About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Tuesday, January 19, 2016

Hinakah Aku Sebagai Janda...

Seorang wanita telah menulis kepada saya menceritakan isu yang dialaminya. Berikut adalah sedutan dari rintihannya dan respon yang saya berikan.


Salam Dr,
sy mengalami masalah percintaan yg agak serious. biar sy mulakan dgn kisah hidup sy dahulu.
sy dikahwinkan di usia yg muda. 21 thn. dlm 6 thn berkahwin, sy tidak pernah disentuh kerana bekas suami sy itu mengalami masalah tenaga batin. maksudnya
sy masih dara walaupun sudah menjadi janda. masalah ini menyebabkan stress kepada sy kerana status sy, nak kata janda, masih dara.
Alhamdulillah sy dipertemukan dgn seorang lelaki yg baik. dia adalah cinta pertama sy. hubungan kami berjalan dgn baik walaupun kadang2 sikapnya menghancurkan hati sy. Dia berjanji akan mengahwini sy, cintakan sy, tetapi ada ketika, dia kata hanya sekadar memaksa diri utk cintakan sy. maksudnya, lafaz2 cintanya hanya mainan mulutnya. tetapi kami tetap berikrar utk berkahwin. dan berjumpa dgn ibu bapanya.
setelah tarikh majlis tunang telah ditetapkan, kerana gembira, byk sy laburkan di majlis tersebut. majlis tunang dibuat di dewan, dan majlis perkahwinan sy telah book di tempat yang ekslusif.
Tetapi, seminggu sebelum majlis bertunang, ibunya mengaku tidak berkenan dgn sy. kerana status sy sebagai janda. ibunya malu kepada kaum keluarganya. mereka boleh dikatakan org senang. ia menghancurkan hati sy kerana selama ini ibunya tidak menunjukkan sebarang emosi apabila bertemu dgn sy. beli cincin tunang pun sama2. boleh dikatakan hubungan kami baik dan berjalan dgn lancar. sy terduduk apabila ibu sy bercerita selepas majlis risik, dan tiada cincin diberikan menandakan ibunya tidak mahukan sy. malu sy dr, seluruh keluarga sudah dijemput. kad sudah diberi.
 sewa dewan, hantaran telah disiapkan. sy dihina oleh bakal tunang tanpa belas kasihan, sedangkan dialah punca permasalahan ini kerana tidak berterus terang sejak dari awal lagi. ibu sy sampai masuk hospital kerana trauma dgn keadaan ini. uncle sy, seorang lawyer, dan bertindak membuka kertas kerja untuk menyaman malu dan ganti rugi keluarga bakal tunang sy. tetapi, sy tk smpai hati, dia adalah penulis buku.
sy taknak reputasinya terjejas kerana sy. dan sy masih sygkan dia. sy bencikan diri sy, kenapa tiada perasaan benci yg terbit kepadanya dia dan keluarganya? hakikatnya dr, 2 hari selepas kejadian itu, dia menelefon sy, dan hubungan kami masih lagi berjalan. kecewanya ibu sy. tapi sy tk boleh tinggalkan dia, sy terlalu sygkannya. harapan kami sekarang, hanya ingin meminta restu dari keluarganya. tetapi sy tahu, itu amat payah. kami hanya keluarga org susah. setiap hari sy memendam perasaan dan air mata.
sikap bakal tunang sy pun tk menentu, baru2 ini sy dpt tahu rupanya ibunya pernah bertanyakan perasaan dia terhadap sy, tp jawapannya merentap jiwa sy. dia memberikan jawapan "tidak kisah" dan "belum bersedia" untuk bertunang. sedangkan selepas kes itu, dia yg menelefon dan menangis kerana kecewa. ini menyebabkan ibunya assume yg anaknya tidak ada perasaan kasih terhadap sy. maruah sy tercemar dr.
mereka akan mengatakan sy yg terhegeh2 untuk bertunang, sedangkan dulu mereka yg menggesa utk bertunang kerana ingin membuat majlis bersama adik bongsunya. mereka tidak sempat berkenalan dgn keluarga sy dgn lebih rapat. kadang2 timbul dendam dihati dan ingin melupakan kekasih sy. tapi sy tiada kekuatan utk pergi, sy takut jika dia tiada dalam hidup sy, sy ibaratkan patung hidup... sy harap sgt Allah tarik perasaan sy, sy harap sgt dr. tolonglah sy untuk memulakan hidup baru. ibunya sudah block number sy, ini menyebabkan sy tahu ibunya amat membenci sy. apa salah sy dr? sy rasakan diri sy ini hina sehina2nya. adakah semua ini salah sy?

JAWAPAN:
Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum Puan, semoga puan berada di dalam lindungan dan rahmat Allah swt.   
Melalui e-mel yang puan hantar itu, serba sedikit, saya dapat memahami berkaitan dengan latar belakang permasalahan yang puan hadapi.  Melalui e-mel itu juga, segala peluahan rasa isi hati yang menjadi beban kepada puan selama ini, in sya Allah,  dapat saya fahami serba sedikit. 
Melalui ruangan yang agak terhad ini marilah kita sama-sama melihat kembali perkara yang telah puan luahkan dalam e-mel puan agar kita sama-sama dapat memahami masalah yang sebenar dan dari situ kita meneliti dan merancang tindakan yang sesuai yang mungkin boleh puan fikirkan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.
Cuma sebagai ingatan. 
Dalam sesi kaunseling ini, saya hanya merupakan pencetus dan pemandu untuk menangani isu dan permasalahan yang dihadapi oleh puan.  Puanlah orangnya yang benar-benar memahami isu yang sebenar dan puanlah yang akan aktif untuk bertindak dan menangani isu ini.  Tugas saya ialah menjadi pendorong, pembimbing dan pengimbang ke arah mana yang puan pilih.   Tidak semestinya pandangan saya benar dan tidak semestinya pilihan puan tepat.  Segala-galanya bergantung pada setakat mana puan boleh  bekerjasama dan berusaha untuk menangani isu yang puan hadapi.  Walau bagaimanapun saya akan sentiasa memberi bantuan setakat mana bantuan itu dapat memberi kesejahteraan pada pihak puan.  Segala maklumat yang dinyatakan di sini adalah rahsia.  Sekiranya isu yang dikemukakan ini selesai maka tamatlah sesi ini secara formal. Jika ada lagi pertanyaan dari puan, silakan.   Jika ada isu lain yang ingin dikemukakan, ia boleh dibincangkan untuk sesi yang lain.

Berbalik kepada permasalahan yang puan nyatakan dalam e-mel puan tempuh hari.  Berikut ini adalah ringkasan yang dapat saya fahami melalui peluahan perasaan puan itu.
Puan telah berkahwin sejak berumur 21 tahun namun selepas 6 tahun berkahwin puan tidak pernah disentuh oleh suami kerana dia mengalami penyakit lemah tenaga batin.  Dan puan agak keliru sekarang ini kerana status di surat nikah/cerai puan adalah janda tetapi hakikatnya puan masih dara.
Kini puan telah bertemu dengan seorang pemuda yang berhati baik dan dia adalah merupakan cinta hati puan yang pertama.  Perhubungan berjalan seperti biasa Cuma kadang kala ada pergeseran sehinggakan membuatkan puan terasa hati dan memendam perasaan.  Walaupun dia berjanji untuk mengambil puan sebagai isteri dan ratu hatinya, tetapi ada kala nya dia menunjukkan perasaan yang mengelirukan puan seperti katanya dia hanya memaksa dirinya untuk mencintai puan.  Walau bagaimana pun puan tetap yakin bahawa puan dan dia akan berkahwin juga akhirnya.  Buktinya ibu bapanya juga telah mengetahui tentang hal ini. 

Maka majlis pertunangan puan di aturlah dan tidak lama selepas itu majlis pertunangan itu pun dilangsungkan. Tetapi tidak disangka-sangka, majlis yang diatur dengan sempurna itu sepatutnya meriah dan ceria, tetapi telah bertukar menjadi satu sejarah hitam di dalam kehidupan puan.  Peristiwa ini sangat menyedihkan dan meremukkan hati puan.  Tiba-tiba ibunya membatalkan majlis tersebut disebabkan oleh status janda yang ada pada puan.  Ibunya malu terhadap kaum keluarganya.  Yang anehnya sebelum perhubungan puan dengan keluarga pihak lelaki khususnya ibunya biasa sahaja, ibunya bersama-sama pergi untuk membelikan cincin tunang puan.   Semasa majlis merisik berlakunya perkara ini dan cincin tunang tidak diberikan kepada puan dalam majlis itu.  Akhirnya majlis itu terbatal dengan sendirinya. 

Puan rasa sungguh malu ketika itu kerana saudara mara telah dijemput.  Puan seolah-olah rasa terhina oleh bakal tunang tanpa ada ihsan dan puan menyalahkan dia kerana dia langsung tidak menyebut tentang perkara ini (keengganan ibunya untuk menerima bakal menantu janda) sebelum itu.   Akibat dari kejadian itu juga ibu puan dimasukkan ke hospital akibat trauma.  Namun begitu puan masih lagi menaruh simpati kepada bakal tunang oleh sebab itu puan tidak dapat meneruskan niat untuk menyaman pihak lelaki akibat dari tindakan mereka yang memalu dan menghina puan.

Tetapi yang anehnya perasaan marah itu hanya sekejap sahaja.  Benci yang meluap pada hari kejadian telah bertukar sayang semula tidak lama selepas itu.  Puan juga akui bahawa puan tidak boleh meninggalkannya kerana puan terlalu menyayanginya walaupun hati puan telah dihancurkan berkecai.  Cuma yang puan inginkan sekarang ialah jika masih ada lagi restu dari keluarganya untuk puan dapat bersama-sama dengan bakal suami puan.  Walaupun puan menaruh harapan tetapi puan merasakan ia amat sukar untuk laksana kerana bagi puan manakan sama antara enggang dengan pipit dan ditambah lagi dengan status janda puan walaupun pada hakikatnya puan masih lagi dara. Ditambah lagi dengan sikap ibunya yang terang-terang menolak puan yang berstatus janda.

Pada masa yang sama puan juga keliru dengan sikap bakal tunang puan yang di depan ibunya lain sikapnya,  tetapi apabila berada dengan puan lain lagi sikapnya.  Sikapnya yang pandai bermuka-muka ini juga sangat mengecewakan puan kerana sampai bila pun ibunya tidak akan memahami.

Ada kalanya puan ingin berdendam dan ingin melupakan kisah dan kasih puan dengannya tetapi apakan daya kekuatan puan hanya kepada hasrat,  tetapi tidak kepada perbuatan dan amalan.  Puan juga tidak berani untuk berhadapan dengan hari muka tanpanya di sisi puan.  Jika dia tiada puan menganggap diri puan sebagai patung bernyawa.   Puan juga berdoa dan berharap agar Allah melenyapkan perasaan sayang puan kepada dia.  Kini hati puan merintih sendirian.  Puan tidak boleh lagi berhubung kerana kehidupan bakal tunang puan kini telah dikawal dan diambil alih sepenuhnya oleh ibunya.

Dalam hal ini ada beberapa perkara yang boleh kita fokuskan untuk kita berfikir dan bertindak sesuai dengan kemampuan dan keupayaan yang puan ada.  Mari kita lihat pilihan-pilihan ini;
1.       Pilihan satu.  Hasrat puan untuk hidup bersama dengan si dia.  
Jika ini menjadi pilihan puan ia agak sukar dan ia memerlukan pengorbanan puan dan juga pengorbanan bakal tunang puan.  Jika dia bersama-sama puan ingin menjadikan hubungan ini sebagai satu realiti, tidak mustahil ia boleh berlaku.  Syaratnya dia dan puan kena sepakat dan kedua-duanya perlu berkorban untuk matlamat itu.  Tetapi soalnya adakah dia sanggup?  Dalam kes ini jelas, dia seolah-olah telah dikawal oleh ibunya dan dia sendiri tidak berani untuk membuat apa-apa komitmen. 

Apabila dia sanggup berbohong depan ibunya dengan mengatakan bahawa dia tidak ada apa-apa perasaan pada puan itu menandakan bahawa dia tidak berani untuk menyatakan yang benar atau mungkin itulah perasaannya yang sebenar terhadap puan.  Atau mungkin juga ibunya telah meletakkan syarat yang ketat menyebabkan dia tidak ada pilihan kecuali dengan mengaku bahawa dia tidak mempunyai apa2 perasaan terhadap puan bagi menjaga hati ibunya. 

Rumusannya sekarang ini ialah banyak perkara pahit yang berlaku semasa proses majlis pertunangan itu berjalan sehinggalah kepada pengakuan perasaannya terhadap puan.  Pada awal lagi puan ada menyatakan dia juga pernah mengakui bahawa dia memaksa dirinya untuk mencintai puan.  Apa maksudnya itu? Adakah dia memang benar2 terpaksa mencintai puan atau dia memang sengaja ingin menyakitkan hati puan? Jika itu maksudnya, adakah dia berbaloi untuk diri puan? Adakah puan sanggup dipermainkan lagi? 

Berdasarkan apa yang puan ceritakan ternyata perhubungan ini banyak yang berat sebelah.  Dia tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengambil puan sebagai isterinya,  setidak-tidak ada satu harapan yang jelas perlu diberikan olehnya.  Jika ini tidak berlaku, adakah puan rasa perhubungan ini sesuatu yang menguntungkan puan dan akan berakhir ke jinjang pelamin.  Jika puan rasa masih ada harapan, ini perlu keluar dari mulutnya untuk bersama-sama ke arah itu.  Jika tidak, seolah-olah puan hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Soalan tentang mengapa ibunya membenci puan, mengapa dia menghina puan, tidak perlu dijawab kerana itu adalah lumrah hidup manusia yang tidak punya ilmu dan perasaan.  Orang yang tidak berilmu akan sanggup menghina orang lain sedangkan orang yang dihina itu telah memberikan kasih sayang pada anaknya sendiri.  Orang yang dihina itu ada kalanya lebih mulia hatinya dan bersih jiwanya.  Oleh itu janganlah berputus asa terhadap penghinaan orang lain. 

Jika puan dapat keluar dari kawasan yang menyeksa ini adalah lebih baik lagi, daripada puan masih lagi terperangkap di dalamnya.  Bebaskan perasaan puan kerana puan masih lagi boleh memilih untuk hidup lebih bererti dan bermakna tanpa orang lain yang menghina itu.  Mereka menghina tanpa simpati, jika puan tidak bersimpati terhadap diri puan sendiri, siapa lagi yang akan membela diri puan.  Walaupun puan telah melabel diri puan sendiri sebagai patung bernyawa tanpa dia di sisi, namun pada hakikatnya puan masih mempunyai roh dan jasad yang mantap sekiranya puan sudi melihat ke dalam diri sendiri.  Puan masih mempunyai potensi jika puan sudi memberikan peluang kedua kepada diri puan untuk hidup berdikari dan bebas bak burung terbang.  

2.       Pilihan dua.  Mulakan hidup baru tanpanya.
Dalam Islam puan tidak hina, yang menghinakan puan ialah manusia yang tidak tahu erti cinta sejati.  Manusia yang hanya sering melihat kedudukan dan pangkat.  Manusia jenis inilah yang sering menghina dan sering memandang rendah orang lain.  Jika dilihat baginda Rasulullah sendiri berkahwin dengan beberapa orang janda. 

Jadi janganlah puan melihat diri puan terhina apabila puan rasa dihina oleh orang lain.  Mungkin masa yang sesuai belum sampai untuk puan menerima orang lain dan orang baharu di dalam hidup.  Saya tidak mahu berfokus kepada orang baharu tetapi saya fokus kepada diri puan sendiri yang harus memberi peluang seluas-luasnya kepada apa juga yang Allah hendak anugerahkan kepada puan.  Jika peluang yang sedia ada telah tertutup, ditutup oleh dia (bakal tunang), maka sampai masanya puan kena melihat diri puan sendiri, kekuatan yang ada pada diri puan, kecantikan yang ada pada diri puan dan kehebatan yang Allah anugerahkan kepada puan untuk puan terbang sendirian mencari anugerah Allah yang ada bertebaran.  

Apa yang telah berlaku adalah pengalaman dan pengajaran di dalam kehidupan.  Dalam mengharungi kehidupan dan pengalaman ini Allah menguji umatnya untuk melihat jalan-jalan benar yang dilalui.  Puan juga telah dan sedang diuji oleh Maha Pencipta untuk puan sendiri melihat setakat mana puan dapat melalui ujian ini dengan tabah dan tekad untuk bangun semula meniti kelangsungan hidup yang masih panjang di hadapan.  Puan telah diuji untuk hidup selama 6 tahun tanpa nafkah batin.  Kini puan diuji lagi dalam bentuk penghinaan yang orang lain mungkin tidak sanggup untuk laluinya, namun puan telah melalui fasa itu. 

Satu lagi fasa yang puan mungkin lalui ialah fasa yang puan ingin membebaskan diri puan dari janji-janji palsu yang ditaburkan dan dari penghinaan orang yang suka menghina.  Sampai masanya puan berfikir untuk melepaskan diri dari belenggu ikatan psikologi yang pahit ini.  Puan telah diberikan harapan setinggi gunung tetapi akhirnya harapan itu telah diruntuhkan oleh si dia yang puan bergantung selama ini.  Inilah masanya puan menamakan semula diri puan dari “patung bernyawa” kepada “insan hidup baru yang penuh dengan kesedaran dan kecekalan”. 

Puan juga masih muda, dan masih ada ruang untuk bangun semula selepas dikalahkan secara tidak beradab dan berakhlak.  Inilah masanya puan melihat ke hadapan di hari-hari muka.  Lihat kembali pengorbanan ibu puan yang sanggup bersama-sama puan menerima rasa malu dan ingin semula membina semangat yang telah punah.  Lihatlah ke hadapan yang luas terbentang dengan penuh keyakinan,  dari asyik menoleh ke belakang yang dipenuhi dengan ranjau dan duri yang telah kita lalui. 
Semoga diri puan akan sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmat Allah swt.
Terima kasih.
Dr Ramlan Hamzah.
9.53pagi


  


No comments:

Post a Comment