oleh orang lain. Ramai pelajar yang menderita bukan kerana tidak mendapat makanan tetapi mereka menderita kerana tidak mendapat kasih sayang yang sejati dari ibu dan bapa mereka.

No comments:

Post a Comment