Saya merupakan ibu tunggal yang mempunyai tiga orang
anak, seorang anak lelaki dan dua anak perempuan. Perkara yang menjadi kemusykilan saya ialah
anak lelaki saya mempunyai perwatakan yang lembut dan saya khuatir dia akan
menjadi bapok atau pondan semasa dewasa nanti.
Ramai kawan-kawan saya yang memberitahu bahawa tingkahlaku anak saya
kini cenderung untuk menjadi seperti itu.
Saya sebagai ibu tunggal sangat risau dengan hal ini maka saya ingin
bantuan dari tuan untuk tahu apakah punca dan bagaimanakah cara saya dapat
mengatasi masalah ini. Terima kasih.
Rogayah Hussein, Pahang.
Jawapan:
Kebelakangan ini saya mendapat beberapa e-mel bertanyakan pemasalahan isu “lembut”
dari ibu bapa yang khuatir tentang kecendrungan anak-anak terhadap gejala
ini. Saya harap maklum balas saya ini
dapat membantu Pn Rogayah dan juga ibu bapa yang lain yang mempunyai masalah
yang sama.
Berkaitan
dengan isu yang diutarakan, anda telah menyatakan bahawa anda mempunyai
3 orang anak. Dua perempuan dan seorang
lelaki. Anda rungsingkan anak lelaki
anda kerana anda melihat anak lelaki anda bekecendrungan untuk menjadi bapok
selepas anda memerhati perangai dan tingkah lakunya setakat ini. Namun anda tidak pula memberitahu berapakah
umur anak anda sekarang dan apakah ciri-ciri nyata yang ada pada dirinya
sekarang selain dari sikap lembut yang anda nyatakan itu. Ada dua perkara yang boleh anda teliti.
Pertama aspek kemungkinan punca anak anda menjadi lembut, dan kedua aspek layanan
anda pada masa ini terhadap anak anda.
Aspek punca sangat berkait rapat dengan pembawaan
biologi dan psikologi seseorang. Ramai
pakar berselisih pendapat tentang ini namun telah disepakati bahawa
persekitaran boleh mempengaruhi persepsi identiti kejantinaan seseorang. Bila disebut pengaruh persekitaran
termasuklah aspek pergaulan anak anda dengan rakan-rakan, cara saudara mara
anda melayaninya, hubungan anak anda dengan bapanya, cara anda mengasuh dan
mendidik, pergaulan dengan adik beradik dan seumpamannya. Apabila anda telah
memahami bahawa persekitaran boleh mempengaruhi aspek penentuan kepercayaan
kejantinaan anak anda maka anda boleh memerhati dan mengawal keadaan tersebut. Kawal
dari aspek pergaulannya dengan kawan-kawan yang ada gejala tersebut,
perhubungan dengan kakak dan seumpamannya.
Aspek layanan pula termasuklah bagaimana anda
berinteraksi dan memberi maklum balas kepada perlakuan anak anda pada masa
ini. Anda boleh memberi peranan yang
jelas kepada anak anda berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai anak
lelaki. Wujudkan suasana berpakaian dan
imej diri yang biasa ada pada seseorang lelaki.
Jika dari awal lagi anda telah
menekankan tentang sifat-sifat kelelakian yang ada padanya insyallah dia akan
selesa dengan identiti diri tersebut.
Oleh kerana dia sekarang hanya seorang sahaja lelaki yang ada di dalam rumah,
maka anda bolehlah memberikan tanggungjawab kepimpinan keluarga (bersesuaian
dengan umurnya) kepadanya contoh memintanya memberi tunjukajar kepada
adik-adik, menjaga kebajikan keluarga,
memberi perhatian kepada adik atau kakak, memimpin bersolat berjamaah dan seumpamannya. Tidak salah jika seseorang memiliki sifat
lemah lembut kerana ciri-ciri lemah-lembut memang ada pada setiap orang, yang
menjadi masalah ialah apabila dia keliru tentang identiti dirinya yang sebenar
sama ada dia perempuan atau lelaki.
Kekeliruan ini timbul kerana terlalu banyak peranan yang berlainan
jantina yang berlaku di dalam hidupnya. Oleh
itu anda berperanan untuk memberi keyakinan dan memberikan peranan tugas lelaki
kepadanya di samping memantau perhubungannya dengan rakan dan orang lain. Semoga penerangan ini dapat membantu
anda.
Artikel
Selasa:
Pengembangan Diri:
Bagaimana Berhadapan Dengan Anak Remaja Yang Keliru
Tentang Identiti Kejantinaan Diri
Kecelaruan
identiti gender ini telah menular di dalam masyarakat kita. Dulu memang ada tetapi tidak ketara dan tidak
diberi perhatian, namun kini ia telah menjadi semacam satu budaya yang kurang
manis di dalam masyarakat kita. Bulan
ini sahaja, saya mendapat beberapa e-mel yang bertanyakan masalah yang
serupa. Mencegah adalah lebih baik dari
merawat tetapi masalahnya aspek pencegahan sukar dilaksanakan kerana
tanda-tanda seseorang itu mengalami krisis tidak dapat dikesan pada peringkat
awal. Ibu bapa yang dapat mengesan pada
peringkat awal mungkin mempunyai kelebihan untuk merawat kecelaruan tersebut. Bagi mereka yang telah terperangkap ke dalam
masalah tersebut cara yang terbaik ialah anda perlu mendekati diri mereka dan
berbincanglah dengan mereka dengan baik.
Di bawah ini disertakan tip bagaimana anda harus berhadapan dengan anak
remaja anda yang telah terlibat dengan krisis kecelaruan identiti ini.
1. Perasaan Selesa, Mesra dan Selamat
Berbincanglah
dengan mereka dalam suasana yang selesa, mesra dan selamat. Anda tidak perlu membuat penghakiman awal,
membuat tuduhan dan memandang sinis terhadap mereka. Anggap mereka insan yang perlukan perhatian,
bantuan dan sokongan anda.
2. Tanpa Tekanan dan Paksaan
Mereka
yang terlibat dengan masalah ini biasanya akan menyimpan perasaan yang mendalam
di lubuk hati mereka. Mereka tidak akan
bercerita tentang masalah yang mereka hadapi sehinggalah apabila semua orang
telah menuding jari dan memberi label yang bukan-bukan. Ketika inilah mereka akan terdedah kepada
segala bentuk tekanan, pengalaman yang menakut dan memalukan. Jika tekanan terlalu kuat dan ketahanan diri
mereka kurang, kemungkinan mereka akan mengalami tekanan emosi dan mental yang
hebat yang boleh membawa kepada lari dari rumah, terjebak terus dengan identiti
yang salah atau membunuh diri.
3. Terima Seadanya
Didik
diri anda untuk menerima mereka seadanya.
Krisis kecelaruan identiti kejantinaan tidak sama dengan penyakit
transeksual seperti gay ataupun lesbian. Kecelaruan identiti kejantinaan
berlaku disebabkan oleh pembawaan, didikan dan pengaruh persekitaran yang
kurang sihat. Mereka tidak pernah
meminta untuk menjadi demikian. Adalah
lebih baik anda menerima mereka untuk berbincang secara ikhlas, tanpa bersyarat
dan dengan penuh empati (dapat merasai penderitaan mereka).
4. Watak dan Perlakuan Boleh Diubah
Kecelaruan
identiti kejantinaan bukanlah gejala yang tidak boleh dirawat. Sikap, perwatakan dan identiti diri boleh
diasuh dan diubah. Seseorang itu boleh
memilih untuk mengubah watak dan sikap.
Semuanya terletak kepada kemahuan seseorang. Orang yang mahu berubah akan boleh berubah
manakala orang yang tidak mahu berubah tidak akan ada cara untuk mengubahnya.
Jadi anda boleh membantunya untuk berubah.
5. Pilihan, Peluang dan Ruang
Mencari
jalan penyelesaian memerlukan minda dan perasaan yang terbuka. Beri mereka peluang dan ruang untuk mereka
menyatakan fikiran dan perasaan mereka.
Beri juga mereka ruang dan peluang untuk membuat pilihan. Banyak perkara yang boleh diputuskan tetapi
keputusan itu perlulah pilihan yang terbaik untuk dirinya dan yang terbaik
selepas perkara itu dibincang dan dibahaskan.
Pilihan keputusan yang dibuat berdasarkan kerelaan akan memberikan hasil
yang berkesan dan positif.
6. Rujukan
Berikan
mereka tempat merujuk bagi mendapatkan bantuan dan sokongan dari pihak lain agar
dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka. Dapatkan maklumat tentang mereka yang
mempunyai kemahiran atau pakar dalam bidang ini untuk mendapatkan pandangan,
cadangan, perundingan dan rawatan. Sentiasa
berikan mereka sokongan dari segi moral dan kerohanian agar mereka tidak
terpesong jauh ke arah gejala yang lebih parah.
No comments:
Post a Comment