About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Sunday, December 18, 2011

Seram, selepas menonton filem seram


Saya pelajar tingkatan 2 bersekolah di pedalaman. Baru-baru ini saya menonton cerita seram di televisyen. Selepas menonton filem tersebut saya terasa amat takut apabila berseorangan. Saya tidak berani belajar sehingga lewat malam. Saya juga seram untuk ke bilik air seorang diri. Saya takut tinggal seorang diri walaupun di dalam bilik sendiri. Bagaimanakah cara saya dapat membuang perasaan takut tersebut. Harap tuan dapat tolong saya. Terima kasih.

Abu Hanifah, Miri.


Jawapan:

Anda menonton filem seram lalu anda terbawa-bawa dengan perasaan takut dalam kehidupan seharian anda. Kini anda takut untuk belajar sehingga lewat malam. Anda juga takut tinggal seorang diri sehinggakan hendak ke bilik air pun anda takut.
Ada dua aspek yang perlu anda teliti tentang situasi yang berlaku di dalam diri anda sekarang ini.
Pertama, aspek kepercayaan anda. Pada asalnya anda tidak takut tetapi selepas anda menonton cerita seram, membuatkan anda percaya kepada cerita tersebut lalu situasi di dalam cerita itu telah menguasai pemikiran anda. Dalam lain perkataan anda telah percaya kepada cerita tersebut lalu kepercayaan itu telah mempengaruhi perasaan anda. Kedua, aspek kelemahan yang menjiwai minda. Anda telah terpengaruh dengan ‘keseraman’ filem yang anda tonton. Anda terpengaruh kerana secara tidak sedar anda telah memberi ruang kepada perasaan anda untuk dipengaruhi oleh aktiviti minda yang tidak rasional. Rasa takut kepada sesuatu yang anda lihat di dalam filem dan mengaitkannya dengan kehidupan anda sehari-hari merupakan perasaan, fikiran dan tindakan yang tidak rasional. Hasilnya ialah lebih lama anda membiarkan ketakutan itu menguasai diri lebih lama anda akan memendam segala potensi yang ada di dalam diri anda. Ada beberapa cara mungkin anda boleh fikirkan iaitu;

i. Dapatkan seseorang untuk menemani anda semasa anda berseorangan. Contohnya jika anda ingin mentelaah buku anda perlu ditemani oleh seseorang dari kalangan keluarga anda sehinggalah perasaan takut itu semakin lama semakin berkurangan,
ii. Bincangkan dengan ibu bapa anda tentang masalah ketakutan yang anda hadapi agar mereka memahami perasaan anda dan dapat membantu meringankan perasaan takut anda itu,
iii. Wujudkan suasana ceria, terang dan aktif di rumah. Contohnya membiarkan radio terpasang, menonton televisyen, berbual dan berbincang dengan ahli keluarga. Anda tidak perlu berada di dalam gelap sehinggalah perasaan anda kembali normal,
iv. Tingkatkan kekuatan di dalam diri anda sendiri bahawa ketakutan anda sekarang adalah berpunca dari kepercayaan anda yang tidak berasas. Cerita seram yang anda tonton hanyalah semata-mata cerita rekaan. Dalam filem tersebut anda ditakutkan dengan wajah yang menggerikan dengan sistem bunyi yang memeranjatkan. Perkara-perkara tersebut telah diada-adakan sehingga ia menusuk ke dalam jiwa anda sehinggakan anda terbawa-bawa di dalam kehidupan anda. Jika anda kuatkan semangat, berfikiran secara rasional dan tidak memikirkan sangat tentang filem yang anda tonton insyallah, semangat anda akan kembali pulih dan anda akan berani semula seperti sediakala.


Artikel Minggu Ini

Pengembangan Diri:
Lemah Semangat Disebabkan Oleh Pengalaman Yang Menakutkan
Semua orang pernah mengalami pengalaman yang mengeri atau menakutkan. Kadang-kadang pengalaman tersebut terbawa-bawa di dalam kehidupan seseorang. Contohnya seorang yang pada mulanya berani tiba-tiba menjadi takut dengan kegelapan malam apabila dia mengalami sesuatu peristiwa yang menakutkan pada waktu malam. Perasaan lemah semangat ini boleh memberikan kesan negatif di dalam kehidupan seseorang itu. Ramai pelajar yang mengadu menghadapi sindrom takut ini. Ada pelajar yang telah berumur 15 tahun tetapi masih lagi tidur dengan adik, abang atau kakak. Ada juga pelajar yang tidak boleh melelapkan mata apabila semua lampu dipadamkan. Artikel kali ini memberikan tips bagaimana anda dapat menghilangkan perasaan takut anda yang tidak rasional itu.

1. Lihat kekuatan diri anda.
Setiap diri punyai kekuatan sendiri. Cari kekuatan tersebut dan gunakan kekuatan itu sepenuhnya. Orang yang penakut adalah orang yang tidak percaya dan tidak nampak kepada kekuatan dan kelebihan yang ada di dalam dirinya.

2. Beri masa agar perasaan takut itu hilang.
Masa merupakan senjata yang paling baik untuk melunturkan rasa takut. Lama kelamaan perasaan takut itu akan hilang dengan sendirinya jika anda memberikan ruang masa kepada perasaan tersebut. Setiap hari anda berhadapan dengan pengalaman baru, pengalaman baru yang manis ini akan dapat mengikis perasaan takut anda itu sedikit demi sedikit.

3. Berbual dapat mengurangkan ketakutan.
Cari orang lain untuk berbual. Cari rakan, saudara, adik beradik, guru atau sesiapa sahaja yang anda paling selesa untuk anda bertukar pendapat. Pada zaman ini pelbagai cara boleh digunakan termasuklah sms, chat, facebook dan seumpamannya.

4. Fikirkan sesuatu dengan cara rasional.
Setiap perkara yang berlaku berpunca dari sebab dan akibat. Jika anda aturkan pemikiran anda secara logik maka akan timbul kesedaran tentang potensi diri anda yang dianugerahkan Allah kepada anda.

5. Hormati tanggugjawab anda.
Jika anda takut kepada sesuatu yang tidak berasas bermakna anda tidak dapat menunjukkan potensi yang sebenarnya di dalam diri anda. Dikhuatiri anda tidak dapat berperanan dan berfungsi sebagai pelajar yang baik untuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

6. Fikiran yang betul akan menghasilkan tindakan yang betul.
Perlakuan anda adalah manifestasi dari fikiran anda. Jika anda tidak dapat bertindak secara rasional maka orang lain akan melihat anda sebagai seorang yang tidak dapat menggunakan akal dengan waras dan ini akan memberi kesan yang negatif terhadap konsep kendiri anda.

7. Meningkatkan rasa kerohanian anda.
Apakah yang dapat merapatkan diri anda dengan Allah. Mungkin anda suka membaca Al_Quran, berzikir, berdoa dan seumpamanya. Menjauhkan dosa dan meningkatkan ibadah kepada Allah merupakan senjata yang paling kuat untuk melawan lemah semangat dan perasaan takut kepada makhluk lain.

8. Hargai hidup yang dianugerahkan kepada anda.
Kehidupan anda merupakan anugerah yang tidak terhingga dari Allah. Jika dapat menjalankan kehidupan ini dengan menggunakan potensi diri yang maksima maka anda akan dapat menikmati kepuasan di dalam kehidupan dan anda akan berasa ceria, gembira dan bertenaga.

Salam Hormat Dari,
Dr Ramlan Hamzah

No comments:

Post a Comment