Tahun ini saya
akan memulakan musim persekolahan di sekolah baharu kerana ayah saya telah
berpindah tempat kerja. Saya mula rasa
takut dan rasa tidak selesa untuk berada di sekolah baharu, lebih-lebih lagi
sekolah baharu saya ini berada di kawasan luar bandar. Kawan-kawan saya ramai di sekolah lama saya
(di bandar), ini bermakna saya akan kehilangan mereka dan saya juga terpaksa
berhadapan dengan suasana baharu dan rakan-rakan baharu. Persoalannya sekarang bagaimana saya dapat
menyesuaikan diri dalam persekitaran dan suasana yang baharu ini. Saya juga khuatir tentang akademik saya
kerana saya dapati tempat kediaman saya yang baharu ini tidak ada kelas tusyen
untuk membantu saya di dalam persediaan untuk peperiksaan SPM pada tahun
ini. Apakah kebaikan jika saya berpindah
ke tempat yang baharu? Saya harap pihak tuan dapat memberikan panduan dan
nasihat berkaitan perkara ini.
Syarifah
Syakirah Syed Yahya, Perak.
Jawapan:
Terdapat 3
perkara yang menjadi pokok kerisauan anda.
Pertama anda berasa risau dan tidak selesa untuk berada di persekitaran
sekolah baharu yang berada di kawsan luar bandar. Kedua, anda tidak berasa selesa kerana akan
kehilangan kawan-kawan lama dan rasa kurang selesa untuk memulakan perhubungan
dengan kawan-kawan baharu. Ketiga, anda
tidak selesa untuk bersedia dan berhadapan dengan peperiksaan SPM pada tahun
ini memandangkan tiada tempat tuisyen untuk membantu anda di dalam
pelajaran.
Berpindah ke tempat baharu
memang mengundang perasaan risau dan
keliru. Risau kerana anda tidak dapat
menjangka apa yang akan berlaku di tempat baharu dan anda juga tidak pasti
tempat dan suasana yang akan anda hadapi.
Apakah pilihan yang anda ada, kecuali anda kena lalui dan tempuhi di
tempat yang baharu itu. Masa dan keadaan
sahaja yang akan membiasakan anda di tempat tersebut. Mungkin ada perbezaan di antara suasana dan
iklim sekolah di bandar dan sekolah yang berada di luar bandar. Tetapi dari aspek pendidikan dan pengalaman
serta ilmu guru, ia tetap sama. Kelayakan guru adalah sama untuk semua
sekolah sama ada di bandar atau di luar bandar.
Perkara yang penting di sini ialah bagaimana anda dapat menyesuaikan diri
dengan suasana dan dapat mewujudkan perhubungan dengan rakan baharu di sekolah
baharu anda. Dari aspek perhubungan
dengan rakan lama anda, pada hakikatnya perhubungan itu tidak putus dan anda
tidak kehilangan mereka. Pada zaman
teknologi berinternet ini berbagai kaedah dan cara boleh anda gunakan untuk
anda berhubung dengan kawan-kawan lama anda.
Sebaliknya, anda sebenarnya bukan kehilangan rakan malah anda boleh
menambah rakan di sekolah yang baharu nanti.
Cuma anda berjauhan dari kawan-kawan lama anda dan juga harus bersedia
untuk menerima dan membina perhubungan yang baharu dengan rakan-rakan baharu
anda di sekolah yang baharu.
Dari aspek akademik pula, seperti yang saya sentuh pada peringkat
awal tadi bahawa guru yang mengajar anda adalah guru-guru yang berpengalaman di
dalam bidang masing-masing. Berkaitan
dengan kelas tambahan atau kelas tuisyen yang anda inginkan, mungkin anda boleh
mendapatkan maklumat dari kawan-kawan dari sekolah baharu anda. Untuk sementara waktu anda boleh memberi
tumpuan kepada pengajaran guru di kelas, mengadakan kumpulan perbincangan
dengan rakan-rakan baharu serta bertanyakan kepada guru mana-mana mata
pelajaran yang sukar. Saya pasti sekolah
baharu anda juga ada program tertentu bagi pelajar yang akan menduduki SPM pada
tahun ini. Berkaitan dengan kelebihan
dan kebaikan perpindahan anda, jika anda mengambil semangat hijrah Rasulullah dari
mekah ke madinah anda akan melihat banyak hikmah di tempat baharu nanti. Perubahan memang sesuatu yang tidak
menyelesakan tetapi perubahan juga boleh membuatkan anda menjadi seseorang yang
baharu. Persekitaran yang baharu,
lingkaran yang baharu akan membuatkan anda bertindak dan berusaha dengan cara
yang berlainan dan sudah tentu keadaan ini akan melahirkan semangat, minda dan
jiwa yang baharu di dalam diri anda. Jika
anda istiqamah dan melihat positif kepada semua perkara yang akan berlaku
insyallah anda akan melihat banyak kebaikan yang akan berlaku di tempat yang
baharu ini. Selamat berhijrah dan
berjaya.
No comments:
Post a Comment