About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Saturday, January 28, 2012

Hidup Tersiksa Di Asrama

Hidup Tersiksa Di asrama…

Saya menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri saya dengan kehidupan di asrama. Sebelum ini saya bersekolah di sebuah kampung yang terpencil. Mungkin dengan berkat doa ibu dan bapa serta usaha saya yang gigih
saya telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR saya. Saya telah ditawarkan tempat di sebuah sekolah berasrama penuh. Hati saya gembira dan ibu bapa juga gembira. Hari pertama saya masuk ke kawasan sekolah berasrama, saya cukup bangga dan gembira. Tetapi kegembiraan itu tidak bertahan lama kerana selepas ibu bapa saya meninggalkan saya di sekolah ini barulah saya dapat merasakan kehidupan sebenar saya di sini. Oleh kerana kumpulan saya merupakan kumpulan yang paling muda, saban hari saya dibuli oleh abang-abang senior untuk melakukan berbagai kerja termasuklah membasuh baju, kasut, mengemas katil, membelikan makanan dan sebagainya untuk mereka. Makin hari minat saya semakin pudar untuk berada di asrama. Pelajaran saya juga telah semakin merosot akhir-akhir ini. Abang-abang senior menggunakan bahasa yang kesat dan bertindak kasar jika keinginan mereka tidak saya penuhi. Perkara itu berlarutan sehinggalah kini. Saya risau tahun hadapan adalah tahun penting bagi saya kerana saya akan menduduki peperiksaan PMR. Saya tidak fikir saya boleh belajar dalam keadaan seperti ini. Harap kaunselor dapat membantu saya. Sekian terima kasih.
Nasuha Yusof, Penghuni Asrama Teraniaya.

JAWAPAN

Tahniah, anda telah berjaya dan telah terpilih untuk bersekolah di sekolah berasrama penuh. Tidak semua pelajar yang dapat belajar di sana. Walaupun anda amat gembira pada peringkat awal namun kini nampaknya minat anda telah luntur dan pelajaran anda juga telah semakin merosot. Antara perkara yang anda nyatakan sebagai penyebab minat anda mula luntur dan pelajaran anda semakin merosot ialah layanan dan perlakuan abang-abang senior terhadap anda dan kumpulan anda. Anda terpaksa menerima arahan dan suruhan mereka yang tidak munasabah dan juga dikasari dengan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari seorang pelajar yang dianggap sebagai abang. Dalam hal ini ada 2 perkara utama yang boleh anda pertimbang dan fikirkan. Pertama, abang senior perlu diberitahu tentang ketidakselesaan anda tentang layanan mereka terhadap anda. Anda berhak untuk menyatakan kepada mereka tentang rasa tidak selesa anda kepada arahan-arahan mereka. Anda juga berhak untuk menolak terhadap permintaan mereka yang tidak berasas. Persoalannya sekarang ialah sanggupkah anda berhadapan dan memberitahu mereka tentang ketidakselesaan anda ini? Anda perlu memikirkan cara dan strategi bagaimana anda dapat luahkan rasa ketidakpuasan hati anda kepada mereka agar mereka tidak bertindak agresif terhadap anda dan rakan-rakan anda yang lain.
Kedua, menjadi hak anda juga untuk memberitahu kepada pentadbir tentang perkara yang berlaku di dalam asrama anda sekarang. Asrama sudah tentu mempunyai peraturan bertulis yang perlu diikuti oleh semua pelajar yang menghuni asrama. Lihat dan teliti peraturan ini. Kemudian buat catatan apakah perlakuan dan tindakan liar yang dilakukan oleh abang senior. Dapatkan bukti-bukti nyata sama ada secara bukti fizikal mahupun saksi-saksi dari kalangan rakan pelajar sendiri. Selepas anda mengumpul data, bukti dan saksi, buat satu pertemuan dengan guru penolong kanan, guru disiplin, warden untuk membincangkan dan menangani masalah tersebut. Pada peringkat yang lebih atas mungkin pengetua juga boleh diberitahu tentang perkara ini. Saya fikir pihak sekolah akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap masalah yang berlaku di asrama sekolah anda.

Artikel Selasa:

Pengembangan Diri: Bagaimana Mengelak Dari Dibuli.

Pembuli berada di mana-mana tidak kira di sekolah, di pejabat, di rumah, di taman perumahan atau di jalan-jalan raya. Mereka bukan hanya boleh mencederakan fizikal malah boleh memberi kesan yang negatif kepada mental dan emosi seseorang. Biasanya pembuli akan mencari mangsa mereka yang lemah dan mereka yang tidak berdaya untuk melawan. Mereka menjadi pembuli kerana ingin menunjukkan kuasa dan kekuatan. Artikel pada minggu ini mempaparkan tips bagaimana anda boleh mengelak dari menjadi mangsa buli.

1. Jangan Layan
Pembuli membuli apabila mereka merasa diri mereka terancam atau mereka merasakan bahawa anda boleh menjadi penyebab bagi mereka mencari hal dengan anda. Jika anda bertemu dengan mereka, berlalulah dari situ dan jangan ambil hirau tentang sindiran, kata-kata dan ejekan mereka. Anggap kata-kata provokasi atau ejekan mereka sebagai kata-kata yang tidak bermakna.

2. Yakin Pada Diri
Pembuli tidak akan menganggu kepada mereka yang tegas dan yakin kepada diri sendiri. Anda perlu lebih yakin kepada kekuatan yang ada pada diri anda. Anda perlu berani menyuarakan pandangan dan pendapat, anda perlu dikenali sebagai seorang yang aktif dan cergas. Pembuli tidak akan mahu membuang masa untuk menganggu anda. Pembuli akan berani kepada orang yang takut dan kepada mereka yang tidak yakin kepada diri sendiri.

3. Bawa Bertenang
Pembuli memang sengaja ingin melihat anda marah atau memberi maklum balas terhadap provokasinya. Jika anda dapat bertenang, tidak menunjukkan sikap menentang, tidak menunjukkan ekspresi muka marah mereka akan beredar dan berhenti dari meneruskan aktiviti membuli mereka. Elakkan memberi tumpuan terhadap perlakuan mereka dengan memberi fokus kepada perkara-perkara lain.

4. Dapatkan bantuan
Mereka yang dibuli biasanya mempunyai personaliti yang “baik”, pendiam dan selalu menyimpan rahsia. Jika anda merasa bahawa anda telah dibuli anda boleh menceritakan perkara tersebut dengan orang lain. Anda boleh mengadu kepada kawan-kawan rapat, ahli keluarga, guru, kaunselor dan guru besar sekolah. Sekurang-kurangnya tindakan ini memberi sokongan dan dorongan bagi anda untuk berhadapan dengan pembuli secara bukan berseorangan.

5. Elakkan diri dari bertembung
Pembuli biasanya mencari ruang dan peluang untuk bertindak. Mereka akan memerhati siapakah individu yang mereka boleh jadikan sebagai mangsa. Mereka juga akan memerhatikan tempat dan masa yang sesuai untuk bertindak. Oleh itu anda perlu mengelak dari melalui tempat yang dilalui oleh mereka, dan anda perlu tidak berada di tempat mereka berkumpul. Jika anda terpaksa melalui tempat itu maka elakkan dari melalui berseorangan.

No comments:

Post a Comment