About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Friday, May 17, 2013

Bosan Dengan Guru Garang dan Suka Berleter




Saya belajar di tingkatan 4 sekolah menengah di Perak.   Saya agak kecewa dengan guru biologi dan guru Matematik Tambahan.  Cara mereka mengajar membuatkan saya bosan.  Cikgu biologi saya asyik berleter tentang pelajar di dalam kelas.  Sebelum mengajar biasanya dia akan berleter panjang.  Banyak masa dibuang dengan berleter sahaja.  Kadang-kadang kami tidak melakukan apa-apa kesalahanpun tetapi cikgu asyik sahaja cuba mencari masalah kami.   Cikgu matematik tambahan pula sangat garang di dalam kelas.  Kami sekelas terpaksa memendam perasaan sahaja.  Saya rungsing dan takut sekiranya kefahaman terhadap mata pelajaran ini akan bertambah lemah.  Saya khuatir keputusan peperiksaan SPM saya akan terjejas.
                                                                                                                               Rosalinda, Ipoh Perak.


Saya simpati terhadap masalah yang anda hadapi.  Lebih-lebih lagi tahun hadapan anda akan berhadapan dengan peperiksaan yang besar.  Mujurlah anda tersedar dan dapat mengesan hal ini dari awal moga-moga dalam ruangan ini dapat kita sama-sama berkongsi untuk membetulkan keadaan dari menjadi semakin lebih parah. 

Memang tidak sepatutnya guru bertindak tidak profesional di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Guru telah dibekalkan dengan pelbagai ilmu kaedah mengajar dan guru juga telah maklum tentang psikologi pelajar baik dari sekolah rendah mahupun menengah.  Namun tidak semua guru tidak profesional di dalam menjalankan tugas-tugasnya sebagai pendidik, hanya segelintir yang kurang bermotivasi untuk mendidik secara jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.  Malangnya anda adalah pelajar yang dipertemukan dengan guru yang sebegini.   Ada dua perkara yang penting di sini.  Pertama, anda sebagai pelajar seharusnya mempunyai matlamat tertentu untuk dicapai.   Sudah tentu anda mempunyai sasaran dan cara bagaimana untuk mendapatkan sasaran tersebut.  Pengajaran guru di dalam kelas merupakan salah satu cara bagaimana anda harus mendapatkan sasaran yang anda inginkan.  Namun, terdapat banyak lagi cara lain yang boleh anda beri fokus seperti membuat ulangkaji, mentelaah pelajaran secara berkala dan berulang,  mengadakan kumpulan perbincangan,  mendapatkan sokongan dari guru-guru lain yang komited dan yang mempunyai pelbagai kepakaran, dan seumpamannya.  Memang benar guru yang mengajar anda sepatutnya mengajar dengan betul dan anda seharusnya mendapat manafaat darinya, tetapi  jika ini tidak terjadi anda kena memikirkan alternatif lain untuk mendapatkan bahan belajar.  Jika anda terlalu memberi tumpuan kepada kelemahan guru tersebut, maka anda akan kerugian masa untuk memikirkan hal-hal yang seperti itu.  Adalah lebih baik jika anda proaktif  dan teruskan usaha mencari jalan bagaimana anda dapat meningkatkan kefahaman terhadap mata pelajaran biologi dan matematik tambahan.  Untuk membetulkan sikap guru yang seperti ini bukan kerja yang mudah.  Ia memerlukan guru itu sendiri yang sedar terhadap kelemahan dan kesilapan dirinya.  Tidak salah jika anda dan rakan-rakan berdoa agar guru itu sedar dari kesilapannya dan membetulkan keadaan tersebut.   Pada masa yang sama anda harus berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan bahawa anda membuat ulangkaji dan berbincang dengan rakan agar pelajaran anda tidak ketinggalan jauh.  Semoga anda dapat menguatkan azam dan semangat untuk mendapatkan ilmu dengan pelbagai cara.  

No comments:

Post a Comment