About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Wednesday, December 14, 2011

Hilang Sudah Kasih Sayang...

Saya berumur 14 tahun sedang belajar di tingkatan 2. Masalah saya ialah ibu dan bapa saya baru sahaja bercerai. Saya tidak tahu puncanya tetapi mereka sering bertengkar. Saya kini tinggal dengan ibu saya. Namun saya masih teringat  dan rindukan ayah saya. Ayah saya seorang penyayang dan sering mendorong dan memberi motivasi kepada saya. Tetapi kini semua itu telah tiada. Saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Harap saya dapat dibantu.

Era Amira, Sabah.

JAWAPAN
Penceraian yang berlaku di antara ibu dan ayah sudah ditakdirkan. Mungkin sebelum ini mereka telah cuba untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi tidak berjaya.
Mungkin jalan yang terbaik ialah berpisah. Apabila ini berlaku anda sebagai anak terasa tersepit dan berada di dalam keadaan serba salah. Anda sayangkan ibu anda dan pada masa yang sama sudah tentu anda juga sayangkan ayah anda. Pada dasarnya hubungan anda dengan ayah tidak berubah, yang berubah hanyalah perhubungan ibu dan ayah anda sahaja.


Oleh kerana anda kini tinggal bersama ibu maka rasa rindu terhadap ayah akan terasa. Anda akan sentiasa mengingati kenangan manis bersama ayah. Perkara yang penting sekarang ialah walaupun mereka tidak lagi hidup bersama tetapi mereka masih lagi ayah dan ibu anda. Perhubungan dan kasih sayang mereka terhadap anda tidak terjejas. Anda boleh sahaja bertemu dan berbincang dengan ayah anda tentang pelbagai perkara seperti dulu. Apabila ayah tidak tinggal bersama anda, tidak semestinya anda tidak boleh menemuinya dan bertanyakan khabarnya. Apabila ayah tidak bersama anda tidak semestinya dia tidak menyayangi anda. Berkaitan dengan pelajaran anda, walaupun aktiviti hidup anda di rumah telah berubah sekarang, pelajaran mesti diteruskan. Mereka masih ingin melihat kejayaan anda di dalam pelajaran walaupun mereka tidak lagi hidup bersama. Anda juga mungkin mempunyai matlamat pendidikan dan kerjaya tertentu. Jadikan perkara pahit yang berlaku di dalam hidup anda sebagai ubat yang boleh meningkatkan semangat anda untuk berjaya. Peristiwa pahit akan tetap berlaku tetapi orang yang kuat dan cekal ialah apabila dia tetap tabah menghadapi segala rintangan dan cabaran sekali gus berjaya keluar dari kemelut masalah tersebut. Kemajuan anda di dalam pelajaran adalah tiket bagi anda untuk mendapat laluan kerjaya yang anda cita-citakan. Anda boleh bermula dengan memberi tumpuan kepada aktiviti dan strategi belajar yang berkesan. Semoga anda tabah dan terus dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.

Artikel:

Pengembangan Diri: Bagaimana anda dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran ibu bapa yang berpisah
Tiada siapa yang suka kepada penceraian. Apabila berlaku penceraian banyak pihak yang akan merasakan tempias kesengsaraannya. Suami (ayah), isteri (Ibu), dan anak-anak merupakan individu yang akan secara langsung merasai deritanya apabila berlakunya sesuatu penceraian itu. Bagi suami dan isteri kemungkinan mereka telah bersedia dari segi emosi sejak dari mula proses penceraian itu akan berlaku. Tetapi bagi pelajar (anak-anak) penceraian dan perpisahan antara ibu dan ayah merupakan saat paling membimbang dan membingungkan. Mereka akan merasakan kehilangan tempat bergantung dan bermanja. Mereka akan kehilangan konsep “ibu dan ayah duduk sebumbung”. Artikel kali ini akan memberikan beberapa panduan bagaimana anda sebagai pelajar dapat melalui dan menangani isu ini.

1. Perpisahan mereka bukan kerana anda.
Mereka berpisah adalah kerana pilihan mereka sendiri. Sebagai anak dan pelajar anda tidak seharusnya keliru terhadap keputusan atau tindakan ibu dan bapa anda yang ingin berpisah. Mungkin anda rasa sangat kecewa tetapi kekecewaan itu seharusnya tidak boleh menganggu proses kehidupan anda seharian. Mungkin perpisahan itu baik bagi mereka walaupun pahit untuk anda telan.

2. Anda tidak perlu terlibat memburukkan antara satu sama lain.
Ibu bapa yang berpisah biasanya akan menceritakan keburukan pasangan masing-masing kepada anak-anak. Ada juga ibu bapa yang rasional tidak berbuat begitu demi menjaga perasaan anak-anaknya. Jika perkara ini berlaku, sebagai anak, anda perlu rasional untuk menerima keadaan ini. Pada hakikatnya mereka tetap ibu dan bapa anda. Buruk manapun mereka bercerita tentang pasangan masing-masing mereka tetap bertanggungjawa terhadap anda dan mereka tetap ibu dan bapa anda.

3. Membina Hubungan Dengan Kedua-dua Keluarga.
Anda perlu menjaga hubungan seperti biasa dengan kedua-dua keluarga. Anda boleh menelefon, berkunjung, menghantar kad dan seumpanya kepada kedua-dua keluarga ibu dan bapa anda. Hubungan anda tidak putus begitu juga sepatutnya dengan bapa atau ibu anda terhadap keluarga kedua belah pihak.

4. Kehidupan anda seperti biasa.
Walaupun banyak perkara akan berubah apabila ibu dan bapa tidak bersama lagi tetapi anda perlu tetap teruskan kehidupan seperti biasa. Anda perlu ke sekolah, membuat kerja rumah dan kerja latihan sekolah. Anda masih berfungsi di dalam keluarga dan di dalam masyarakat.

5. Mengekalkan hubungan dengan saudara mara.
Pada hakikatnya memang terdapat perubahan dari aspek bertandang, bertamu dan bergaul dengan saudara mara. Kalau dulu anda dengan sepupu anda sangat rapat kini mungkin perhubungan itu akan terbantut buat seketika. Namun anda boleh meneruskan perhubungan tersebut dengan mereka kerana hubungan anda dengan sepupu di sebelah emak atau ayah tetap sama. Anda berhak untuk berhubung dan bercampur dengan mereka.

6. Berbincang dengan kaunselor anda.
Di sekolah terdapat kaunselor atau guru bimbingan. Anda boleh mendapatkan khidmat bimbingan dari mereka untuk meleraikan perasaan anda yang tertekan. Kongsikan masalah anda dengan mereka agar mereka dapat membantu anda. Matlamat akhirnya ialah agar anda dapat menerima perpisahan ibu dan bapa anda dengan redha dan pada masa yang sama anda masih dapat berfungsi dengan baik sebagai seorang individu yang sihat mental, jasmani, rohani dan emosi.

No comments:

Post a Comment