About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Saturday, January 28, 2012

Pelbagai Masalah Yang Menghimpit Jiwa...

Salam,
Saya pelajar berumur 13 tahun  berada dalam tkt 2. Saya mempunyai banyak masalah. Masalah saya adalah seperti berikut;


1)      Saya rasa takut untuk jawab sesuatu soalan kerana bimbang diketawakan.
2)      Saya akan berfikir dulu sebelum menjawab dan ini menyebabkan pelajar lain menjawab dahulu dan ini menutup peluang saya dan secara tidak langsung saya menjadi seorang penakut dan ragu-ragu.
3)      Saya sering mendapat tempat pertama dalam kelas dan tingkatan, masalah saya ialah dalam situasi ini saya rasa saya mempunyai ramai musuh kerana umur saya yang tidak cukup menandingi mereka.
4)      Saya tidak tahu sama ada saya kedekut ilmu atau tidak kerana saya takut untuk memberi sesuatu jawapan yang tidak pasti kerana jika salah mereka semua  marah dan terus-terusan menyindir saya.
5)      Saya sensitif dengan markah periksa, ujian kali ini subjek BM dan BI saya dapat B dan saya cepat menangis jika ada orang yang bertanyakan markah saya yang lemah.
6)      Saya sering mendiamkan diri apabila markah saya menurun kerana malu.
7)      Saya rasa kawan saya tidak ikhlas berkawan dengan saya, mereka cuma inginkan ilmu saya, bila mereka berjaya mereka akan memperendahkan saya.
8)      Saya berasa seperti pelik apabila markah saya jatuh, sebab itu saya takut apabila markah saya rendah.
9)      Saya mudah tersinggung jika kawan saya menyatakan" kita tidak mahu bagi awak menang lagi, bagi peluang pada orang lain pulaklah…"
            Saya rasa setakat ini dulu harap dapat membantu......
                                                                                                            Thaqifah, Kuala Lumpur





Jawapan

Minggu ini saya mendapat pernyataan masalah yang agak panjang dari seorang pelajar.  Saya akan menjawab secara ringkas berdasaarkan setiap pemasalahan.  Jawapan adalah seperti berikut;
i.                    Anda takut menjawab kerana takut diketawakan. Apa yang anda takutkan jika orang mentertawakan anda? Tidakkah anda merasakan bahawa usaha anda untuk menjawab adalah lebih baik dan berani dari mereka yang tidak menjawab dan mentertawakan orang lain. Apakah ruginya jika anda ditertawakan.  Apakah untungnya jika anda tidak terlibat memberikan jawapan di dalam kelas. 
ii.                  Berfikir dahulu sebelum menjawab adalah cara yang betul semasa menjawab soalan.  Mungkin kecekapan pelajar di dalam kelas tidak sama.  Anda memerlukan masa untuk berfikir.  Jika anda tidak berpeluang untuk menjawab sekurang-kurangnya anda boleh menyemak jawapan yang diberikan oleh rakan anda.  Pada masa yang sama anda boleh berlatih untuk menjawab soalan dengan cepat dan betul. 
iii.                Apakah musuh yang anda maksudkan. Melalui pernyataan masalah yang anda kemukakan saya lebih melihat mereka sebagai saingan anda walaupun usia anda lebih muda tidak semestinya anda tidak boleh menyaingi mereka.  Kedudukan nombor satu di dalam kelas telah membuktikan anda mampu dan hebat.   
iv.                 Jawapan betul atau salah ditentukan oleh fakta yang sebenarnya bukan ditentukan oleh anda.  Untuk mendapat jawapan yang betul anda perlu mahir dan dapat menguasai sesuatu topik itu.   Anda tidak perlu takut jika jawapan anda salah atau tidak.  Jika jawapan salah pasti guru akan membetulkan jawapan tersebut.  Mereka yang marah dan suka menyindir anda lebih teruk dari anda yang menjawab tetapi salah.
v.                   Jika anda telah berusaha sedaya upaya, bukan salah anda lagi jika keputusan masih lemah. Lihat strategi anda belajar, lihat kelemahan anda semasa belajar, lihat jadual belajar anda. Sudahkah anda berbincang dengan guru, sudahkah anda membuat ulangkaji secukupnya.  Banyak perkara yang perlu anda lihat dan perbetulkan kelemahan yang berlaku.  Menangis adalah ekspresi kesedihan anda.  Bersedih tanpa bangun untuk membetulkan kesalahan merupakan tangisan yang sia-sia. Anda perlu bangkit dan lalui segala cabaran dan dugaan dengan tabah dan sabar. Lipat gandakan usaha agar markah yang diingini dapat diperoleh. 
vi.                 Malu untuk apa? Markah rendah menunjukkan usaha anda kurang mantap.  Fokus kepada kelemahan anda dan fikirkan bagaimana untuk meningkatkannya.  Jadikan perasaan malu anda itu untuk menebus kembali kelemahan yang ada di dalam diri anda.
vii.               Ikhlas ataupun tidak bukan anda yang dapat menentukan.  Mereka akan bertanggungjawab terhadap keikhlasan mereka dihadapan Allah nanti. Ilmu jika anda berikan kepada orang lain, anda akan mendapat pahala dan ilmu anda juga akan bertambah.  Sikap merendahkan orang lain bukanlah sifat yang terpuji, sebagai rakan anda boleh bertanyakan hal tersebut kepada mereka.  
viii.             Kebanyakkan pelajar berperasaan sedemikian, tetapi hakikatnya tidak semua pelajar dapat markah yang mereka harapkan.  Orang yang berani ialah orang yang gagal tetapi dapat bangun semula dari kegagalan itu.  Anda tidak gagal tetapi hanya markah rendah, untuk bangun semula tidaklah sesukar orang yang gagal.  
ix.                 Kata-kata tersebut merupakan kata-kata yang ingin melemahkan semangat anda.  Jika anda menerima kata-kata tersebut maka anda akan kalah.  Jika anda melihat kata-kata tersebut sebagai cabaran untuk anda mengekalkan dan meningkatkan prestasi maka anda akan tetap menang.  Siapakah orang yang lebih layak untuk memperoleh kemenangan selain dari diri anda sendiri yang tetap berusaha dan berusaha sehingga jaya.
Akhirkata, saya hargai kesemua pernyataan masalah yang anda kemukakan.  Anda adalah seorang yang berani untuk membetul dan memperbaiki keadaan.  Anda kena berfikiran positif dan bersikap berlapang dada.  Saya yakin bahawa anda akan menang dan akan menjadi pelajar yakin diri dan cemerlang, insyallah.  Selamat maju jaya.



Artikel Minggu Ini
Pengembangan Diri: Strategi mengingat
Ingatan merupakan modal terpenting bagi seseorang pelajar.  Adakah anda cemburu kepada rakan anda yang sering dapat mengingat apa yang mereka baca. Adakah anda memikirkan mengapa anda sukar mengingat fakta atau formula yang mudah.  Mungkin anda tidak tahu cara bagaimana untuk menyimpan ingatan dengan lebih lama.  Artikel minggu ini adalah berkaitan dengan tip strategi mengingat.

1.      Pengurusan Grafik
Pengurusan grafik merupakan pengurusan lakaran visual yang membolehkan maklumat diingat dengan mudah dan  lebih lama.  Terdapat beberapa jenis pengurusan grafik;
i.                    Carta: Anda boleh menggunakan pelbagai jenis carta untuk menyusun maklumat seperti carta kotak (susunan peristiwa), carta Venn (banding beza), peta konsep (perkaitan idea), carta alir (turutan peristiwa) dan garisan masa (turutan tarikh dan masa bersejarah).
ii.                  Jadual: Jadual yang terdiri dari susunan lajur dan kolum. Berguna untuk mencatat kronologi, peristiwa, fakta geografi, fakta sains dan seumpamannya.
iii.                Catatan Fakta: Nota berupa fakta utama dan fakta sokongan serta huraian ringkas tentang topik.  Dibuat dalam ayat sendiri yang mudah difahami secara ringkas dan padat.

2.      Lakaran Melalui Ilustrasi 
Tidak mudah untuk anda mengingat keseluruhan isi kandungan muka surat berdasarkan tulisan semata-mata.  Selepas anda membaca keseluruhan halaman, anda telah mendapat gambaran tentang perkara yang anda baca. Anda boleh mengambarkannya di dalam bentuk ilustrasi atau lakaran gambar agar mudah untuk anda mengingat.


3.      Teknik Mengingat
i.                    Nimonik: Mencipta perkataan atau huruf untuk anda mengingat senarai atau beberapa perkara seperti tempat, fakta atau sesuatu kejadian.  Contoh untuk mengingat tahap-tahap kehidupan serangga – Egg, Larva, Pupa dan Adult (Every Lady Picked Apples).
ii.                  Ulangan lisan dan tulisan: Mengulangi kata-kata atau maklumat dengan tulisan atau secara lisan akan menguatkan lagi ingatan terhadap perkara tersebut. Pelakon skrip drama biasanya menggunanakan kaedah ini untuk mereka menginggat.  Mereka menghafal sehingga berpuluh-puluh kali untuk menghafal sesuatu skrip dan kaedah ini berjaya. Anda juga boleh merekod melalui rakaman dan ulangi mendengar.
iii.                Kad Imbasan.  Jika anda ingin mengingat tentang sesuatu definisi atau konsep anda boleh menulisnya ke dalam kad-kad kecil.  Halaman depan kad dituliskan definisi atau konsep tersebut manakala di belakang kad huraiannya.
iv.                Bantuan Rakan.  Ajak rakan atau ahli keluarga anda untuk membantu anda mengingat.  Lakukan aktiviti kuiz, lakonan, membacakan semula, menyemak fakta dan seumpamannya.

No comments:

Post a Comment