About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Tuesday, July 31, 2012

Bercinta Semasa Belajar


Saya pelajar tingkatan 5.  Saya aktif bersukan.  Saya ramai peminat.  Masalah saya ialah bagaimana saya dapat menumpukan pelajaran saya, pada masa yang sama saya jatuh cinta dengan teman sekelas saya.  Saya ingin berjaya dalam pelajaran dan pada masa yang sama saya juga ingin bercinta. Saya berharap tuan dapat membantu saya dalam hal ini.                                                      Muhammad Farhan, Terengganu.

Bismillahirahmanirahim
Semoga anda berada di dalam keadaan yang sihat dan di dalam rahmat Allah.  Terima kasih kerana menghantar pemasalahan anda, sekurang-kurangnya pemasalahan ini boleh dikongsi bersama. Dari permasalahan yang anda nyatakan saya
memahami bahawa anda seorang yang aktif, suka kepada aktiviti sukan dan ramai peminat. Anda ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran tetapi pada masa yang sama anda “bercinta” dengan rakan sekelas. Saya kurang pasti yang mana satu yang menjadi “masalah” kepada anda.  Bercinta itu yang bermasalah atau belajar itukah yang menjadi masalah?  Baiklah, saya andaikan bahawa anda hendak menumpukan kepada pelajaran tetapi pada masa yang sama anda juga “bercinta”.  Ini memberi makna bahawa anda tidak dapat menumpukan pelajaran semasa anda bercinta. Kalau anda boleh belajar dan pada masa yang sama anda bercinta, bukankah itu lebih baik.  Persoalan di sini ialah mengapa bercinta itu menggangu konsentrasi anda untuk belajar?  Adakah bagi anda cinta itu menggangu proses belajar anda?  Adakah cinta itu akan mencuri masa anda untuk belajar? Adakah dengan bercinta anda akan meninggalkan buku-buku? Jika itu yang anda fikir akan berlaku maka anda boleh melupakan “bercinta” untuk sementara.  Belajarlah tanpa bercinta. 
Jika dilihat dari sudut positif, semasa bercinta bukankah telah ada orang yang memberikan semangat kepada anda untuk belajar dan berjaya? Bukankah ada orang yang selalu mengingatkan anda tentang pelajaran, tentang tugasan dan tentang kejayaan. Seharusnya rakan “cinta” anda itu boleh memberikan semangat kepada anda untuk berjaya dan cemerlang.  Seharusnya anda tidak akan melepaskan peluang untuk berjaya di dalam pelajaran dan pada masa yang sama berjaya di dalam bercinta. Apakah yang dikatakan berjaya di dalam pelajaran?  Dikatakan anda berjaya di dalam pelajaran ialah apabila anda dapat menguruskan waktu belajar dengan baik. Anda dapat mengulangkaji dengan tekun. Anda dapat memberi tumpuan kepada pelajaran yang disampaikan guru.  Anda dapat membuat kerja rumah dengan sempurna.  Anda dapat memanfaatkan dan mengamalkan ilmu yang diajar. Akhirnya anda mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.  Apakah yang dikatakan anda berjaya di dalam bercinta?  Anda berjaya apabila anda tidak mengecewakan orang yang anda cinta.  Anda sering memberi semangat kepada orang yang anda cinta di samping anda memupuk dalam diri anda semangat untuk berjaya di dalam hidup.  Anda juga sering mendoakan agar anda dan diri rakan yang anda cinta itu berjaya.  
Adakah anda akan berjaya di dalam pelajaran atau di dalam percintaan?  Persoalan ini banyak bergantung kepada sikap diri anda terhadap pelajaran dan percintaan.  Jika anda mementingkan masa depan anda, maka anda tidak akan mengabaikan pelajaran.  Jika anda cintakan rakan anda, anda juga tidak akan mengabaikan pelajaran di samping anda juga tidak akan mengecewakan orang yang anda cinta.  Dua perkara yang perlu anda beri fokus ialah kefahaman anda terhadap pelajaran dan kefahaman anda terhadap percintaan.  Tentang pelajaran saya rasa anda tahu bagaimana anda harus berjaya.  Anda ke sekolah kerana pelajaran.  Kerajaan telah memberi upah kepada guru untuk mengajar anda supaya menjadi pandai.  Tetapi tentang aspek bercinta anda kena faham sendiri apakah itu cinta dan bagaimana anda harus menanganinya.  Cinta memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan kesetiaan.  Dalam Islam bercinta perlu berlaku di dalam suasana yang dibataskan oleh Allah.  Pelajar tidak seharusnya melanggar perkara-perkara yang menjadi tuntutan agama.  Di sekolah juga ada peraturan-peraturan yang perlu anda patuhi di dalam adab pergaulan pelajar.  Anda tidak perlu menunjukkan yang anda cinta kepada seseorang dengan berkepit macam belangkas sepanjang masa.  Tidak perlu berpegangan tangan.  Ada batas-batas tertentu yang mesti dipatuhi dan insyallah anda akan berjaya jika batas-batas ini anda ikuti.  Bercintalah kerana Allah kerana Allahlah yang menciptakan anda dan orang yang anda cintai.  Jika anda faham tentang ini maka anda akan berjaya di dalam kedua-duanya sekali, belajar dan bercinta.    



Artikel:
Tips Pengurusan Masa:
Sikap Suka Menangguh Kerja
Ramai pelajar membuang masa kerana suka menangguh kerja.  Menangguh kerja bermaksud anda meletakkan kerja yang penting di penghujung masa yang ditetapkan.  Contohnya, anda dikehendaki membuat kerja rumah matematik dan perlu menghantarnya keesokan hari, tetapi anda tidak mengerjakan tugasan tersebut segera, sebaliknya anda menangguhkan tugasan tersebut.  Masa yang ada anda gunakan untuk aktiviti yang tidak berfaedah yang lain. Aktiviti yang tidak berfaedah ini termasuklah menonton rancangan TV yang tiada kaitan dengan tugasan yang diberi. Selepas itu anda berbual-bual kosong dengan rakan-rakan sehingga melepasi waktu-waktu penting.  Akhirnya selepas lewat malam baru anda membuka beg untuk membuat tugasan, tetapi ketika itu anda telahpun keletihan, mata sudah layu dan badan telah penat.  Akhirnya anda tidak melakukan apa-apa.   
Untuk membezakan antara orang yang berjaya untuk melaksanakan tugasan dengan orang yang tidak berjaya,  bergantung kepada kefahaman seseorang itu tentang dirinya dan punca-punca terjadinya perkara tersebut.     
Di bawah ini diberikan tips bagaimana anda dapat mengenal sifat-sifat dan mengetahui punca pelajar yang suka menangguhkan kerja. 

1.    Kenalpasti adakah anda tergolong di dalam golongan orang yang menangguhkan kerja;   
a.    Adakah anda suka menangguhkan kerja yang penting pada saat-saat akhir?
b.    Adakah anda leka membuat kerja-kerja yang tidak penting dengan meninggalkan dahulu kerja-kerja yang penting?
c.    Adakah anda berharap agar ada masa yang sesuai nanti untuk anda menghabiskan kerja anda yang penting itu?
d.   Adakah anda merasa rungsing apabila masa untuk menghantar tugasan telah semakin hampir sedangkan tugasan masih belum dilaksanakan?
e.    Adakah anda teragak-agak semasa ingin membuat tugasan?
Jika anda menjawab “ya” kepada kebanyakkan persoalan di atas bermakna anda telah termasuk di dalam golongan mereka yang sering menangguhkan kerja.

2.    Kenalpasti penyebab utama berlaku tabiat menanggu kerja

Anda perlu bertanya kepada diri anda mengapa anda suka menangguhkan kerja.  Adakah anda ingin menunggu mood yang baik untuk melaksanakan tugasan? Adakah anda perlu menunggu masa yang sesuai untuk membuat tugasan? Jika anda menunggu mood yang baik, kemungkinan mood yang ditunggu-tunggu tidak datang. Jika mood baik itu datang, anda dikira bernasib baik, tetapi jika mood baik itu tidak datang anda telah membuang masa dengan sia-sia kerana hanya berharap kepada mood yang tidak pasti datang.  Jika anda menunggu masa yang sesuai, tidak siapa yang dapat meramalkan masa depan anda.  Masa yang ada bersama anda itulah masa emas. Masa yang akan datang adalah masa yang tidak pasti sama ada masa itu akan ada lagi atau pun tidak.  Masa yang berlalu tidak akan kembali dan masa yang ada hanyalah beberapa detik bersama anda dan masa hadapan bukanlah milik anda secara mutlak. Anda mungkin terlepas masa hadapan jika anda tertidur, terlalai, terleka, tidak perasan, tidak sedar, tidak ingat, lupa dan sebaginya.

3.    Kenalpasti penyebab lain yang menyebabkan anda menangguh kerja  
Di antara penyebab lain yang mungkin mempengaruhi mengapa anda menangguh kerja ialah;
i.             Anda kabur tentang matlamat yang hendak dicapai.  Tidak tahu hendak buat yang mana satu.  Anda juga tidak pasti apa yang perlu anda lakukan. “Ahh… biarlah dulu…”
ii.            Anda salah jangka tentang tugasan yang anda hendak laksanakan. Mula-mula ingat mudah, tetapi selepas diteliti tugasan itu susah untuk dilaksanakan, maka anda terhenti untuk melaksanakannya.  “Tunggulah dulu….”
iii.           Anda salah jangka tentang masa yang diperuntukan untuk membuat satu-satu tugasan. Anda peruntukkan masa satu jam untuk membuat tugasan matematik tetapi anda menghabiskan masa setengah jam untuk memahamkan soalan sahaja.  “Alaa… masa tidak cukup, besoklah buat….”
iv.           Anda tidak tahu hendak buat tugasan yang mana satu. Anda terpinga-pinga dan buntu tidak tahu hendak buat macam mana. “Ini yang aku bengang ni…ahh tak payah buatlah”

4.    Kenalpasti penyebab yang ada di dalam diri anda yang membuatkan anda menangguh kerja
Antara penyebab yang membuatkan anda cenderung untuk menangguh kerja mungkin datang dari dalam diri anda sendiri.  Cuba kenal pasti adakah anda;
i.             Adakah anda mahir untuk melaksanakan sesuatu tugas itu? Mungkin anda tidak berminat dengan mata pelajaran yang diajar. Mungkin anda tidak faham tentang formula yang diberikan. Mungkin anda merasakan mata pelajaran itu terlalu sukar untuk difahami. Apabila anda tidak mahir, anda tidak akan selesa dengan tugasan yang diberikan.

ii.            Adakah anda takut membuat kesilapan?  Ada pelajar yang takut gagal langsung tidak mahu membuat tugasan yang diberikan.  Pelajar ini bimbang tugasan yang dilaksanakan banyak mengandungi kesalahan. Oleh kerana terlalu bimbang dengan kesilapan dan kesalahan pelajar ini langsung tidak mahu membuat tugasan yang diberikan. Ada juga pelajar yang mahu menunggu orang lain membuat tugasan itu  dahulu.  Pelajar ini ingin melihat dan membuat tugasan yang sama agar kesalahan itu ditanggung bersama. Sikap ini membuatkan anda menangguhkan kerja. 

iii.           Adakah anda terlalu memikirkan tentang kesempurnaan? Kesempurnaan itu bagus, tetapi ia juga boleh menjadi belenggu kepada diri apabila anda mengatakan “teruknya saya jika saya tidak dapat membuat sesuatu itu dengan sempurna”.  Pelajar yang terlalu taksub dengan kesempurnaan biasannya takut dengan kesilapan.  Sebenarnya, kesilapan bukan erti gagal.  Manusia tidak sunyi dari membuat kesilapan. Jadikanlah kesilapan itu suatu pelajaran untuk menuju ke arah kesempurnaan. 

Rumusan
Ramai pelajar yang menyalahkan “masa” apabila tidak dapat melaksanakan tugasan atau belajar.  Bukan “masa” yang salah tetapi sikap pelajar itu sendiri yang membuatkan mereka menangguhkan tugasan.  Pelajar yang berjaya dan dapat mengurus diri dengan baik ialah pelajar yang sedar tentang kehadiran sikap itu dalam dirinya sendiri dan dapat mengenalpasti punca-punca mengapa sikap menangguh kerja itu berlaku.     


Kata Pujangga:
Tugas yang berat ialah apabila anda tidak menyelesaikan tugas yang ringan pada masa yang ditetapkan.
Bernard Meltzer

No comments:

Post a Comment