About Me

My photo
KL, WP, Malaysia
Lahir di Johor Baharu. Pendidikan awal dan menengah di Rembau dan Muar. Profesion sebagai pensyarah dan kaunselor. Kini menjawab pemasalahan orang ramai dan pelajar melalui laman web http://e-kaunseling2005.tripod.com dan http://ramlanhamzah.com Jika ada apa-apa pemasalahan yang ingin dikongsi secara profesional sila layari laman saya di atas. Boleh hubungi saya melalui ramlan2000@yahoo.com.

Saturday, August 3, 2013

Guru Memulaukan Saya…

Saya ada berkonflik dengan seorang guru.  Konflik ini bermula sejak guru tersebut memukul saya.  Saya laporkan perkara tersebut kepada guru besar.  Guru besar telah memanggil guru tersebut.  Semenjak peristiwa itu guru tersebut tidak lagi menghiraukan saya sebagai pelajarnya.  Dia tidak memeriksa buku latihan saya dan tidak lagi mahu bertanya kepada saya apa-apa.  Sejak itu sampai hari ini saya tidak selesa dan tenteram.  Harap cikgu bantu saya.                                                                                                                                                                                                                                Ben , Sabah.

JAWAPAN

Anda berani dan bijak kerana mengadu hal kepada guru besar tentang perlakuan salah guru terhadap anda.  Anda telah menjalankan hak anda sebagai seorang pelajar.  Namun kini  anda berhadapan dengan masalah tindakan susulan guru tersebut terhadap anda.  Anda sebagai pelajar berhak untuk menerima ilmu dan pendidikan sewajarnya.  Antara perkara yang boleh anda pertimbangkan untuk tindakan ialah;
i.                     Pertama dapatkan penjelasan dari guru tersebut tentang ketidakadilan layanannya terhadap anda. Kemungkinan ada rasa tidak puas hati atau perkara-perkara lain yang ingin dia sampaikan kepada anda. 
ii.                   Anda juga boleh memberitahu ibu dan bapa anda untuk dibawa ke dalam pengetahuan mesyuarat PIBG. Biarlah pihak sekolah dan PIBG dapat membincangkan perkara ini dan tindakan yang sewajarnya dapat dilakukan.  Saluran yang betul dengan cara yang betul untuk menangani masalah ini diharap akan membawa kebaikan kepada semua pihak.
iii.                  Anda boleh memberi sedikit masa lagi agar guru tersebut menyedari kesilapannya.  Oleh kerana kejadian itu baharu saja berlaku kemungkinan guru tersebut memerlukan ruang untuk berfikir dan membetulkan dirinya.  Pada masa yang sama anda juga boleh mendiamkan diri dengan memberi tumpuan terhadap pelajaran anda sendiri.  Anda juga boleh mendapatkan panduan dan bimbingan guru-guru yang lain yang bersedia untuk membimbing anda untuk sementara. 
Semoga jawapan ini dapat memberikan panduan kepada anda untuk mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya. Semoga anda ceria dan gembira selalu.

        
Artikel Selasa:
Sambungan…

Pengembangan Diri: Belajar Untuk Kejayaan (Semasa Di Dalam Kelas)   
Kelas merupakan tempat utama pelajar belajar.  Sumber pendidikan berada di alam kelas.  Guru-guru terlatih silih berganti masuk ke kelas berjumpa pelajar untuk mencurah ilmu.  Kelas merupakan bilik penyaluran ilmu dari guru kepada pelajar dan dari pelajar kepada pelajar.  Berbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku di dalam kelas. Pelajar yang tidak mengambil peluang dan manafaat dari aktiviti kelas ini dianggap sebagai merugikan diri sendiri.  Oleh itu pelajar perlu menumpukan perhatian dan terlibat secara aktif di dalam aktiviti kelas.


1.       Mengambil Nota
Pastikan tidak ada alat lain di atas meja anda kecuali pen, buku tulis, buku nota dan buku teks.  Buku tulis digunakan apabila ada arahan-arahan kerja dari guru secara formal.  Mungkin guru meminta anda menulis karangan, membuat latihan berdasarkan buku teks dan menyalin kembali apa yang ditulis dipapan hitam.  Buku nota pula ialah catatan anda sepanjang pengajaran guru di dalam kelas.  Catatkan tarikh, nama subjek, topik dan nama guru yang mengajar.  Buat 2 ruang di dalam buku nota. Ruang 1 mencatatkan isi penting yang dinyatakan oleh guru dan ruang 2 ulasan atau catatan anda terhadap isi kandungan yang disampaikan guru. Gunakan ayat-ayat ringkas atau simbol bagi memudahkan anda mengingat dan menangkap butiran penting.

2.       Mendengar Pengajaran Guru Secara Aktif
Mendengar secara aktif merupakan aktiviti mendengar dengan teliti dan berfokus.  Apabila minda anda penuh sedar dan segala tumpuan diberikan kepada pendengaran anda ketika itu maka pengajaran yang disampaikan akan masuk ke dalam kotak ingatan anda.  Dengarkan setiap patah perkataan dan ayat yang dituturkan oleh guru.  Pengulangan sebutan menandakan kepentingan sesuatu isi.  Tumpuan anda perlu bermula dari saat guru berada di dalam kelas sehinggalah tamat.  Tumpuan tidak akan berlaku jika anda masuk lewat atau berangan-angan semasa guru menyampaikan pengajaran.  Ketepikan semua masalah dan halangan-halangan.  Anda kena berlatih untuk memberikan tumpuan berfokus.  Lama kelamaan anda akan biasa dengan teknik tersebut dan ini akan memudahkan anda menerima pengajaran guru.

3.       Memberi Perhatian Kepada Pengajaran Guru
Berikan segala perhatian dan penumpuan kepada guru yang sedang mengajar.  Tumpuan bukan sahaja diberikan kepada isi yang disampaikan tetapi juga kepada gerak geri dan perlakuan guru.  Ekspresi muka, gerakan tangan, gerakkan badan, intonasi suara, pengulangan kata-kata semuanya menggambarkan kesungguhan guru menyampaikan perkara-perkara penting, dan perkara-perkara yang tersembunyi.  Renungan tajam guru menggambarkan ada sesuatu perkara penting yang sedang difikirkan, perkataan yang keluar secara perlahan menggambarkan isi penting yang relevan dengan subjek yang diajar.  Penumpuan anda juga dapat mempengaruhi dan memberikan kekuatan dan motivasi kepada guru untuk menyampaikan isi pelajaran dengan lebih tekun lagi.

4.       Aktif Di dalam Kelas

Aktif di dalam kelas bermaksud anda melibatkan diri di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Anda memberi tumpuan kepada guru, anda memberi jawapan kepada soalan guru, anda menyoal soalan yang anda kurang pasti, anda memberi jawapan kepada soalan pelajar lain,  anda memberi cadangan dan pendapat dan seumpamanya.  Anda perlu tahu bila anda perlu bertanya dan tahu apakah soalan yang anda ingin tanyakan.   Kelas akan menjadi aktif dan ceria apabila pelajar dan guru dapat bekerjasama di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Seorang pelajar perlu bersedia dari rumah lagi tentang subjek yang dipelajari pada hari itu.  Anda kena membuat “review” dan “preview” agar topik yang diajar pada hari itu tidak asing lagi bagi anda dan anda telah bersedia untuk belajar topik itu pada hari itu.  

No comments:

Post a Comment